Tuesday, 23 December 2008

BAHASA MELAYU: SIAPA MENGUGUT SIAPA KENA UGUT?


Tan Sri Ismail Hussein (kanan) Ketua 1 Gapena.

PPSMI: Ugutan Gapena tidak membina

Oleh SITI ATHIRAH DZULKIFLY

KUALA LUMPUR 22 Dis. - Ugutan Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) untuk mengambil tindakan mahkamah terhadap Kementerian Pelajaran tidak membantu kerajaan mencapai keputusan terbaik berhubung isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, tindakan tersebut bukan sahaja tidak membina malahan menyulitkan pihak kementerian membuat keputusan demi masa depan anak-anak bangsa.

''Semua pihak berhak jika hendak mengambil tindakan tapi yang ganjilnya mengapa sekarang selepas enam tahun dasar ini dilaksanakan?.

''Lebih-lebih lagi apabila kebelakangan ini sudah lima perbincangan meja bulat diadakan dan sekarang hanya tinggal peringkat akhir untuk membuat rumusan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Gapena yang kemungkinan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Kementerian Pelajaran sekiranya PPSMI diteruskan.

Gapena menerusi Ketua Satunya, Profesor Emeritus Tan Sri Ismail Hussein mendakwa pelaksanaan PPSMI itu secara jelas mencabul Fasal 152, Perlembagaan Persekutuan yang telah termaktub berhubung status bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Ismail berkata, tindakan itu kelak merupakan kemuncak kekecewaan Gapena, kalangan cendekiawan termasuk pencinta bahasa Melayu selepas desakan supaya PPSMI tidak diteruskan, tidak mendapat maklum balas sewajarnya daripada kerajaan.

Hishammuddin menambah, ugutan sedemikian pernah dilakukan oleh Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Jiao Zhong) yang menentang konsep Sekolah Wawasan berikutan khuatir fungsi Lembaga Pengelola Sekolah Cina akan hilang.

Namun, menurut beliau, selepas memberi penjelasan yang kukuh, Dong Jiao Zhong menarik semula hasrat untuk mengambil tindakan mahkamah terhadap kementerian.

''Untuk membantu kementerian membuat keputusan dalam hal ini semua pihak perlu mengemukakan hujah-hujah yang rasional tanpa emosi bersandarkan fakta dan angka.

"Ini demi masa depan anak-anak bangsa kita, '' tegasnya. (Utusan Malaysia Online, 23 Disember 2008)

Komen:
Komen YB Menteri pelajaran itu kurang tepat. Setahu kami yang mengikuti perjalanan dan kegiatan Gapena, selama enam tahun ini berbagai kegiatan diadakan untuk meminta dan merayu Kerajaan mengembalikan penggunaan bahasa melayu dalam Sains dan Matematik. Pelbagai seminar dan kongres yang berakhir dengan resolusi, tetapi resolusi yang diserahkan kepada pihak berwajib seperti disimpan dalam laci sahaja.

Bukan Gapena dan pihak-pihak lain duk diam sahaja. Tapi YB kan lebih maklum. Kalau pernyataan keluar dari mulut tokoh pemimpin media akan siarkan besar-besaran dan berhari-hari pernyataan itu diolah dalam pelbagai sudut. Tetapi kalau pernyataan itu dikeluarkan oleh pertubuhan seperti Gapena, mana media yang hendak besar-besarkan. Kadang-kadang pernyataan itu dijadikan berita penyendal halaman sahaja (filler).

Inilah bezanya treatment pernyataan untuk santapan media. Maka tak betullah pandangan YB itu. Tak ada yang gamnjil YB. Ini mungkin opsyen terakhir yang ada bagi Gapena. Mesyuarat sudah, berjumpa sudah. berbincang sudah. Tapi pihak berkuasa buat tak kisah sahaja. Terlalu obses dengan sistem yang ada. Kami rasa komen YB itu aneh sesikit. Macamlah baru semalam YB dilantik Menteri pelajaran.

Dan adalah pelik apabila YB Menteri berkata seolah-olah bahasa Inggeris satu-satunya yang menentukan masa depan anak-anak bangsa. Agaknya orang Peranchis, orang Jerman atau orang Jepun berada dalam keadaan menyulitkan demi masa depan anak-anak bangsa itu kerana tidak menggunakan bahasa Inggeris dalam sistem pendidikan mereka.

Memang lucu bunyinya!

APA KHABAR ORANG MABBIM, MASTERA?


Kliping akhbar tentang Fokeps di Johor Bahru 2001. Kelhatan Dato' A. Ghani Othman, Menteri Besar Johor (kiri) dengan Dato' A. Rahim Bakar, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP.

Penubuhan Fokeps di Johor Bahru
Catatan A.F.Yassin

Hampir tujuh tahun lalu cerita kerjasama bahasa dan sastera Indonesia dan Malaysia telah pun ada. Malah jauh sebelum itu cerita kerjasama ini telah ada. Tetapi perbincangan demi perbincangan dilakukan namun hasilnya belum menampakkan kesan yang menyeluruh. Masih ada hambatan psikologi menghantu kedua-dua bangsa yang sebenarnya serumpun ini.

Masyarakat umum tentu lebih mahfum akan wujudnya sebuah organisasi bahasa yang dinamakan Mabbim (Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia. Kemudian ada pula yang disebut Mastera (Majlis Sastera Asia Tenggara). Kedua nama ini amat familiar di kalangan orang sastera dan bahasa di kedua-dua Negara. Kegiatan diadakan saban ketika di kedua-dua Negara. Minimum pertemuan dalam bentuk rapat dan mesyuarat diadakan.

Masih saya ingat pada 16 Mac 2001 yang lalu, seorang wakil Indonesia yang mahu dikemal dengan hanya Daeng di sidang Mabbim (Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia) dan Mastera (Majlis Sastera Asia Tenggara) sebelum meninggalkan Johor Bahru menuju Batam melalui Stulang laut Rabu lalu berkata, “Bertemu kita lagi di Jakarta 1 April ini dalam seminar di Universitas Indonesia.” Daeng ini barangkali merujuk kepada seminar bahasa dan sastera anjuran universiti tertua Indonesia itu. Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Gabungan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) diundang ikut serta.

Daeng ini orang Makasar (dulunya Ujung Pandang) di Sulawesi Selatan. Dia penulis dan budayawan. Januari lalu dia ditemui di Makasar dalam rangka menjejaki bahasa Melayu di sana. Pertemuan santai di warong kopi bersama temannya, salah seorang pewaris raja terakhir Makasar berakhir malam itu dengan harapan akan bertemu semula di seminar MABBIM di Johor. Maka selama seminggu kami bertemu di Johor Bahru sempena Sidang MABBIM dan Mastera yang berakhir Sabtu semalam.

Turut bersama menuju Batam ialah Taufik Ikram Jamil, sasterawan dari Riau dan Dustin Cornwell dari Wisconsion, Amerika Syarikat. Dustin adalah wakil tunggal dari Amerika dalam seminar ini. Dia fasih berbahasa Melayu dan pintar menulis dalam Jawi. Malah beberapa catatannya semasa mengikuti seminar ditulis dalam Jawi. Terpukau juga orang melihatnya menulis begitu spontan dan cantik. Kata Dustin dia mahu ke Batam dan Tanjung Pinang melihat kesan sejarah silam. Dan dia berada di “dalam tangan” orang yang mengenal sejarah nusantara seperti Daeng dan Taufik.

Seperti halnya Daeng berbicara tentang sejarah MABBIM dan Mastera. “Saya mengikuti perjalanan Mabbim sejak tahun 1972 dan Mastera sejak lima tahun lalu. Satu usaha yang baik dari pemerintah saudara. Saya kagum dengan peruntukan yang begitu besar untuk membangun bahasa dan sastera di negara ini. Yang buat kami belum pernah diimpikan,” kata sasterawan Makasar ini. Kata-katanya meyakinkan dan usianya yang dilihat dari tanda rambutnya yang mula memutih memperkuat kesahihan ceritanya itu.

Soalnya bagaimana dia boleh dan mampu menjemputkan diri datang ke sidang di Johor Bahru ini menarik juga untuk dicari jawapan. Sebabnya jarak Makasar dengan Johor bukan kepalang jauhnya Naik pesawat juga akan memakan masa hampir empat jam melalui Jakarta dan KualaLumpur. Apakah “jemputan”nya ditaja atau dia memang punya peruntukan peibadi untuk berkunjung demi bahasa dan sastera yang dia cintai dan dukung. Begitu pulalah para peserta lainnya yang datang dari pelusuk Indonesia, terutama Riau dan Jakarta. Daripada 250 peserta yang hadir dalam persidangan seminggu ini hampir seperlima adalah dari negara jiran itu.

Persoalan ini timbul kerana dalam sidang Jawatankuasa Kerja Mastera malam Jumaatnya perkara pembiayaan perwakilan Indonesia disentuh. Malah persoalan ini menyita waktu yang banyak. Penyair Taufik Ismail menyuarakannya. Begitu juga halnya dengan Kepala Pusat Bahasa Indonesia Jakarta, Hassan Alwi. Mereka menyuarakan hambatan fiskal dengan kosnya yang terlalu tinggi untuk, misalnya menghantar perwakilan yang besar ke Negara Brunei Darussalam tahun depan sempena Pertemuan Sasterawan Nusantara. Negara Brunei Darussalam menjadi tuan rumah setelah pertemuan terakhir di Johor Bahru tahun lalu.

Apapun jua, Daeng atau Ikram punya keterikatan emosi yang tinggi dan kental terhadap perjuangan bahasa dan sasetara Melayu. Anak Makasar dan Riau ini adalah contoh ideal warga negara jiran yang hampir seluruh usianya diabadikan kepada pembangunan bahasa san sastera ibundanya. Mereka seperti tidak tergugat dengan kedudukan kewangan apatah lagi situasi politik yang tidak menentu di negera sendiri. Taufik Ismail juga begitu. Namun rasanya dia sedikit beruntung kerana kehadirannya di Johor Baharu barangkali di taha oleh Balai Pustaka Jakarta. Sebabnya Taufik merupakan salah seorang wakil Indonesia ke persidangan Forum Kerjasama Penerbitan Serantau (Forkeps) yang dilancarkan dengan rasminya oleh Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Datuk Rahim Bakar Khamis lalu. Dan Taufik turut menjadi wakil Indonesia dalam Sidang Mastera.

Apapun jua, persidangan serentak MABBIM, Mastera dan Forkeps ditandai dengan seminar bahasa dan sastera selama dua hari. Manakala pada hari pertama berlangsung pula sidang eksekutif Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu yang dihadiri oleh perwakilan dari Malaysia, Indonesia, Negara Brunai Darusaalam dan Singapura. Beberapa tokoh bahasa dan sastera dari masing-masing negara anggota membentangkan kertaskerja. Malaysia mengenengahkan tokoh-tokohnya seperti mantan Ketua Pengarah DBP, Datuk Dr. Hj Hassan Ahmad, Prof. Madya Dr. Idris Zakaria, Dr. Norizan Ramli dan Prof.Madya Dr Aziz Deraman ( sama nama dengan Ketua Pengarah DBP). Indonesia pula menampilkan Drs. Saini KM, Dr. Multiamia RMT Lauder. Brunei diwakili Dr. Hj Abu Bakar Pangiran Haji Saifuddin dan Dr. Ampuan Haji Brahim Haji Tengah. Singapura mendatangkan Prof Madya Dr.Kamsiah Abdullah.

Dalam bidang sastera Malaysia mengirimkan Dr. Mohd Anwar Rethwan dan Prof. Dr. Baharuddin Ahmad. Indonesia diwakili Prof. Dr. Suparno dan Taufik Ikram Jamil. Brunei mengenengahkan Dr. Haji Jaludin Haji Chuchu, Dayang aminah Hj Momin dan Awang Hj Mohd Zaini Haji Omar manakala Singapura mendatangkan Dr. Hadijah Rahmat. Dari Negeri Thai dijemput Prof.Madya Rattiya Salleh. Sidang seminar ditakhir dengan forum bahasa dan sastera dengan ahli panelnya Prof. Madya Dr. Sidek Fadzil dari Malaysia, Dr. Hassan Alwi dari Indonesia dan Awang Haji Mohd Zaini Haji Omar dari Negara Brunei Darussalam.

Yang dibincangkan menyangkut cekrawala bahasa dan sastera dari daerah nusantara dengan pengkhususan kepada negara ahli panel. Menariknya ialah ada semacam kebersamaan dan kesatuan dalam hasrat dan upaya untuk meningkatkan penggunaan dan kemampuan bahasa dan sastera di daerah Melayu, dilihat dari sisi yang lebih luas. Perkataan Melayu seperti bahasa Melayu dan sastera Melayu bukan lagi diucapkan dengan hati-hati oleh para pembentang kertas kerja dan peserta, tetapi lepas bebas. Seolah-olah sudah terlahir satu pengakuan bahawa bahasa Melayu sememangnya bahasa pertuturan di alam Melayu. Bahasa Indonesia disebut secara berkembar dengan menggunakan garis miring. Daeng, peserta dari Makasar berkali-kali menyebut bahasa Melayu setiap kali kami bertemu dan berbincang santai di luar sidang atau di lobi hotel, tempat persidangan diadakan.

Sebenarnya yang menjadi ranjau, jika ia dikatakan ranjau ialah tentang istilah bahasa Melayu dan bahasa Indonesia. Seorang peserta Indonesia menyuarakan pendapatnya yang barangkali dianggap radikal jika diucapkannya dalam sebarang acara rasmi di Jakarta. “Kita dipisahkan oleh istilah politik saja,” katanya. “Saya kagum dengan bahasa Inggeris yang dijadikan istilah menunggal untuk semua penuturnya di dunia. Mereka tak kata bahasa Amerika di Amerika Syarikat. Tidak juga bahasa Australia di Australia. Begitu juga di Kanada. Semuanya berkata bahasa itu bahasa Inggeris. Kami di era reformasi Pak. Kami bisa bicara apa sahaja kerana kami melihat realiti sospol (sosial-politik).”


“ Apakah itu ranjau?”
“ Ya dan tidak. Dari sisi politik tidak. Kerana ia satu realiti. Tapi dari sisi budaya, ia ranjau. Kerana budaya itu tidak tanpa sempadan. Kalau pun ada ia dibatasi oleh etnogografis,” jawabnya. Menurutnya, kependekan MABBIM, Mastera cukup untuk menjelaskan apa yang dia katakan.

Katanya, “Nama Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia atau MABBIM dan Majlis Sastera Asia Tenggara atau Mastera secara tidak langsung memperakukan bahawa bahasa Melayu itu sudah begitu identik dengan bangsa-bangsa di keempat-empat negara di Asia Tenggara malah nama Mastera itu sendiri telah menyatukan jiwa dan semangat Melayu di kalangan empat negara.”

Bahkan dalam ucapan Datuk Rahim dalam majlis perasmian sidang Mabbim dan Sastera 12 Mac mengungkapkan perlunya datu penyelarasan sistem bahasa di kalangan “umat negara-negara berbahasa Melayu yang hampir mencecah 300 juta orang.”

Menurut Datuk Rahim, “Dengan adanya sistem bahasa yang relatif seragam bagi satu rantau, walaupun tidak mungkin, malah memang tidak perlu seratus peratus seragam, pelbagai kerjasama dapat dilakukan dan hasilnya pasti mendatangkan manfaat kepada semua pihak. Sebagai contoh yang jelas, dengan adanya penyelarasan sistem ejaan rumi dan peristilahan antara negara-mnegara berbahasa Melayu, komunikasi dalam bidang ilmu dan maklumat menjadi demikian lancarnya sehingga rakyat di setiap negara berbahasa Melayu dapat saling memanfaatkan ilmu yang dikembangkan di negara jirannya. Gagasan perkongsian pintar seumpama inilah yang dapat menjadi asas kukuh bagi pembinaan semula peradaban atau tamadun besar di rantau ini dengan bertunjangkan bahasa Melayu.”

Ketua Pengarah DBP, Haji Aziz Deraman pula dalam majlis yang sama mengulas tema persidangan kali ini, iaitu Bahasa Melayu Pembina Peradaban Baru. Menurutnya bahasa Melayu dari segi tafsiran dan kosenpnya telah dipersetujui oleh Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu sebagai bahasa yang supranasional yang digunakan dengan meluasnya dalam kehidupan penduduk di Alam Melayu, sejak zaman awal tanpa mengira batas politik. Maknanya, bahasa Indonesia, bahasa Malaysia dan Bahasa Melayu Brunei serta Singapura itu cuma merupakan variasi bahasa sahaja. Di dalamnya juga sudah terangkum apa jua hasil tulisan, kepustakaan, karya kreatif atau bukan kreatif, dan sebagainya dalam bahasa Melayu.”

Buah fikir kedua-dua tokoh ini ditunjangi pula oleh pandangan Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman ketika merasmikan sidang bahasa dan sastera serantau itu. Katanya, “Sudah menjadi bukti bahwa kebangkitan kuasa politik dan ekonomi bangsa Melayu di rantau ini, turut berasaskan kekuatan dan persuratannya. Bahasa Melayu dalam tempoh yang cukup panjang, telah menjadi lingua franka untuk pelbagai keturunan di pusat-pusat tamadun Melayu….ketika itu, bahasa Melayu yang secara relatif seragam itu jugalah yang menjadi wahana oengungkap segala peraturan dan undang-undang serta menjadi bahasa pentadbiran dan perhubungan diplomatik antgarabangsa di antara kerajaan Melayu dengan kerajaan asing seperti Belanda dan Inggeris.”

Dan bagi Ghani, walaupun tidak dapat dielakkan wujudnya kepelbagaian di alam Melayu yang terutamanya disebabkan oleh pengaruh setempat tetapi asas-asas keseragaman dalam ejaan, istilah, sebutan, kosa kata dan laras bahasanya “amat penting bagi aktiviti komunikasi rasmi dalam pengajian, pendidikan dan media massa.” Tentunya yang diinginkan Ghani ialah suatu hari nanti keseragaman dalam berbahasa di alam Melayu, tanpa sempadan politik, akan menguasai peradaban bangsa yang dinamakan Melayu. Kalau mampu keseragaman yang bernama bahasa Melayu itu akan sekali lagi menjadi pengikat utama rumpun Melayu, setidak-tidaknya dilihat dari sudut kebudayaan.

Ketika Daeng dan Ikram meluahkan semangat dan emosinya tentang bahasa yang mereka namakan “Melayu” itu, secara tidak langsung dua orang peserta Indonesia itu seperti menggemakan semula buah fikir tiga tokoh ini. Bagaimana nanti di Jakarta dua minggu lagi? Apakah unsur kebersamaan dalam pemikiran terhadap gagasan bahasa Melayu ini akan terus diungkapkan?

Saturday, 20 December 2008

BAHASA: HEI SERRA, SERRA APA NAK JADI, JADI!!

Kesatuan guru tolak tujuh pilihan PPSMI
Oleh Amir Hamzah Nordin
bhnews@bharian.com.my
JERANTUT: Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) menolak ketetapan dibuat dalam Persidangan Meja Bulat Pengajaran dan Pembelajaran Sains serta Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) yang merumuskan tujuh pilihan untuk dipertimbangkan kerajaan dalam membuat keputusan mengenai masa depan PPSMI.

Presidennya, Mohamad Sabri Mohamad Arsad, berkata tujuh pilihan itu menjadi semakin keliru dan menyukarkan semua pihak untuk membuat pilihan.

"Kita mahu bahasa Melayu dijadikan bahasa teras untuk memudahkan pelajar mempelajari kedua-dua subjek itu tanpa kekangan bahasa.



"Dua subjek itu membebankan dan ditambah pula dengan masalah bahasa akan menjadikan bebanan berganda kepada pelajar, sekali gus menyebabkan mereka terus keciciran," katanya kepada Berita Harian, semalam.



Mohamad Sabri berkata, tujuh pilihan disediakan itu seolah-olah tidak memberi peluang dan ruang untuk rakyat memilih kerana semuanya turut menjurus ke arah mahu mengadakan pengajaran dalam bahasa Inggeris.

Katanya, antara masalah dikenal pasti ialah kemahiran guru dalam bahasa Inggeris untuk mengajar dua subjek berkenaan adalah terhad dan ia bakal memberi masalah kepada murid.

"Perkara ini menjadi lebih kritikal di pedalaman, malah keluarga di bandar juga menghadapi masalah sama jika bahasa Inggeris bukan bahasa harian mereka.

"Jadikanlah pemansuhan tulisan Jawi di sekolah rendah pada 60-an sebagai iktibar kerana kesannya kepada generasi sekarang menyebabkan mereka tidak boleh menulis dan membaca jawi dengan lancar sehingga akhbar jawi terus ditutup," katanya.

Mohamad Sabri berkata, peratusan pelajar yang dihantar ke luar negara untuk melanjutkan pelajaran dalam pelbagai bidang juga masih rendah, berbanding mereka yang berada di negara ini.

"Jika kita mahu menghantar pelajar ke luar negara, mereka perlu menghadiri kelas khas atau persediaan seperti diamalkan sebelum ini dan mampu berjaya cemerlang di luar negara.

"Jadi, alasan pengajaran dalam bahasa Inggeris itu untuk menyaingi dan selari dengan keperluan global adalah tidak patriotik sekali," katanya.

Beliau juga menyokong pendapat Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan yang mahukan bahasa Melayu kekal dalam subjek berkenaan.

Komen:
Persatuan Guru telah berkata. Pakar bahasa telah berkata. pejuang-pejuang bahasa telah berkata. Ertinya sebahagian besar rakyat akar umbi telah berkata. Hanya orang yang ingin mempertahankan sesuatu kepentingan sahaja yang enggan berkata dan mahu bahasa Inggeris dikekalkan seperti sekarang untuk pengajaran dalam Sains dan Matematik.

Tidak tahulah apa istilah yang harus digunakan untuk kumpulan yang ingin mempertahankan bahasa Inggeris dalam pengajaran kedua-dua subjek ini. Mungkin kepentingan peribadi kumpulan lebih penting daripada kepentingan masa depan anak cucu. Dan bukan tidak mungkin kumpulan ini terdiri daripada orang-orang yang masih merasa dirinya lebih terhormat dan lebih dimuliakan jika tidak menggunakan bahasa Melayu! Hei Serra, serra, apa nak jadi, jadi. Hei serra,serra, what will be, will be!

Wednesday, 17 December 2008

MENGINGAT TAN SRI AZAHARI TAIB

Azahari Taib meninggal dunia


Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (kiri) bersama dua anak Allahyarham Azahari Md. Taib iaitu Amir Azahari (kanan) dan Mustaza (dua kanan) mengaminkan doa yang dibacakan Imam Besar Masjid Zahir, Sheikh Roslan Abdul Halim ketika menziarahi jenazah Allahyarham (gambar kecil) di rumahnya di Seberang Perak, Alor Star, Kedah, semalam.
________________________________________

ALOR STAR 16 Dis. – Veteran UMNO, Tan Sri Azahari Md. Taib, 84, meninggal dunia akibat sakit tua di rumahnya di Lorong Air Putih, Seberang Perak di sini, 7.30 pagi ini.
Allahyarham yang dilahirkan pada 25 Mac 1924 di Kuala Sala, Kedah aktif dalam bidang politik setelah menamatkan kerjaya sebagai wartawan di Utusan Melayu pada 1959 dan merupakan rakan karib bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Selain itu, Allahyarham adalah ‘mentor’ kepada bekas Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Seri Zainuddin Maidin.
Azahari pernah menjadi anggota Exco kerajaan negeri Kedah dan merupakan antara pejuang kemerdekaan Tanah Melayu.
Anak keenam Allahyarham, Amir Azahari, 47, berkata, bapanya menghembuskan nafas terakhir di pangkuan ibunya, Puan Sri Dalilah Abass, 78, kira-kira pukul 7.30 pagi tadi setelah terjatuh di bilik tidur rumah mereka di sini.
“Bapa saya uzur sejak Ogos lalu dan hampir sebulan beliau tidak menjamah nasi.
“Bapa saya cuba untuk bangun dari katil dan telah terjatuh sebanyak dua kali semalam dan telah meninggalkan kami semua pagi ini,” ujarnya ketika ditemui di sini hari ini.
Berita lanjut, sila rujuk edisi cetakan Utusan Malaysia atau langgani e-Paper di http://ebrowse.bluehyppo.com

Komen:

Tuesday, 16 December 2008

DARI DULU PUN IA MEMANG TAK SAH PUN, TAPI....


Perdana Menteri Ke-2, Tun Abd. Razak Hussain: Melaluinya lahir Penyata Razak selepas lahirnya Penyata Barnes tentang sistem pendidikan di Malaysia.
Melihat PPSMI dari sudut undang-undang

Oleh Abdul Aziz Abdul Rahman

SEJAK beberapa tahun yang lepas banyak perdebatan dan perbincangan berlangsung tentang bahasa pengantar bagi mata pelajaran Matematik dan Sains.

Di peringkat permulaannya bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa pengantar, kemudian kerajaan membuat keputusan untuk menukarkannya ke bahasa Inggeris.

Sekarang pihak kerajaan sedang mengkaji semula perkara ini dan banyak perbahasan telah dan sedang berjalan. Adalah elok bagi kita memfokuskan perkara ini dari sudut undang-undang sebelum pihak kerajaan membuat apa- apa keputusan.

Kegunaan bahasa Inggeris dalam mata pelajaran Matematik dan Sains pada pendapat saya adalah tidak sah di sisi undang-undang.

Ia adalah tidak sah kerana bertentangan dengan seksyen 17(1) Akta 550 Akta Pendidikan 1996 dan dengan sendirinya bercanggah dengan kehendak dan tujuan Artikel 152(1) dan 152(6) Perlembagaan Persekutuan yang berbunyi seperti berikut:

Perkara 152(1) memperuntukkan bahawa 'Bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu dan hendaklah dalam tulisan yang diperuntukkan melalui undang-undang oleh Parlimen:

Dengan syarat bahawa:

- (a) tiada seorang pun boleh dilarang atau dihalang daripada menggunakan (selain bagi maksud rasmi), atau daripada mengajarkan atau belajar, apa-apa bahasa lain.

Perkara 152(6) pula menyebut dengan perkara ini "maksud rasmi" ertinya apa-apa maksud kerajaan, sama ada Kerajaan Persekutuan atau kerajaan negeri, dan termasuklah apa-apa maksud sesuatu pihak berkuasa awam.

Perkara-perkara berhubung dengan sistem pendidikan negara, mata pelajaran utama dalam kurikulum kebangsaan yang diuruskan oleh Kerajaan melalui kementerian pendidikan adalah bagi 'maksud rasmi' seperti dinyatakan oleh Artikel 152 (6) Perlembagaan Persekutuan dan Artikel 152 hendaklah dipatuhi oleh kerajaan.

Mengikut sistem pendidikan kebangsaan, bahasa kebangsaan adalah ditetapkan sebagai bahasa pengantar utama di semua institusi pendidikan sebagaimana ternyata oleh seksyen 17 (1) Akta 550 yang berbunyi seperti berikut:

''Bahasa Kebangsaan hendaklah menjadi bahasa pengantar utama di semua institusi pendidikan dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan kecuali sekolah jenis kebangsaan yang ditubuhkan di bawah seksyen 28 atau mana-mana institusi pendidikan lain yang dikecualikan oleh Menteri daripada sub seksyen ini".

Peruntukan seksyen 17(1) Akta 550 adalah sebagai mematuhi kehendak Artikel 152(1) dan 152(6) Perlembagaan Persekutuan.

Mengikut seksyen 18(2) Akta 550, kurikulum kebangsaan adalah ditetapkan oleh Menteri Pendidikan dan beliau sudah pun menetapkan mata pelajaran teras yang menjadi asas utama pendidikan murid di semua sekolah. Sebagaimana ditetapkan, mata pelajaran teras pada peringkat sekolah rendah yang memerlukan bahasa pengantar ialah Matematik, Sains, Kajian Tempatan dan Pendidikan Islam bagi murid Islam atau Pendidikan moral bagi murid bukan Islam.

Pada peringkat sekolah menengah, mata pelajaran teras yang memerlukan bahasa pengantar ialah Matematik, Sains dan Pendidikan Islam bagi murid Islam atau Pendidikan moral bagi murid yang tidak beragama Islam.

Berasas kepada kehendak Artikel 152(1),(6) Perlembagaan Persekutuan dan seksyen 17(1) Akta 550, adalah wajib bagi kesemua mata pelajaran teras yang tersebut diajar di semua sekolah menggunakan bahasa pengantar utama iaitu bahasa Melayu. Tetapi sebagaimana kita tahu sekarang mata pelajaran Matematik dan Sains adalah diajar dalam bahasa Inggeris.

Adalah jelas bahawa sudah ada pelanggaran undang-undang iaitu apabila seksyen 17 (1) Akta 550 tidak dipatuhi.

Mungkin ada pihak yang menghujah bahawa mata pelajaran teras yang disenaraikan dalam Jadual mengikut seksyen 18 Akta 550 itu bukanlah mata pelajaran yang memerlukan bahasa pengantar utama (Bahasa Melayu) pada keseluruhannya.

Pada mereka sebahagian besar daripada mata pelajaran teras sudah mencukupi, untuk mematuhi syarat, tetapi itupun sudah ada pelanggaran seksyen 17 (1) Akta 550 juga.

Ini kerana bagi kurikulum sekolah rendah, mata pelajaran yang memerlukan bahasa pengantar ialah dua mata pelajaran diajar dalam bahasa Inggeris dan dua mata pelajaran diajar dalam bahasa Melayu.

Maknanya Matematik dan Sains diajar dalam bahasa Inggeris manakala kajian tempatan dan pendidikan Islam dalam bahasa Melayu.

Ini adalah nyata bahawa tidak sebahagian besar dari mata pelajaran teras diajar dalam bahasa pengantar utama (Bahasa Melayu). Bagi sekolah menengah pula, dua mata pelajaran iaitu Matematik dan Sains diajar dalam bahasa Inggeris, dan satu mata pelajaran sahaja iaitu pendidikan Islam dalam bahasa Melayu. Ini adalah lebih jelas bahawa seksyen 17 (1) Akta 550 tidak dipatuhi dan adalah salah di sisi undang-undang.

Kesimpulannya kegunaan bahasa Inggeris bagi mata pelajaran Matematik dan Sains adalah tidak sah di sisi undang-undang dan perkara itu mesti diberi perhatian oleh pihak-pihak yang terlibat dalam perbincangan meja bulat PPSMI hari ini. (Utusan Online, 16 Dis 2008)

Komen:
Semua tahu dari segi undang-undang pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris memang tak sah.Malah sebuah dunia dah tahu. Cuma ada orang lebih hebat boleh mengenepikan undang-undang dengan membuat tafsiran sendiri konon demi nak membuat pelajar-pelajar fasih berbahasa Inggeris. Pakar bahasa pun dah lebih daripada tahu tentang apa yang baik dan yang tak baik, apa yang negatif dan yang positif mengajar dalam bahasa selain daripada bahasa kebangsaan. Tapi demi masa depan anak-anak dan generasi berikut, maka diajarlah mereka dengan menggunakan bahasa pengantar Inggeris.

Kesan sampingan daripada penggunaan bahasa pengantar selain bahasa Kebangsaan ini semua dah tahu. Masalahnya ada yang tahu tapi pura-pura tak tahu. Tanyalah menteri yang terbabit dengan penggunaan bahasa pengantar ini, dan pegawai-pegawai kementerian berkenaan apakah benar-benar mereka jujur dalam memberikan tafsiran tentang kesan daripada penggunaan bahasa yang bukan bahasa kebangsaan ini. Perbincangan demi perbincangan dibuat tapi kenyataannya keputusan mungkin telah pun dibuat sebelm pun perbicangan selesai dibuat. Hanya menunggu pengumuman sahaja. Anda tahu dan semua pun tahu apa keputusannya.

Dan Dr. Awang Sariyan, pakar bahasa yang kini berada di Beijing pun tahu!

Sunday, 7 December 2008

BAHASA MELAYU: SELAMA INI KITA ASYIK DENGAN SLOGAN SEMATA-MATA?!


Dato' Seri Dr. Rais Yatim: Menteri yang bukan sahaja setakat banyak bercakap dalam bahasa Melayu tetapi turut menggalakkkan penggunaan bahasa itu dalam majlis-majlis rasmi dan tak rasmi berbanding menteri-menteri lain dalam kabinet.

Memperkasa BM tanggungjawab semua kaum
Di luar lingkaran Johan Jaaffar

Zaman slogan berakhir, ini masa bertindak

SEWAKTU merasmikan sambutan jubli emas Institut Pendidikan Guru Malaysia, Kampus Bahasa Melayu bulan lalu, Datuk Seri Hishamuddin Hussein mengingatkan bahawa zaman berslogan sudah berakhir. Inilah masa untuk menyusun gerak kerja. Menteri Pelajaran menyebutkan tentang perlunya memberi nilai pada aktiviti kebahasaan dan kesusasteraan serta membudayakannya dalam kehidupan rakyat sehari-hari.

Memang kedudukan bahasa Melayu tidak perlu dipersoalkan lagi. Tetapi meletakkannya sebagai bahasa kebangsaan adalah satu hal, memastikannya dihargai dan dimartabatkan sebagai bahasa rasmi negara satu hal yang lain. Kedudukannya dalam Perlembagaan memang jelas tetapi sejauh manakah dinobatkan tahap "kebangsaan" dan "rasminya" satu perkara yang lain.

Memang tidak dapat dinafikan, bahasa Melayu menghadapi pelbagai cabaran masa kini. Gerakan rakyat yang menyokong usaha memartabatkannya pada tahun-tahun 60-an tentulah berbeza dengan keadaan hari ini. Apa yang disebutkan "nasionalisme linguistik" yang menjadi gelombang desakan rakyat untuk melihat bahasa itu bahasa kebangsaan negara tidak kelihatan lagi sekarang. Zaman kebangkitan rakyat yang mahukan bahasa itu dimuliakan sebagai bahasa rasmi nampaknya tidak berlaku lagi. Zaman di mana pejuang bahasa menjadi wira rakyat juga nampaknya sudah berakhir. Bahasa bukan lagi modal menawan hati pengundi.

Zaman berubah bersama nilai dan tuntutan rakyat. Sementara itu bahasa Inggeris menapak kukuh sebagai bahasa perhubungan antarabangsa dan bahasa ilmu. Kini bahasa itu mendapat kekuatan baru melalui asakan teknologi maklumat atau ICT. Bahasa itu menjadi bahasa rasmi alam siber. Memang kesannya pada bahasa-bahasa utama dunia yang lain cukup dirasakan, bukan pada ahasa Melayu sahaja. Bahasa Inggeris mendapat nafas dan kekuatan baru ekoran kedudukan baru itu.

Kita semua tahu keupayaan bahasa Melayu. Bahasa itu menjadi bahasa wahana tinggi dan bahasa ilmu yang boleh mengajarkan pelbagai disiplin dalam bidang sains dan teknologi selain bidang-bidang sains kemanusiaan. Bahasa itu menjadi bahasa rasmi di mahkamah-mahkamah negara. Bahasa itu lebih daripada sekadar pengantara di antara kaum atau bahasa perpaduan.

Memang mudah bercakap tentang usaha memperkasa bahasa Melayu. Tetapi rata-rata tugas itu dibebankan pada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) atau Kementerian Pelajaran. DBP tidak mempunyai Lampu Aladdin untuk menyelesaikan semua masalah kebahasaan. DBP berperanan membina dan mengembangkan bahasa itu, tugas yang telah dilakukan lebih lima dekad. Tetapi bahasa Melayu tidak akan membawa sebarang makna sekiranya ia berkembang dan berkisar hanya di sekitar bangunan DBP atau di kalangan penggunanya yang setia. Bahasa Melayu memerlukan dokongan rakyat.

Oleh yang demikian, adalah menjadi tanggungjawab setiap rakyat Malaysia untuk memastikan bahasa itu dimuliakan dan dihargai. Bukan sekadar orang Melayu atau institusi Melayu atau gerakan bukan kerajaan yang berteraskan Melayu sahaja harus memainkan peranan dalam soal ini. Bahasa Melayu bukan bahasa orang Melayu semata-mata, tetapi bahasa semua kaum. Maka itu tugas memastikan kejayaan program bahasa menjadi tanggungjawab semua rakyat – tidak mengira kaum.

Banyak pihak yang mengambil mudah peranan bahasa itu hari ini. Lihat sahaja keupayaan bahasa itu sebagai bahasa perhubungan di antara rakyat pelbagai kaum. Sabah dan Sarawak menjadi contoh klasik bagaimana bahasa itu menjadi penghubung di antara pelbagai kelompok etnik, malah sesama suku kaum. Di Semenanjung, bahasa itu menjadi jambatan interaksi kaum yang penting. Bahasa itu juga menjadi bahasa pengantara di sekolah-sekolah yang menjadi asas pembinaan sebuah negara bangsa yang kita mahukan.

Ada kalangan yang menghujahkan bahawa sesuatu bahasa akan hanya dihargai peranan dan kedudukannya sekiranya ia mempunyai nilai ekonomi. Hal ini memang tidak dapat dinafikan. Apabila keputusan peperiksaan ditentukan oleh pencapaian bahasa Melayu, maka setiap orang akan bekerja kuat menguasainya. Apabila prasyarat mendapat kerja ialah keputusan mata pelajaran bahasa yang baik, maka ia menjadi motivasi untuk pelajar mendapat markah yang terbaik. Lebih penting lagi ialah kedudukannya dalam dunia komersial dan niaga "di luar sana." Di sinilah nilai sesuatu bahasa akan ditentukan.

Hal inilah yang sangat merunsingkan. Sejak sekian lama, kedudukan ekonomi bahasa Melayu tidak pernah dapat menandingi Bahasa Inggeris. Malah, ada kecenderungan bahawa bahasa vernakular yang lain mempunyai tahap kedudukan ekonomi yang jauh lebih baik. Ini bukan lagi isu persepsi tetapi kenyataan yang harus diterima. Ambil sahaja contoh pendapatan iklan media cetak berbahasa Melayu yang tidak pernah mendapat lebih daripada 25 peratus dari keseluruhan nilai iklan. Berdasarkan angka terbaru, pendapatan terkumpul iklan bagi akhbar berbahasa Melayu hanya RM546 juta setahun berbanding pendapatan akhbar berbahasa Inggeris yang memperoleh RM1.1 bilion. Malah, bukan rahsia lagi pendapatan terkumpul iklan kesemua akhbar berbahasa Melayu di negara ini tidak dapat menandingi pendapatan iklan sebuah akhbar berbahasa Inggeris.

Seperkara lagi ialah pendapatan iklan akhbar berbahasa Cina. Sepanjang setahun berakhir pada September 2008 akhbar Cina memperoleh RM765 juta, lebih RM219 juta dari pendapatan terkumpul akhbar berbahasa Melayu. Dari segi peratusan, akhbar berbahasa Inggeris menguasai 47.5 pendapatan iklan, akhbar berbahasa Cina 30.4 peratus sementara akhbar berbahasa Melayu 21.7 peratus. Memandangkan orang Melayu mewakili lebih 60 peratus rakyat negara ini dan bahasa Melayu merupakan bahasa rasmi negara, hal ini tentulah menghairankan.

Ini bukti jelas bagaimana bahasa Melayu masih dilihat sebagai tidak mempunyai nilai ekonomi yang sepatutnya. Malah, lebih menyedihkan lagi bahawa jumlah cetak akhbar berbahasa Melayu (kecuali dua buah akhbar tabloid yang bersifat bacaan ringan) sebenarnya semakin menurun. Ada pihak yang menyalahkan dasar pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris menyebabkan keadaan ini. Hakikatnya, keadaan ini berlaku lama sebelum dasar itu dilaksanakan. Memang kesan dasar itu terhadap industri persuratkhabaran dan buku berbahasa Melayu agak ketara, tetapi ada faktor lain yang harus juga diambil kira.

Persoalannya jauh lebih kompleks dari itu. Memberi nilai ekonomi pada bahasa bukan sekadar meletakkannya sebagai bahasa kebangsaan tetapi bagaimana bahasa itu "didarjatkan" sebagai bahasa kebangsaan. Sekiranya bahasa itu hanya diterima secara formal sebagai bahasa kebangsaan tetapi tahap penerimaannya tidak mencerminkan tahap rasminya, maka bahasa itu akan terus berada pada tahap ketiga dalam kedudukan ekonominya.

Hishamuddin mengingatkan bahawa usaha memperkasa bahasa kebangsaan menjadi agenda pertama dalam teras Membina Negara Bangsa seperti yang termaktub di dalam Pelan Induk Pendidikan Kebangsaan (PIPP). Beliau juga menyebutkan tentang perlunya "gelombang baru" memperkasa bahasa itu yang menurut beliau bermula dari perayaan Jubli Emas DBP pada Jun 2006. Beliau berkata, "tidak ada jalan pintas untuk gerakan baru yang hendak dimulakan ini, sebaliknya gerakan ini perlu mempunyai perancangan yang teliti dan strategi yang berkesan." Beliau juga mengajak pada "kesatuan fikiran dan kesatuan tindakan setiap penggeraknya." Beliau mahukan usaha memperkasa bahasa itu "dibuat melalui pendekatan yang lebih segar, perancangan yang lebih menyeluruh, pengisian yang lebih mantap dan pelan tindakan yang lebih berfokus."

Masa depan bahasa kebangsaan bergantung pada komitmen semua pihak merealisasikan impian itu. Tugasnya bukan kecil dan penuh berliku. Tepuk dada tanya selera.(Berita Harian, 7 Disember 2008).

Komen:
Baguslah Dato' Johan. Seolah-olah kita baru sedar selama lebih 50 tahun ini kita terleka dengan slogan dan menjerit retorik semata-mata dan dan tidak berbuat apa-apa dalam tindakan. Kembalilah kepada sejarah. Dato' pun pernah bertugas di DBP dan sekarang telah menjadi tempat untuk seluruh kekitangan DBP bernaung. Dato' adalah "orang tua" DBP sejak beberapa tahun kebelakangan ini sebagai Pengerusi kepada Ahli Lembaga Pengelola.

Saya rasa takkanlah selama kita mencapai kemerdekaan dan sebelumnya rakyat tak berbuat apa-apa. Kita baca sejarah pejuang bahasa, kita baca sejarah penubuhan DBP, kita baca sejarah suka-duka bahasa Melayu- setelah diperkutak-katik oleh penjajah kini diperkutak-katik pula oleh pemimpin politik, terutama pemimpin Melayu sendiri.

Kini siapa lagi yang mahu bercakap dalam bahasa Melayu Dato'. PM bercakap bukan dalam bahasa Melayu, TPM kadang-kadang sahaja bercakap dalam bahasa Melayu. Menteri-menteri pun banyak yang bukan Melayunya daripada Melayunya. Ahli-ahli Parlimen pun "segan" nak bercakap dalam bahasa Melayu, bimbang dilabel ketinggalan zaman. Kalau bercakap pun dalam bahasa yang setengah belut setengah ular. Rasmi dan tak rasmi sama sahaja.

Ada pula yang mendakwa dalam bahasa apapun kita cakap, kedudukan bahasa Melayu tetap teguh, utuh dan perkasa. Sebab ia telah termaktub dalam Perlembagaan. Ramai yang ketawa dengar hujah begitu, apatah lagi ia datang dari orang yang mengakui dirinya pemimpin.

Saya rasa "ada yang tak kena" dengan seruan Dato' kolumnis ini. Atau dato' sekadar "gatal-gatal" tangan menulis untuk mencipta persepsi baru dalam kalangan orang ramai tentang kedudukan bahasa Melayu semasa. Ya,sesekali jika kita baca apa yang Dato' kolumnis ini tulis memang ada kebenarannya. tetapi kalau dibaca acapkali tulisan ini, semacam terselit pula mesej tersirat pula, iaitu yang tak nampak. Tak tahulah apa yang tak nampak dan apa pula yang nampak!

Apalah agaknya yang difikirkan Datuk Wira Borhan Yaman, Tan Sri Aziz Tapa, Tan Sri Ismail Hussein dan Yahaya Ismail? Atau kalau masih hidup apa juga yang sedang difikirkan tokoh-tokoh pejuang terdahulu yang telah pergi seperti Arwah Zaaba, Arwah Asraf, Arwah Cikgu Shaharom Hussein, Arwah Cikgu Mohd. Nor Ahmad atau Tun Syed Nasir Ismail? Kalaulah Arwah-arwah itu masih hidup. Dan dalam politik pula kita boleh sebut nama Tun Razak, ayahanda Dato' Seri Najib

Friday, 5 December 2008

SISTEM PENDIDIKAN TUNGGAL CUMA IMPIAN?

Pernyataan Media

Ulasan terhadap Cadangan Mukhriz Mahathir (calon Ketua Pemuda UMNO) tentang Sistem Pendidikan Kebangsaan yang Tunggal

Cadangan itu pada asasnya memang murni untuk pembentukan rakyat yang bersatu padu dan mempunyai sahsiah atau keperibadian kebangsaan, berdasarkan ciri-ciri kenegaraan kita. Itulah inti sari cadangan dalam Laporan Pendidikan Barnes (1952) dan usul jangka panjang Laporan Razak (1956) yang tidak diusahakan sejak kemerdekaan. Usaha menukar sekolah aliran bahasa Inggeris menjadi sekolah aliran kebangsaan secara bertahap merupakan usaha yang selaras dengan cita-cita ke arah pembentukan sistem pendidikan kebangsaan yang unggul. Sayangnya usaha ke arah pembentukan sistem pendidikan kebangsaan secara menyeluruh tidak pernah dilakukan selama setengah abad negara mencapai kemerdekaan.
Cadangan Mukhriz itu pula timbul dalam keadaan arus perdana sikap, pemikiran, kecenderungan politik dan ideologi kepemimpinan parti pemerintah yang tidak berpihak kepada gagasan itu, lebih-lebih sesudah lebih setengah abad kita dibelenggu oleh ketiadaan azam politik kepemimpinan negara sendiri ke arah pembentukan sistem pendidikan kebangsaan sedemikian.
Dalam parti yang dianggotainya, Mukhriz Mahathir tidak berada pada kedudukan yang memungkinkan gagasan itu diterima sebagai dasar partinya, dasar kerajaan dan akhirnya dasar negara kerana semua pemimpin yang mempunyai suara dan kuasa sendiri tidak pernah membayangkan gagasan seumpama itu.. Jelas bahawa ia bersuara dan menimbulkan cadangan itu di luar wacana perdana yang tampaknya akan melenyapkan cadangan itu seperti debu yang ditiup angin sahaja.
Malah cadangan itu tidaklah berlebihan dapat dianggap sebagai pelaburan modal dalam persaingan meraih jawatan yang sedang hebat berlaku di dalam partinya. Jika ditakdkirkan memenangi jawatan Ketua Pemuda UMNO, bersediakah Mukhriz menjadikan cadangannya itu perjuangan yang utama dan berterusan? Keikhlasan mengemukakan cadangan itu pun masih tidak cukup meyakinkan apabila ia mengecualikan pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris sebagai sesuatu yang patut dikekalkan, sedangkan pelaksanaan dasar itu bertentangan sama sekali dengan semangat dan keputusan dasar negara yang berkaitan dengan sistem pendidikan kebangsaan negara, iaitu bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama.

Prof. Dr Awang Sariyan
Ahli Kumpulan Prihatin

5 Disember 2008

Komen:
Nak tahu juga apa pendapat ahli-ahli pendidik dan ahli-ahli bahasa yang lain, seperti Datuk Prof Asmah, Dr. Abdullah Hassan, Datuk Dr. Hassan Ahmad. Dan paling menarik jika Datuk m. Noor Azam, yang begitu dekat dengan Tun Mahathir dapat memberikan ulasan.

Kalau pada zaman kegemilangan UMNO (melalui Perikatan dan kemudian BN) dahulu UMNO begitu kuat di bawah pimpinan Tun Abd. Razak, sistem pendidikan tunggal ini tidak dilaksanakan dan hanya tinggal cadangan, bagaimanalah kita hendak memperjuangkan cadangan Datuk Mukhriz ini? Mungkin ini hanyalah salah satu kempen dan strategi Mukhriz untuk memenangi "jiwa" Pemuda pada pemiihan jawatan Ketua Pemuda Mac 2009 akan datang.

Thursday, 4 December 2008

ANTARA POLITIK NAK HIDUP DENGAN POLITIK PERPADUAN

Kuasa politik jadi penentu

Oleh M. JASNI MAJED

MENARIK apabila membaca cadangan Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir mengenai perlunya pelaksanaan sekolah satu sistem untuk merungkai pelbagai masalah berkaitan perpaduan di negara kita.

Oleh sebab semakin luntur nilai perpaduan dan semangat kebangsaan di kalangan masyarakat di negara kita, alternatif daripada senario tersebut adalah mengadakan sekolah satu sistem dengan harapan pelbagai isu yang diungkit mengenai bangsa, agama dan sejarah negara tidak diperbesar-besarkan.

Cadangan Mukhriz ini sama dengan apa yang dicadangkan dalam Laporan Barnes 1950 yang antara lain menyebut bahawa semua sekolah vernakular Melayu, Cina dan Tamil dibubarkan dan diganti dengan sekolah kebangsaan manakala bahasa Melayu dijadikan sebagai bahasa pengantar di peringkat sekolah rendah.

Bagaimanapun setahun selepas itu wujud pula Laporan Fenn-Wu yang mewakili masyarakat Cina yang mencadangkan sekolah vernakular Cina dikekalkan walaupun mereka menyetujui sistem pendidikan kebangsaan.

Ordinan Pelajaran 1952 pula yang mengambil kira Laporan Barnes dan Laporan Fenn-Wu merumuskan bahawa dua sistem persekolahan menggunakan dua bahasa pengantar iaitu Inggeris dan Melayu. Apabila diletakkan syarat pengajaran bahasa Cina dan Tamil disediakan, ordinan ini ditentang oleh masyarakat Cina dan India.

Penyata Razak 1956 yang menekankan sistem persekolahan yang sama untuk semua penduduk dan juga menyeragamkan kurikulum bercorak kebangsaan memperlihatkan kepada kita ketetapan ini dibuat untuk mencapai persefahaman dan perpaduan tiga kaum terbesar iaitu Melayu, Cina dan India.

Menurut kata tokoh pendidik, Tan Sri Dr. Abdul Rahman Arshad, cadangan Mukhriz itu akan dapat dicapai jika terdapat keazaman politik di kalangan ahli-ahli politik negara kita.

Perpaduan

Oleh hal demikian, dalam usaha mencapai kesepakatan demi menangani masalah perpaduan dan sentuh-menyentuh mengenai pelbagai isu sensitif di kalangan kaum di negara kita, ahli politik mempunyai peranan untuk membincang keberkesanan, hala tuju dan cabaran-cabaran untuk melaksanakan apa yang dicadangkan oleh Mukhriz.

Walaupun apa yang dicadangkan ini bakal mengundang satu polemik tetapi demi mencapai cita-cita murni iaitu ke arah melahirkan masyarakat bersatu padu di negara kita, tidak salah sekiranya ahli politik pelbagai parti membincangkan perkara ini.

Semua memahami bahawa kuasa politik itu sangat besar sehingga kadang-kadang di kalangan mereka juga mampu mencipta istilah baru, menentukan jawapan sebenar soalan peperiksaan yang tidak dapat ditemukan oleh guru, pemeriksa kertas malah pensyarah.

Walaupun cadangan ini sama dengan cadangan dalam Penyata Razak 1956 dan sampai kini tidak boleh dilaksanakan kerana masalah-masalah tertentu, kita juga bimbang cadangan ini hanya tinggal cadangan di atas kertas sahaja sedangkan pelbagai kemelut sedang dihadapi oleh masyarakat.

Daripada apa yang kita lihat sekarang, Akta Bahasa Kebangsaan yang sudah sekian lama diluluskan iaitu pada tahun 1967 pun seolah-olah tercalar disebabkan kuasa politik. Malah apa yang terkandung dalam Perlembagaan juga diusik oleh kuasa politik. Maka kuasa politiklah juga yang dapat mengembalikan perpaduan, pengukuhan terhadap bahasa dan juga keharmonian masyarakat tidak kira apa kaum sekalipun.

Cuba kita hayati isi puisi Allahyarham Sasterawan Negara Usman Awang bertajuk Anak Jiran Tionghua, betapa seorang budak Melayu bernama Iskandar yang berkawan baik dengan seorang budak Cina bernama Ah Chew.

Sebenarnya, persahabatan antara Ah Chew dan Iskandar itu sebagai simbol perpaduan kaum yang perlu dipupuk sejak anak-anak masih kecil dan di bangku sekolah lagi supaya apabila besar nanti merekalah yang bakal meneruskan cita-cita negara yang mahu mencapai kecemerlangan dalam semua aspek. (Utusan Online, 4 Disember 2008)

Komen:

Nampaknya, jika mengambil kira hujah kawan kita di atas dan cadangan Ahli Parlimen Jerlun, Dato' Mukhriz Mahathir, kita kenalah desak Kerajaan mewujudkan satu lagi Laporan atau Penyata baru mengenai pendidikan. Barangkli kita boleh namakan Penyata Jerlun atau Penyata Mukhriz sempena nama tokoh politik yang mencadangkannya.

Dan sepatah kata penulis, M. Jasni Majed, kita memerlukan keazaman politik (political will) untuk menggubal Penyata baru ini. Tentunya kita akan menerima hambatan yang lebih kuat berbanding penggubalan Penyata Barnes atau Penyata Razak. Dan benarlah, belum pun sempat cadangan ini didebatkan umum, telah ada suara yang "memancung" terus idea dan pandangan ini, terutama oleh Timbalan Presiden UMNO dan pemimpin-pemimpin parti politik yang lain. Maka kelihatannya cadangan untuk menyatukan rakyat ini melalui Penyata cara begini gagal "lepas landas"

Begitulah berpengaruh dan tebalnya politik etnosentrik di negara ini.

Saturday, 29 November 2008

BAHASA: IBARAT ANJING MENYALAK BUKIT


Dato' Ibrahim Ali cadang DBP diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri.

ARKIB : 28/11/2008
Letak DBP di bawah JPM
KUALA LUMPUR 27 Nov. - Kerajaan diminta meletakkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) memandangkan institusi tersebut ditubuhkan di bawah Perkara 152 dan 153 Perlembagaan Malaysia untuk memelihara kedudukan bahasa Melayu.

Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas) juga mencadangkan ditubuhkan Suruhanjaya Pelaksana Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

''Saya mencadangkan perkara ini kerana saya dapati tanggungjawab Menteri Pelajaran terlalu banyak sehingga DBP, sebuah agensi yang penting berkaitan dengan bahasa diabaikan.

''Sebab itu saya cadangkan DBP diletakkan di bawah JPM supaya Perdana Menteri sendiri bertanggungjawab dalam soal dan peranan bahasa Melayu memandangkan ia terkandung di dalam Perkara 152 dan 153 Perlembagaan Malaysia,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika berbahas pada peringkat jawatankuasa Bajet 2009 untuk Kementerian Pelajaran pada Persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Ibrahim memberitahu, telah banyak pencabulan berlaku terhadap bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Jelasnya, Perkara 152(1) Perlembagaan Malaysia menyatakan bahawa urusan rasmi kerajaan harus menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tetapi didapati berlaku banyak penyelewengan.

Beliau juga bersetuju dengan celahan Tan Sri Khalid Ibrahim (PKR-Bandar Tun Razak) agar DBP dijadikan sebuah institusi bebas dan bertanggungjawab sepenuhnya dalam isu bahasa Melayu dengan peruntukan RM500 juta setahun.

''Asalkan setiap tindakan memberi kebaikan terhadap pelaksanaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan lebih penting ia mempunyai kuasa penguatkuasaan di bawah undang-undang,'' katanya.

Ibrahim juga bertanya bilakah Akta Dewan Bahasa dan Pustaka 1967 akan dipinda dan dibentangkan di Parlimen memandangkan di situlah terletaknya kelemahan DBP yang tidak mempunyai kuasa undang-undang dalam soal bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Katanya, kelemahan itu menyebabkan kerajaan negeri Pulau Pinang menggunakan pelbagai bahasa untuk papan tanda jalan di negeri tersebut.

''Kerajaan negeri ini meluluskan apa sahaja yang mereka mahu tetapi mereka kena ingat bahawa soal penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan terdapat dalam Perlembagaan Malaysia.

''Apa yang dilakukan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang sebenarnya telah melanggar undang-undang tertinggi negara iaitu Perlembagaan Malaysia,'' katanya.

Katanya, selagi soal DBP dan penguatkuasaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tidak diselesaikan bermakna kerajaan masih tidak bertanggungjawab terhadap bahasa tersebut.

Beliau juga mahukan nama-nama jalan di pusat pentadbiran Kerajaan Pusat, Putrajaya ditukar kepada bahasa Melayu.

Malahan tegasnya, papan-papan tanda di kedai-kedai yang pada masa ini menggunakan pelbagai bahasa juga perlu diturunkan dan diseragamkan dengan ditulis bahasa Melayu sahaja.

''Ini bagi memberikan identiti kepada negara ini seperti mana yang dilaksanakan di Thailand dan Indonesia hanya menggunakan bahasa rasmi negara itu,'' katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Ir. Dr. Wee Ka Siong semasa menggulung perbahasan memberitahu, kementerian telah mengenal pasti calon Ketua Pengarah DBP yang mampu melaksanakan tugas serta bekerja bersama-sama Lembaga Pengelola DBP.

Ka Siong berkata, kementerian kini dalam peringkat akhir penyemakan latar belakang calon terbabit dan akan mengumumkan pelantikan itu tidak lama lagi.

''Kita telah mempunyai calon yang sesuai untuk dilantik sebagai Ketua Pengarah DBP, cuma beberapa perkara perlu dipastikan agar pelantikan itu dapat diterima oleh semua yang berkepentingan di institusi tersebut," katanya.

Ka Siong memberitahu, pindaan terhadap Akta DBP juga kini masih diteliti oleh penasihat undang-undang kementerian bagi memastikan kuasa dapat diberikan kepada DBP untuk menguatkuasakan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan seperti terkandung dalam perlembagaan negara.

Jawatan Ketua Pengarah DBP kosong selepas kontrak Datuk Dr. Firdaus Abdullah tamat beberapa bulan lepas.

''Kementerian komited untuk melihat DBP dapat melaksanakan tugasnya sebagai sebuah badan yang bertanggungjawab untuk memastikan pelaksanaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.(utusan Malaysia 28 Nov 2008)

Komen:
Cadangan Dato' Ibrahim Ali, Ahli Parlimen bebas itu bagus. Pernah juga beberpa tahun dahulu ada golongan pencinta bahasa mahukan suaya DBP diletakkan di bawah Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, yang pada waktu itu dipimpin Dato' Seri Dr. Rais Yatim. Sekarang ada pula yang mahu DBP diletakkan di bawah JPM atau diberi status agensi bebas.

Tetapi ada pula sesetangah penganalisis yang berpendapat bahawa soal DBP bukan boleh selesai dengan meletakkannya di bawah kementerian dan jabatan mana sekali pun. Yang lebih mendesak ialah peranan yang dimainkan DBP untuk memperkasa bahasa Melayu sebagai bahasa nasional, bahasa ilmu dan bahasa perpaduan.

Tidak ada maknanya kalau kita letakkan DBP di bawah Jabatan Perdana Menteri jika sekarang ini sudah ada negeri yang dengan mudahnya menggunakan pelbagai bahasa di papan tanda jalan. Di mana letaknya wibawa dan wewenang DBP sebagai pemantau penggunaan bahasa di negara ini. Kononnya pelbagai bahasa digunakan untuk memudahkan pelancong asing berkomunikasi. Di Perancis kerajaannya tidak pula menggunakan pelbagai bahasa di papan tanda jalannya. tetapi ada sebuah negeri yang kebetulannya jiran kita menggunakan pelbagai bahasa di papan tanda jalannya.Sama seperti yang dilakukan di sebuah negeri di Semenanjung

Anehnya tidak ramai suara yang meluahkan rasa kurang senang mereka terhadap tindakan kerajaan negeri terbabit. Pada hal Perlembagaan memperuntukkan perkara bahasa yang dengan jelas memberi keutamaan kepada penggunaan bahasa nasional. Baragkali pula bukanlah satu kesalahan jika pelbagai bahasa digunakan, walaupun ia bertentangan dengan Perlembagaan. Dan akhirnya perkara bahasa dalam Perlembagaan akan hanya menjadi satu hiasan perlembagaan sahaja. Tidak ada siapa yang peduli.

Soalnya apakah cadangan Ibrahim itu akan tinggal cadangan sahaja. Maklumlah cadangannya ibarat anjing menyalak gunung sahaja. Pemimpin Melayu sendiri pun berulang-ualang kali berkata bahawa bahasa Melayu memang telah termaktub dalam Perlembagaan dan tidak ada siapa yang dapat dan boleh menggugatnya. Lalu setelah bahasa Melayu tidak boleh lagi diganggu-gugat maka tidak mengapalah jika kita menggunakan bahasa lain, seperti Inggeris dalam percakapan. Nahu tunggang langgang pun tak apa apabila bercakap asal sahaja kita tidak menggunakan bahasa yang mereka anggap bahasa kampungan!!

Kesihan Dato' Ibrahim Ali yang keseorangan dalam soal bahasa ini.

Friday, 28 November 2008

PENA "BELASAH" GAPENA KERANA BAHASA


Ketua Satu Gapena, Tan Sri Ismail Hussein (Foto: A.F.Yassin)

SASTERA Pena belasah Gapena isu PPSMI
Oleh Nazmi Yaakub dan Rashiqah Ilmi Abd Rahim

MESYUARAT Agung Tahunan (AGM) Persatuan Penulis Nasional (Pena ke-45 menyaksikan organisasi itu membelasah Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) berhubung isu pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI), hangat diperkatakan kini.

Gapena didakwa tidak teguh dalam memperjuangkan PPSMI meskipun dasar perjuangan kedua-dua persatuan penulis terbabit seiring pada peringkat awal kemunculan mereka dalam mempertahankan hal bahasa dan sastera negara.

Presiden Pena, Datuk Baharuddin Zainal atau lebih dikenali sebagai Baha Zain, berkata Pena kekal dengan pendirian menentang PPSMI meskipun pendirian Gapena berhubung perkara terbabit kabur ekoran sikap pemimpin mereka mendiamkan diri.



“Sikap berdiam diri Gapena tidak mencerminkan imej persatuan itu yang sayang kepada masyarakat Melayu, malahan Gapena seakan-akan menyokong pelaksanaan PPSMI yang boleh membunuh jati diri bangsa Melayu,” katanya ketika berucap selepas pengumuman pelantikannya sebagai presiden pada AGM ke-45 di Rumah Pena, Jalan Dewan Bahasa, Kuala Lumpur, Ahad lalu.

Baha Zain berharap kerajaan dapat mempertimbangkan dengan serius kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu yang pernah dimantapkan oleh Perdana Menteri Malaysia yang ke-2, Allahyarham Tun Abdul Razak Haji Datuk Hussein al-Haj.

“Saya yakin masyarakat Melayu tidak mahu melihat bahasa Melayu tergadai hanya kerana kepentingan peribadi sesetengah pihak. Kita perlu sedar bahawa PPSMI bukan saja menyebabkan maruah Melayu tergadai, malahan ia boleh menjejaskan golongan intelektual Melayu,” tegasnya.

Ahli Pena, Shahrun Nizal Mohd Nor, menyarankan Pena agar menggembleng dan menggerakkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang tidak mempunyai kepentingan politik untuk mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berhubung PPSMI.

“Pena wajar menuntut pihak terbabit untuk mendedahkan statistik pelajar yang menjawab dalam bahasa Inggeris bagi kedua-dua subjek itu pada Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) 2008 secara menyeluruh kerana kita mahu mengetahui perbandingan pelajar di sekolah luar bandar dan sekolah di bandar,” katanya.

Bagi Shahrun, tempoh pelaksanaan selama ini sudah pun memadai untuk kita membuat kesimpulan bahawa ia gagal memandangkan hanya 40 peratus daripada keseluruhan pelajar menjawab kedua-dua subjek berkenaan dalam bahasa Inggeris dalam UPSR tahun ini.

...AGM Ke-45 Pena turut menyaksikan peralihan kepimpinan seperti yang dijangka apabila Baha Zain mengambil alih jawatan presiden daripada bekas presidennya, Datuk Ahmad Sebi Bakar manakala Mohamad Saleeh Rahamad sebagai timbalannya.

Jawatan Setiausaha Agung, Timbalan Setiausaha Agung dan Bendahari kekal disandang oleh SM Zakir, Shamsudin Othman dan Rasanubari Asmaramah manakala Ahli Jawatankuasa Kerja, Dr Ahmad Razali Yusof dan Dr Ibrahim Ghaffar.(Petikan Berita Harian,27 Nov. 08)

Komen:
Ternyata Pena dan Gapena masih belum menemukan satu bentuk kerjasama, terutama yang melibatkan isu bahasa dan persuratan. Baru-baru ini, Gapena menjemput bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ke Majlis Wacana Gapena untuk bercakap tentang Dilema Melayu. Dan dalam majlis itu Tun bercakap betapa pentingnya bahasa Inggeris digunakan dalam pengajaran Sains dan Matematik.

Barangkali kehadiran Tun Mahathir sebagai tamu Gapena dalam majlis wacana ini menjadi salah satu sebab Pena "membelasah" Gapena, walaupun Pena, melalui Presiden barunya, Datuk Baharddin Zainal (Baha Zain)mendakwa Gapena tidak tegas dengan sikap dan pendiriannya terhadap isu penggunaan bahasa Inggeris dalam kedua-dua mata pelajaran itu.

Tak tahulah apa nak jadi dengan bahasa Melayu ini ketika masyarakat penulis masih juga "bercakaran" sesama sendiri tentang kedudukan bahasa itu.

Wednesday, 26 November 2008

BAHASA MELAYU: DR AWANG TOLAK DAKWAAN DR MAHATHIR


Dr. Awang Sariyan (kiri) dan Tun Mahathir Mohamad: "Dr, Mahathir masih dengan sikap biasanya yang tidak seekali berubah atau berpatah balik apabila telah membuat keputusan."

'Bahasa sumber ilmu bukan masalah besar'
PANDANGAN bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam Wacana Dilema Melayu anjuran Gapena baru-baru ini bahawa Pengajaran dan Pembelajaran Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) patut diteruskan tidaklah memeranjatkan.

Ini kerana beliaulah pencetus, pemutus dan pelaksananya. Dr. Mahathir masih dengan sikap biasanya yang tidak sesekali berubah atau berpatah balik apabila telah membuat keputusan.

Isunya ialah bahawa hujah Dr. Mahathir merupakan hujah yang tergelincir daripada hakikatnya. Dalam laporan Bernama, beliau mengatakan bahawa PPSMI penting agar anak-anak Melayu menguasai Sains dan Matematik dan sekali gus meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris. Ketika beliau membuat keputusan untuk melaksanakan PPSMI, tiada kajian yang dibuat yang menunjukkan bahawa kelemahan penguasaan Sains dan Matematik di kalangan pelajar Melayu (jika benar anak-anak Melayu begitu lemah dalam kedua-dua subjek itu) disebabkan oleh pengajarannya dalam bahasa Melayu. Kita malah sebenarnya telah melahirkan ribuan sarjana dalam bidang sains dan teknologi yang berwibawa dan bertaraf antarabangsa melalui Dasar Pendidikan Kebangsaan yang berteraskan bahasa Melayu.

Adakah Dr. Mahathir bermaksud bahawa Dasar Bahasa Kebangsaan dan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang digubal dan dilaksanakan oleh kerajaan sejak merdeka merupakan dasar negara yang silap? Jika benar, adakah kesilapan itu patut diatasi dengan suatu keputusan yang bersifat ad hoc, dengan membuat keputusan pada tahun 2002 dan terus melaksanakannya pada tahun 2003?

Dr. Mahathir menekankan bahawa bahasa Inggeris patut dijadikan bahasa penghantar Sains dan Matematik kerana bahan ilmu kedua-dua bidang itu banyak tertulis atau terbit dalam bahasa Inggeris. Fakta itu tidak cukup kuat untuk kerajaan mengetepikan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar Sains dan Matematik kerana bahasa Inggeris itu sendiri asalnya hanya bahasa vernakular, bukan bahasa yang diturunkan dari langit sedia sempurna. Sebelum bahasa Inggeris menjadi bahasa besar, orang Eropah bergantung pada bahasa Latin dan bahasa Perancis dalam bidang ilmu, pentadbiran, undang-undang dan ekonomi.

Demikianlah maka bahasa Melayu perlu diberi waktu untuk menjadi mantap semula sebagai bahasa ilmu, termasuk dalam bidang sains dan teknologi. Amat malang halnya apabila kita sendiri tidak mempunyai perancangan dan kesediaan untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa sains dan teknologi, dan cukup sekadar puas hati menyaksikan bahasa Melayu menjadi bahasa percakapan, seperti yang dibanggakan oleh Dr. Mahathir tentang kebolehannya menggunakan bahasa Melayu walaupun belajar di sekolah Inggeris.

Membezakan

Kita perlu membezakan taraf bahasa ilmu daripada bahasa perhubungan sehari-hari jika kita mengimpikan bahasa Melayu menjadi bahasa besar pada masa hadapan. Tentulah aib bagi bangsa Melayu yang berhasrat menjadi bangsa besar di dunia tetapi hanya memiliki bahasa perhubungan sehari-hari dan untuk hal ehwal ilmu dan budaya tinggi terpaksa menggunakan bahasa asing.

Hujah Dr. Mahathir bahawa bangsa Arab menjadi maju kerana mempelajari bahasa Greek untuk menguasai sains dan teknologi juga ternyata meleset. Mempelajari bahasa asing dan menggunakan bahasa asing untuk mengembangkan ilmu kepada masyarakat atau bangsa merupakan dua hal yang sama sekali berbeda. Maka itu tidak ada pejuang bahasa manapun yang menolak hakikat pentingnya kita mempelajari dan menguasai bahasa asing sebagai jambatan ilmu dan tamadun. Namun, PPSMI bukan program pembelajaran bahasa asing, sebaliknya program pengembangan ilmu kepada bangsa kita dalam bahasa asing!

Pada hakikatnya, orang Arab yang mempelajari dan menguasai bahasa Greek ialah para sarjananya, sementara ilmu kepada masyarakat dan bangsanya dikembangkan dalam bahasa Arab.

Memindahkan ilmu

Hal yang sama dilakukan oleh bangsa-bangsa Barat yang memperoleh pelbagai disiplin ilmu daripada sarjana Arab. Mereka mempelajari dan menguasai bahasa Arab untuk memindahkan ilmu dalam bahasa Arab ke dalam bahasa mereka sendiri. Oleh itu bangsa Barat tidak menggunakan bahasa Arab untuk mengembangkan ilmu kepada bangsa mereka, tetapi sebaliknya menggunakan bahasa mereka sendiri. Itulah hakikat jalan sejarah perkembangan tamadun di dunia. Seluruh bangsa dan negara yang besar dan maju di dunia sekarang ini pun masih tetap memajukan bangsa dan negara mereka dalam bahasa masing-masing. Angkasawan kita yang ditumpangkan dalam Soyuz Rusia pun terpaksa beberapa bulan mempelajari bahasa Rusia untuk mengikuti misi ke angkasa lepas. Kekuatan bahasa Inggerisnya rupa-rupanya belum cukup melayakkan dia untuk diterima mengikuti misi tersebut!

Dr. Mahathir turut menggunakan contoh yang silap apabila mengatakan bahawa buku panduan atau manual telefon bersel yang dicetak dalam bahasa Inggeris oleh pengeluar menyebabkan ilmu sains yang diajarkan dalam bahasa Melayu menjadi tidak berguna. Bukankah buku panduan itu dapat diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu, atau pelajar kita yang diajar dengan baik bahasa Inggerisnya dapat memahami buku panduan dalam bahasa Inggeris itu. Mungkin Dr. Mahathir belum pernah melihat adanya telefon bersel yang panduannya ditulis dalam bahasa Melayu pada perisian telefon itu sendiri! Pokoknya, apabila sesuatu bangsa berilmu, bahasa sumber ilmu itu bukanlah masalah yang besar.

Sebagaimana pendukung PPSMI yang lain, Dr. Mahathir mengulang lagu lama bahawa penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajaran Sains dan Matematik bukan langkah meminggirkan bahasa Melayu. Namun, dengan terang di hadapan mata kita bahawa apabila bahasa Melayu akan hanya berfungsi pada sekitar 40 peratus atau kurang di sekolah dan sekitar 30 peratus atau kurang di IPT, maka amat jelas bahawa bahasa Melayu memang terpinggir dan tidak berperanan sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan negara, sebagaimana yang ditetapkan dalam Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Akta Pendidikan 1961 dan Akta Pendidikan 1996.

Pada hemat saya, manfaatkanlah pepatah kita yang berbunyi "Sesat di hujung jalan balik ke pangkal jalan". Kita belum pun sesat sehingga di hujung jalan, maka tidaklah sulit untuk kembali ke pangkal jalan, iaitu melaksanakan semua program pembangunan negara dengan berlandaskan dasar-dasar negara yang telah difikirkan, dirancang dan dilaksanakan dengan jayanya selama ini. Usahlah kita mengalami nasib "Yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran". Ingatlah juga kata orang tua-tua "Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya".

PROF. DR. AWANG SARIYAN
Penyandang Kursi Pengajian Melayu Malaysia - China
Universiti Pengajian Asing Beijing
(Petikan Utusan Malaysia, 26 November 2008)

Komen:

Dato' Dr. Hassan Ahmad, Pengerusi Eksekutif Yayasan Karyawan dan mantan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka

Tak terdaya lagi nak beri komen. Dan tak tahu lagi apa nak cakap. Seperti kata Allahyarham Pak Awam (Abd. Wahab Muhammad), salah seorang pengasas ASAS 50: Tak boleh cakap, tapi dah cakap!!

Agaknya apalah komen Dato' Dr. Hassan Ahmad apabla membaca ulasan Tun Dr. Mahathir dan Dr. Awang Sariyan ini. Dan bagaimana pula komen Dato' Prof. Dr. Asmah Haji Omar dan Dato' Dr. Nik Safiah Karim. Atau Dr. Farid Onn. Atau Prof. Dr. Abdullah Hassan. Atau Ungku Aziz. Tak perlulah minta ulasan orang politik yang jawapannya sudah tentu dah jadi cliche.!

Tuesday, 11 November 2008

APABILA ORANG SOSIOLINGUSITIK BERSUARA TENTANG BAHASA MELAYU

Bahasa Melayu bagai melukut di tepi gantang
(Petikan Berita Harian, 11 November 2008)

BANYAK pihak membantah apabila kerajaan negeri Pulau Pinang ingin menggunakan bahasa lain, selain bahasa Melayu pada papan tanda jalan beberapa tempat warisan untuk tujuan pelancongan, terutama dari luar negara.

Sikap keprihatinan begini perlu dipuji dan kalau sikap mulia ini diteruskan setiap kali bahasa Melayu dipinggirkan dalam kapasitinya selaku bahasa negara, ia perlu disanjungi setinggi-tingginya. Namun, sikap sedemikian tidak selalu bersifat konsisten.

Sebenarnya, bahasa Melayu banyak dipinggirkan akhir-akhir ini, terutama dalam peranannya selaku bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi. Kadangkala yang membelakangkan bahasa Melayu ialah orang Melayu sendiri, penutur natif dan etnik kepada bahasa Melayu.



Sudah untuk beberapa ketika, banyak majlis dan acara kenegaraan dihadiri hanya rakyat negara ini, tidak lagi menggunakan bahasa Melayu. Sebaliknya ia menggunakan bahasa Inggeris.

Kini, nama dalam bahasa Inggeris pula menjadi pilihan. Pada April lalu, Bank Pertanian mengumumkan nama barunya, iaitu Agrobank. Mara yang dikenali sebagai satu entiti Melayu yang kuat, juga memilih nama dalam bahasa Inggeris, iaitu MaraLiner untuk menggantikan nama dalam bahasa Melayu untuk basnya.

Nama dalam bahasa Inggeris terus menjadi pilihan pelbagai pihak, termasuk syarikat milik kerajaan. Penamaan motosikal negara juga tidak terlepas daripada kecenderungan ini, apabila nama dalam bahasa Melayu yang merujuk kepada satu-satunya objek yang menjadi identiti serta kebanggaan bangsa Melayu, iaitu 'keris' dieja secara bahasa Inggeris, dalam bentuk KRISS.

Kereta nasional juga mula menggunakan bahasa Inggeris, dengan pelancaran model baru: (Satria) Neo, Persona, GEN2, Savvy, MYVI dan VIVA. Apakah nama dalam bahasa Melayu seperti Saga, Iswara, Wira, Satria, Putra, Waja, Perdana, Kancil, Tiara, Kenari, Kelisa dan Rusa sudah tidak layak dalam bahasa Melayu?

Kebanyakan bangunan dan pembangunan kawasan baru ikut diberi nama dalam bahasa Inggeris. Antaranya termasuk One Borneo di Kota Kinabalu dan Bangsar South di Kuala Lumpur. Kelantan yang selalu disebut sebagai antara benteng kemelayuan yang kuat di negara ini, ikut terheret dalam gejala ini. KB Mall dan Pelangi Mall adalah nama dua tempat beli-belah terbaru dan termoden di Kota Bharu.

Percakapan bahasa Melayu yang bercampur aduk dengan bahasa Inggeris, lebih-lebih lagi dalam majlis formal, misalnya rancangan radio dan televisyen, serta ucapan rasmi pemimpin berleluasa sekali kini sehingga menjadi satu budaya nasional.

Apakah yang kita lakukan secara serius, seperti yang dilakukan oleh pihak tertentu, dalam kes di Pulau Pinang ini, terhadap semua gejala yang meminggirkan bahasa Melayu selaku bahasa negara?

Sepatutnya kita ikut bersuara lantang terhadap penggunaan bahasa Inggeris yang ternyata tidak kena pada tempatnya. Kemudaratan yang dibawa oleh penggunaan bahasa Inggeris sebegini, sebenarnya adalah sama buruk kesan dan sama besar padahnya, kepada citra selain identiti bahasa Melayu selaku bahasa kebangsaan.

Dalam beberapa kes, implikasinya adalah jauh lebih parah daripada penggunaan bahasa Cina dan Tamil yang tidak kena pada tempatnya, seperti yang bakal dilakukan di Pulau Pinang.

PROF DR TEO KOK SEONG,
Profesor Sosiolinguistik
Bahasa Melayu UKM,
Bangi, Selangor.

Komen:
Lagi komen tentang bahasa Melsyu yang diperlekeh.Dr. Teo bukan orang asing dalam kalangan cendekiawan dan peminat bahasa serta sastera tanah air. Beliau cuba bersikap realistik terhadap penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Sebagai ahli dalam bidang sosiolinguistik, Dr. Teo mungkin lebih arif tentang mentaliti rakyat Malaysia, tidak kira apa kaum sekalipun, terhadap bahasa Melayu. Bukan rakyat sahaja tetapi lebih teruk mentaliti pemimpin sendiri. Seolah-olah segala-galanya akan lancar, baik, berkesan, hebat dan dianggap mempunyai mentaliti super dan "high class" sekiranya segala-galanya menggunakan bahasa Inggeris.

Tak tahu lagi apa yang hendak dikata. Hampir semua luncai telah terjun dengan labu-labunya. Biarkan, biarkan!! Dewan Bahasa dan Pustaka pun dah nak jadi luncai juga. Kalau tak jadi luncai dah jadi harimau tak bertaring atau harimau kertas!

Monday, 10 November 2008

BAHASA MELAYU DAN SEBERANI IBRAHIM ALI


Datuk Ibrahim ali, Ahli Parlimen Bebas dari Pasir Mas
ARKIB : 09/11/2008
Jangan bermain api


DATUK IBRAHIM ALI, Ahli Parlimen Pasir Mas.

Dalam arena politik tanah air, nama Datuk Ibrahim Ali sudah tidak perlu diperkenalkan lagi. Walaupun berhadapan dengan risiko, Ibrahim tetap lantang memperjuangkan sesuatu isu.

Kini sebagai Ahli Parlimen Bebas yang mewakili kawasan Pasir Mas, Kelantan, Ibrahim terus bersuara di Parlimen dan paling ketara apabila tercetus isu berkaitan dengan hak-hak istimewa orang Melayu. Tanpa mempedulikan sama ada ia dicetuskan oleh parti kerajaan atau pembangkang, sesiapa juga yang cuba mengganggu gugat kedudukan orang Melayu dan Islam, maka Ibrahim akan bangun menentang dengan nada yang keras.

Dalam pertemuan dengan wartawan Mingguan Malaysia, ZULKIFLEE BAKAR di pejabatnya, Ibrahim melahirkan perasaan tidak puas hati terhadap tindakan sesetengah pihak yang terus mempertikaikan hak orang Melayu. Bagi beliau, tindakan mereka ibarat bermain api dan boleh mengakibatkan tercetusnya permusuhan antara kaum di negara ini. Justeru Ibrahim yang merupakan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mahu pihak-pihak tertentu memberhentikan tindakan mereka.

Ini kerana tegas beliau, isu perkauman yang dimainkan sekarang dianggap lebih serius berbanding apa yang berlaku pada tahun 1987 yang menyaksikan kerajaan melancarkan ‘Operasi Lalang’ bagi mengawal keadaan.

Ibrahim tidak menolak kemungkinan bahawa tindakan sesetengah parti memainkan isu berkaitan kaum ini adalah demi survival politik mereka.

Beliau juga turut mengkritik sikap tidak tegas pihak-pihak yang berkenaan sehingga memungkinkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan semakin tercabar serta tergugat.


MINGGUAN: Walaupun boleh mengundang perbalahan kaum, namun isu-isu berkaitan hak istimewa orang Melayu terus dimainkan oleh pihak tertentu, apa pandangan Datuk?

IBRAHIM: Mereka yang melakukan perbuatan berkenaan sengaja mahu menyemarakkan api dalam sekam. Maka sebab itu saya melihat tindakan Majlis Raja-Raja mengeluarkan kenyataan baru-baru ini berhubung kedudukan orang Melayu adalah satu perkara yang serius dan ia diperkuatkan lagi dengan pandangan oleh Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

Pada pandangan saya, perkara ini kalau tidak ditangani segera ia boleh mengundang mala petaka seperti mana tragedi 13 Mei 1969. Sememangnya kita tidak mahu peristiwa hitam itu berulang, tetapi saya bercakap soal hakikat sebab keghairahan pihak tertentu menyentuh isu-isu asas Perlembagaan negara iaitu Islam sebagai agama rasmi, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, kedaulatan Raja-Raja Melayu dan hak keistimewaan orang Melayu serta hak kerakyatan bagi kaum lain boleh mengundang bahaya.

Kita lihat dalam konteks Islam, ia sudah cuba digugat melalui isu-isu murtad. Semua ini berlaku kerana wujudnya apa yang dipanggil dasar liberalisasi. Ia adalah satu dasar yang cukup bahaya. Liberalisasi tidak boleh dibuka secara total kerana ia akan dikaitkan pula dengan hak asasi manusia, dasar keterbukaan dan lain-lain. Walaupun mengakui hak keadilan sejagat tetapi kita ada landasan dan prinsip-prinsip yang harus kita hormati. Dalam sesebuah negara ia ada sejarah dan undang-undang, begitu juga Malaysia yang mempunyai Perlembagaannya. Semua perkara yang sudah terkandung dalam Perlembagaan seharusnya tidak diganggu gugat tetapi malangnya kita melihat apa yang berlaku adalah sebaliknya. Selepas agama Islam, kini pihak-pihak tertentu cuba pula menganggu gugat bahasa Melayu. Ini jelas apabila Kerajaan negeri Pulau Pinang meluluskan permohonan pihak berkuasa tempatan untuk menggunakan bahasa lain di papan-papan tanda jalan.

Kenapa selepas agama, kelompok berkenaan cuba pula menganggu bahasa Melayu, apa motif tindakan itu?

IBRAHIM: Ini kerana dalam isu-isu lain mereka sudah mencapai apa yang dikehendaki. Ia termasuklah juga dalam soal ekonomi dan pendidikan. Kepada mereka, ekonomi sudah tidak lagi menjadi isu kerana mereka sudah menguasai 60 peratus daripada ekonomi negara malah kini mereka tidak mahu mendengar lagi soal Dasar Ekonomi Baru (DEB) sebaliknya bercakap soal meritokrasi dan kesamarataan.

Bagi bidang pendidikan pula, mereka sudah dapat apa yang mereka mahu apabila kerajaan begitu terbuka membenarkan kewujudan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) yang dinaungi oleh mereka. Oleh kerana semua isu sudah dianggap selesai mereka kini cuba pula menyentuh soal agama Islam dan bahasa Melayu. Mereka cuba menuntut supaya layanan diberikan sama rata dalam amalan beragama. Ini adalah satu tuntutan yang salah kerana apa pun keadaan Islam adalah agama rasmi negara ini.

Biarpun kita membenarkan agama-agama lain bebas dianuti sama seperti juga bahasa lain yang dibenar digunakan tetapi Islam tidak boleh disamakan dengan agama lain. Maknanya, mereka tidak boleh kata atas dasar bebas beragama, mereka berhak bersuara dan layanan mesti sama ertinya kalau mahu bina masjid ia mesti disertai dengan pembinaan kuil atau gereja. Ini tidak boleh dilaksanakan kerana ia berteraskan kepada Islam adalah agama rasmi.

Agama lain tidak berhak mendapat kesamarataan dalam banyak perkara terutama berkaitan dengan peruntukan daripada kerajaan dan sebagainya. Begitu juga bahasa Melayu walaupun kita benarkan bahasa Inggeris atau bahasa lain untuk digunakan tetapi ia tidak boleh diletakkan setaraf dengan bahasa Melayu. Ini kerana bahasa Melayu dijamin dalam Perlembagaan, jadi apabila kita mempertahankan perkara ini kita bukan rasis sebab perkara ini ada dalam Perlembagaan.

Soal rasis tidak timbul kerana setakat ini belum pernah ada mana-mana pertubuhan bukan kerajaan Melayu menganjurkan satu forum atau seminar bercakap mempersoalkan hak kerakyatan kaum lain. Justeru apabila ada orang mempersoalkan hak Melayu, ia adalah satu tindakan menghina asas Perlembagaan dan mencuit perasaan orang Melayu.

Sekarang sudah wujud pula tanggapan bahawa soal ketuanan Melayu tidak penting?

IBRAHIM: Ketuanan Melayu adalah soal panggilan sahaja, apa yang perlu difahami ialah asal usul sesebuah negara itu ada tuannya. Kalau mereka mengatakan Melayu adalah pendatang, ia adalah satu kenyataan yang melampau. Ini yang saya maksudkan menyemarakkan api dalam sekam. Dalam Perlembagaan, walaupun kaum lain diberi hak kerakyatan tetapi mereka orang luar yang kita terima menjadi rakyat. Kita orang Melayu tidak ada masalah kerakyatan kerana kita adalah penduduk pribumi asal, itu maksudnya.

Apa yang perlu kita tegaskan ialah soal bangsa menyentuh nadi sesebuah negara. Cuba lihat di Indonesia atau negara-negara lain, semangat nasionalisme mereka terhadap bangsa bukan kecil, kalau sesiapa menyentuhnya ia boleh mencetuskan huru-hara.

Jadi ini yang membimbangkan kita dan saya lihat pemimpin-pemimpin tertentu semakin ghairah membuat kenyataan berhubung isu hak orang Melayu. Apa yang membimbangkan isu menyentuh perkauman ini lebih dahsyat daripada apa yang berlaku pada tahun 1987 yang menyaksikan pihak berkuasa terpaksa melakukan 'Operasi Lalang' bagi mengawal keadaan.

Tetapi ada di kalangan pemimpin Melayu sendiri turut memainkan sentimen yang sama?

IBRAHIM: Saya tidak menafikan semua ini berlaku kerana ada juga beberapa pemimpin Melayu yang saya sifatkan tidak sedar diri. Mereka ini bercakap atas dasar liberalisasi akibatnya ia menyebabkan kaum lain begitu bermotivasi. Semua kerana ada pemimpin Melayu yang membuat kenyataan-kenyataan menyentuh soal Melayu semata-mata demi agenda politik iaitu untuk mendapat sokongan dan meraih undi. Akhir sekali yang akan menanggung kerugian akibat perbuatan pemimpin-pemimpin berkenaan ialah orang Melayu.

Mereka mengagungkan liberalisasi dengan menganggap ia adalah perjuangan bagi keadilan sejagat dan menyifatkan tidak perlu wujud kontrak sosial. Lebih mengecewakan ada pihak mengatakan tindakan mempertahankan kaum Melayu sebagai tidak Islamik. Hakikatnya, walaupun memang jelas Islam menjaga kepentingan kaum-kaum lain tetapi dari perspektif lain, adalah menjadi kewajipan kita untuk mempertahankan agama Islam dan kedudukan bahasa Melayu. Kalau kita merujuk kepada Piagam Madinah, ia sebenarnya kontrak sosial.

Ini kerana apabila pelbagai puak berkelahi dan Rasulullah SAW menubuhkan negara Islam, mereka patuh kepada langkah itu dan diwujudkan beberapa perkara bagi menjaga kaum-kaum tertentu. Dalam konteks Malaysia, Perlembagaan itulah kontrak sosialnya. Ertinya kontrak sosial itu adalah satu perjanjian yang dizahirkan sebelum kita mencapai kemerdekaan. Ia diputuskan oleh semua kaum dan diterjemahkan dalam bentuk Perlembagaan, ini termasuklah menjadikan Islam sebagai agama rasmi dan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Semua itu termasuk dalam kontrak sosial yang melibatkan perjanjian antara rakyat dengan negara, bukannya antara kaum.

Berdasarkan konteks itulah kaum lain diberikan kerakyatan kerana kesetiaan mereka kepada negara bererti mereka perlu setia kepada Perlembagaan. Di negara-negara lain keadaan lebih teruk apabila kaum minoriti tidak boleh menggunakan nama asal keturunan mereka. Contoh di Indonesia, semua nama jalan di negara itu menggunakan nama Indonesia begitu juga di Thailand, semua itu dilakukan demi menjaga nasionalisme bangsa masing-masing.

Ada yang berkata kelantangan kaum lain tercetus kerana mereka melihat politik orang Melayu semakin lemah, adakah Datuk bersetuju dengan pandangan ini?

IBRAHIM: Kalau mereka mengambil perhitungan ini mereka silap. Kita sememangnya menghormati keputusan yang dibuat oleh rakyat melalui pilihan raya tetapi parti-parti yang menang tidak semestinya boleh mengganggu gugat asas Perlembagaan negara atau cuba menguji kesabaran orang Melayu. Mereka boleh soal hak masing-masing dalam bidang tertentu tetapi jangan kaitkan dengan asas Perlembagaan negara ini, sebab itulah saya bersetuju dengan pandangan Sultan Azlan Shah bahawa kalau timbul kelemahan dalam satu-satu dasar, mekanismenya yang harus diperbetulkan bukannya menghapuskan dasar tersebut.

Adakah mungkin kelemahan kita sendiri mendaulatkan bahasa Melayu menyebabkan kaum lain bertindak menggugat kedudukan bahasa itu?

IBRAHIM: Hakikatnya, kelemahan orang Melayu dalam soal ini terlalu banyak. Sebagai contoh, menteri sendiri membenarkan IPTS menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar, malah ia diburukkan lagi dengan kewujudan semakin banyak sekolah jenis kebangsaan. Kalau beginilah keadaannya macam mana kita hendak memastikan bahasa Melayu terus disatukan, ertinya digunakan oleh semua kaum?

Seperkara lagi, mereka mendakwa integrasi boleh diwujudkan melalui kesamarataan, bagi saya ini adalah satu pendapat yang amat salah. Mereka perlu memahami bahawa bukan sahaja dasar Perlembagaan menyatakan dengan jelas mengenai kedudukan orang Melayu malah dari segi majoriti penduduk pun, orang Melayu merupakan kaum majoriti.

Ada pandangan bahawa parti-parti tertentu kini mula memainkan isu perkauman demi survival politik mereka.

IBRAHIM: Sebenarnya itulah yang sedang mereka lakukan. Ia berasaskan kepada matlamat mereka menuju ke arah apa yang dipanggil konsep pelbagai kaum seperti mana diamalkan oleh Parti Keadilan Rakyat dan DAP. Bagaimanapun jika kita mengkaji perjalanan parti-parti berkenaan mereka tidaklah mengamalkan perkara itu sepenuhnya, malah kalau benar mereka mahu mengamalkan politik pelbagai kaum, DAP boleh melantik seorang Melayu menjadi Setiausaha Agung, tetapi itu tidak dilakukan biarpun DAP mendakwa mereka parti pelbagai kaum.

Dalam soal bahasa Melayu, apakah benar sikap tidak tegas dalam melaksanakan undang-undang menyebabkan kedudukannya semakin terancam?

IBRAHIM: Saya sudah banyak kali menyatakan bahawa bukan sahaja dari segi pelaksanaan bagi mendaulatkan bahasa Melayu kita lemah malah kalau ada orang gugat bahasa itu pun kita tidak mengambil tindakan.

Ini adalah satu sikap yang salah kerana dalam Akta Hasutan sudah menyatakan dengan jelas bahawa lima perkara asas yang termaktub dalam Perlembagaan tidak boleh disentuh atau diungkit. Kita perlu faham bahawa apa juga perkara yang termaktub dalam Perlembagaan perlu dilaksana dan dikuatkuasakan, sebab itulah saya pernah mencadangkan kepada kerajaan menubuhkan jawatankuasa di peringkat kementerian dan kerajaan negeri bagi mengkaji sejauh mana dasar-dasar dan program kerajaan yang dibuat bersesuaian dengan Perkara 153 Perlembagaan.

Bagaimana kita hendak menyedarkan orang Melayu supaya memahami ancaman yang ada di hadapan mereka?

IBRAHIM: Bagi saya cendekiawan dan ilmuwan Melayu termasuk alim ulama harus tampil ke hadapan dan bersuara serta memberi pendapat dan kena berani bercakap.

Dalam usaha mengelakkan ketegangan kaum, apa nasihat Datuk kepada ahli-ahli politik?

IBRAHIM: Saya pun orang politik dan sebagai orang politik masing-masing ada agenda dan cita-cita, saya tidak mahu hipokrit. Apa pun jangan sampai menang tetapi jadi arang, ertinya tiada makna negara ini membangun dengan segala kemajuan tetapi akhirnya ia musnah. Itu mungkin berlaku sebab isu kesamarataan kaum akan mengambil jangka masa panjang untuk diselesaikan.

Oleh itu jangan bermain dengan api kerana jika mereka terus berbuat demikian orang tua-tua kata 'rumah akan terbakar' akhirnya semua rakyat negara ini menderita. Mungkin pihak tertentu akan berhujah bahawa orang Melayu yang mengapi-apikan sesuatu perkara tetapi cuba kaji siapakah yang sering membuat ucapan mempertikaikan kedudukan Melayu dan siapa pula yang menganjurkan forum menyentuh mengenai sensitiviti orang Islam?

Kalau kita hendak mengamalkan sikap menuding jari, ia tidak akan menyelesaikan masalah. Mungkin mereka tidak berpuas hati dengan pelaksanaan beberapa dasar kerajaan tetapi semua kelemahan itu boleh diperbaiki kerana peluang masih banyak dan masa depan masih cerah untuk semua pihak. Apa yang penting masing-masing kena bersabar. Selain itu bagi pemimpin-pemimpin Melayu pula, kalau mahu bertolak ansur biarlah kena pada tempatnya. begitu juga kaum lain kalau hendak menuntut biarlah kena pada tempatnya.

Saya juga mengajak semua orang Melayu untuk memahami, biarpun kita berbeza fahaman politik tetapi kita perlu ingat bahawa kita datang daripada satu agama iaitu Islam, jadi paling tidak kita harus bersatu atas nama Islam atau atas roh Melayu. Kalau ada semangat ini insya-Allah kita akan selamat, kalau tidak maka berakhirlah masa depan orang Melayu dan kaum pribumi di negara ini.(Mingguan Malaysia, 9 November 2008)

Komen:
Datuk Ibrahim Ali. seorang Ahli Parlimen Bebas, bercakap tentang bahasa kebangsaan a.k.a bahasa Melayu. Katanya, "Jangan Bermain Api." Panjang ceritanya dalam akhbar mingguan ini. Kelihatannya Ibrahim bercakap bagaikan seorang pejuang bahasa yang melihat bahasanya tengah diperkutak-katik oleh pelbagai golongan, terutama oleh bukan Bumiputra.Lebih melihat daripada sudut politiknya.

Ada yang kata pandangan Ibrahim terbaru ini lebih menjurus kepada percubaannya meningkatkan "political mileage"nya terutama dalam kalangan orang Melayu yang semakin menentang cubaan sesetengah golongan memperlekeh bahasa kebangsaan ini. Kata mereka Ibrahim merasakan sedang wujud golongan yang mula mengenepikan kepentingan politik masing-masing (bi-partisan)untuk memperjuangkan bahasa Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.

Harapan pelbagai pihak ialah Ibrahim benar-benar ikhlas dalam pandangannya terhadap bahasa ini. Dan dalam keadaan bahasa Melayu yang ada hari ini, pandangan Ibrahim ini benar-benar diperlukan demi masa depan bahasa itu. Mahunya akan ramai lagi ahli-ahli Parlimen yang berani menyuarakan pandangan seperti ini. Tidak kisalah apa motif mereka sebenarnya.

Friday, 7 November 2008

TEKAK DAH LOYA, MULUT DAH BERBUIH BERCAKAP TENTANG BAHASA KEBANGSAAN

Tanggungjawab bersama memartabatkan bahasa

PELBAGAI pihak mengambil peranan dan memberi pendapat apabila kerajaan negeri Pulau Pinang yang diterajui DAP mahu meletakkan papan tanda bertulisan Cina dan Tamil di kawasan Tapak Warisan Dunia di negeri itu untuk memudahkan pelancong bukan Melayu.

Daripada rakyat bawahan sampailah kepada menteri dan juga orang kuat Dewan Bahasa dan Pustaka, kebanyakannya melahirkan rasa kesal dengan cadangan itu yang dikatakan membelakangkan status bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi walaupun tujuannya untuk kemudahan orang luar.

Maka, apabila bahasa Melayu tercabar kedudukannya, orang ramai mula menuding jari dan pihak ini yang memandang rendah terhadap keupayaan bahasa Melayu sebagai bahasa yang menjadi alat perhubungan antara kaum di negara kita.



Sikap kita sendiri boleh menentukan mengapa bahasa kita dicabar tidak kira sama ada oleh bangsa Melayu sendiri atau bangsa lain. Jika kita tinjau senario bahasa rasmi negara kita dan persepsi masyarakat kita terhadap bahasa sendiri, kita akan dapat membuat pelbagai rumusan mengenainya.

Orang luar memandang bahasa kita sangat rendah darjatnya di negara sendiri walaupun kita mengaku bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi. Orang kita juga lebih mudah berbahasa asing daripada bahasa sendiri dalam sesetengah urusan sehingga bahasa sendiri pun tunggang langgang dan bahasa asing pun tidak seberapa.

Pemantauan terhadap bahasa tidak berkesan dan dibuat secara bermusim sehingga ia tercemar dengan serius oleh sebab kemasukan istilah asing yang dicampur aduk dengan bahasa kita.

Pertukaran ejaan dan istilah yang kononnya untuk tujuan memantapkan bahasa menyukarkan kita sendiri dalam berurusan. Suatu ketika dulu, kita menggunakan ‘bahasa Malaysia’ sebagai nama satu mata pelajaran di sekolah, kemudian ditukar kepada ‘bahasa Melayu’ dan ‘bahasa Malaysia’.

Kita pernah mencanangkan agar perkataan ‘kemalangan’ merujuk kepada kejadian di jalan raya ditukar kepada ’kecelakaan’ kemudian kita jarang melihat istilah itu digunakan.

Kecelaruan dalam bahasa Melayu mencerminkan tahap bahasa kita tidak diyakini penggunaannya. Maka, wujudlah bahasa rojak dalam percakapan, kesalahan pemilihan istilah dalam pertuturan sehingga menimbulkan polemik.

Oleh itu, di samping peranan yang boleh dimainkan Dewan Bahasa dan Pustaka, semua pihak mesti memartabatkan bahasa Melayu supaya imej dan penggunaannya terpelihara.

Media massa, umpamanya mesti mengukuhkan semula penggunaan bahasa baku supaya identiti kita terserlah. Kawalan penggunaan bahasa dalam media massa mesti disandarkan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka.

kepada pakar bahasa untuk memastikan penggunaan bahasa yang diketengahkan untuk tatapan masyarakat betul atau tidak. Masyarakat pula, walaupun sudah berlaku apa yang dinamakan osmosis budaya, usahlah memandang rendah kepada bahasa rasmi negara kerana Bahasa Itu Jiwa Bangsa.

M JASNI MAJED,
Kapar, Selangor.
(Petikan Berita Harian, 7 November 2008)

Komen:
Lagi komen tentang kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan kebangsaan negara. tekak naik loya, mulut dah berbuih, masuk telinga kanan keluar telinga kiri. tak tahulah apa nak jadi dengan bahasa kebangsaan ini. Tidak siapa peduli, tidak siapa ambil kisah. Hanya yang ada Perlembagaan yang nampaknya "hanya dilihat sebagai hiasan" belaka.

Rakyat pun rata-rata naik bosan mendengar. Sedangkan yang mahu penggunaan pelbagai bahasa semakin lantang bersuara. Malah bukan setakat bersuara tetapi sudah mula bertindak. seperti yang dijelaskan oleh pembaca Berita Harian ini.

Terima kasihlah kerajaan Persekutuan yang pemimpin-pemimpin Melayunya sedang bertarung untuk kelangsungan hidup politik masing-masing, berebut-rebut jawatan dan tempat dalam UMNO.

Kadang-kadang terfikir pula ada juga benarnya titah Raja Nazrin Shah ketika memberikan komennya berhubung kaitan raja dan pemimpin politik di Kucing, semalam.

Monday, 3 November 2008

CUKUPLAH DENGAN HANYA RETORIK DATUK!!


Dato' Seri Dr. Rais Yatim, Menteri Luar Malaysia


Bantu Bahasa Melayu

KUALA LUMPUR 2 Nov. – Kementerian Luar menyatakan komitmen untuk memainkan peranan positif dalam mana-mana persidangan antarabangsa bahasa Melayu bagi memastikan ia mampu menjadi bahasa dunia yang turut diiktiraf di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Menterinya, Datuk Seri Dr. Rais Yatim (gambar) berkata, sebagai permulaan bahagian Penerangan dan Diplomasi Awam kementeriannya akan bekerjasama dalam menjayakan Persidangan Bahasa Melayu Antarabangsa anjuran Institut Perguruan Bahasa Melayu Malaysia (IPBMM) pertengahan bulan ini.

‘‘Kementerian Luar akan memberikan bantuan dari sudut lojistik untuk menggalakkan percambahan perhubungan antarabangsa serantau. Bahasa Melayu dituturkan oleh lebih 300 juta penduduk di kepulauan Nusantara namun ia tidak menjadi bahasa dunia.

‘‘Oleh itu, nasib bahasa Melayu perlu dibela bersama oleh semua pihak,’’ katanya ketika berucap merasmikan Alumni IPBMM di institut berkenaan di sini hari ini.

Rais yang juga bekas alumni dan kini penaung alumni tersebut berkata, perjuangan bahasa Melayu jika tidak diberi keutamaan akan menyebabkan masalah yang berlaku di Pulau Pinang berleluasa.

‘‘Penggunaan pelbagai bahasa di Pulau Pinang adalah kerana kelemahan kita dalam penegasan sesuatu, maka pihak berkenaan menganggap kita lemah dan menggunakan cara-cara untuk memecahkan penyatuan menerusi bahasa kebangsaan.

‘‘Memang tidak salah dari sudut beberapa undang-undang tetapi ia memperkecilkan Akta Bahasa Kebangsaan yang termaktub di Parlimen,’’ jelas beliau.

Tambah Rais, beliau tidak putus asa untuk melihat satu masa nanti semua pihak menggunakan bahasa kebangsaan dalam semua perutusan, papan tanda dan urusan-urusan rasmi.

‘‘Tetapi ini memerlukan satu kebangkitan. UMNO harus memperjuangkan fasa tiga ceraian lima dalam perlembagaannya iaitu bahasa dan budaya adalah satu perjuangan.

‘‘Jika tidak kita akan terus dalam keadaan terumbang-ambing seperti ini,’’ katanya.

Jelas Rais, kerajaan negeri Pulau Pinang mengutamakan cita rasa sosialisme berbanding semangat memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan mengikut Akta Bahasa Kebangsaan negara. (Utusan Online, 3 November 08)

Komen:
Dato', cukuplah dengan retorik ini. Bertindaklah tanpa banyak celoteh. Bukan sahaja orang bertambah bosan malah dah sampai peringkat nak naik loya tekak. Kita sudah ada Perlembagaan. Kita sudah ada akta bahasa Kebangsaan. Sudah lebih daripada cukup untuk usaha kita memperlindung bahasa Melayu a.k.a bahasa Kebangsaan. Sudah lebih 50 tahun bahasa itu diperjuangkan. Tokoh budaya ada yang sudah meninggalkan kita. Jika masih hidup mereka tidak lagi mampu berbuat apa-apa kerana sudah tidak punya taring lagi.

Elokalh bertindak. Ap kata kalau buat permulaan ini, Datuk sendiri meminta, mengharap dan merayu kepada semua menteri kabinet, terutama Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri sendiri bercakap dalam bahasa Melayu (kebangsaan) sahaja dalam semua majlis rasmi dan tak rasmi yang diadakan di peringkat nasional dan dalam bahasa yang betul. Kemudian sedikit demi sedikit mereka diminta bercakap dalam bahasa itu di peringkat antarabangsa. Kalau menteri-menteri di Peranchis, di Jerman, di Jepun, di Indonesia dan negara-negara lain bangga mengagungkan dan mengkeramatkan bahasa nasional mereka. mengapa menteri-menteri kita tak boleh.

Kalau ini Dato' boleh lakukan maka akan ramai akan berasa bahasa Melayu akan mempunyai tempat waima di Bangsa-bangsa Bersatu sendiri.

Kadang-kadang apabila memikirkan keadaan bahasa Melayu (kebangsaan) hari ini, terasa naik lucu kita dibuatnya!!

Saturday, 1 November 2008

BAHASA KEBANGSAAN: DAH BERBUIH CAKAP DAH!!


En. Kamarul Zaman Shaharudin, Timbalan Ketua Pengarah DBP (kiri) dan beberapa pegawai ketika menghadiri pertemuan dengan pihak pengurusan RTM di Angkasapuri, 2006 (Foto A.F.Yassin).

ARKIB : 31/10/2008
Hormati kedudukan bahasa Melayu - DBP
KUALA LUMPUR 30 Okt. - Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mengingatkan semua pihak agar menghormati Perlembagaan termasuk kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Timbalan Ketua Pengarah DBP, Kamarul Zaman Shaharudin berkata, semua pihak harus menghormati prinsip ketiga Rukun Negara iaitu 'Keluhuran Perlembagaan' dan tidak mempertikaikan kedudukan bahasa kebangsaan.

''Isu penggunaan pelbagai bahasa pada papan tanda di Georgetown, Pulau Pinang sendiri telah mendapat reaksi pelbagai pihak termasuk DBP.

''Kita ingin tegaskan bahasa kebangsaan merupakan bahasa rasmi. Berdasarkan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, bahasa Melayu dan bahasa kebangsaan hendaklah digunakan bagi maksud rasmi," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Kamarul, dalam konteks papan tanda jalan, pihaknya berpendirian bahawa apa-apa yang berkaitan dengannya adalah di bawah maksud 'rasmi'.

Oleh itu, papan tanda jalan hendaklah menggunakan bahasa kebangsaan dan ditulis dalam tulisan rumi dengan syarat tidak melarang penggunaan tulisan Melayu yang lebih dikenali dengan tulisan Jawi.

''Bagi dokumen rasmi termasuk risalah promosi pelancongan yang dikeluarkan kerajaan, dokumen itu hendaklah menggunakan bahasa Melayu di samping boleh menggunakan apa-apa terjemahan dalam mana-mana bahasa lain bagi apa- apa maksud yang difikirkan perlu demi kepentingan awam.

''Ia dibenarkan oleh Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 dan penggunaan bahasa kebangsaan akan menyerlahkan identiti diri dalam mengekalkan warisan budaya kebangsaan serta mempromosi bahasa itu sendiri kepada pelancong asing,'' katanya.(Petikan Utusan Online, 31 Okt.08)

Komen:
Dah berbuih mulut cakap dah. Apa kesannya? Tak ada. Kosong. Titik. Apalah yang DBP boleh buat. Sekadar melepas batuk di tangga sahaja atau bagai anjing menyalak bukit. Rasanya cukuplah DBP "menyalak bukit" sejak lebih setengah abad yang lalu. Sampai kiamat pun ia tidak akan runtuh. Lebih baik kakitangannya tumpukan masa dan tenaga mempergiat penerbitan buku dan meningkatkan kualiti kandungan sekumpulan majalahnya . Ini akan lebih berfaedah dan dapat meningkatkan citra modal insan seperti yang dipropagandakan pemimpin kerajaan pusat sekarang.

Ketua Pengarah dan Pengerusi Lembaga Pengelola DBP boleh datang dan boleh pergi. Namun DBP tetap tetap pa takuk lama dekat "tang tu" juga. Kenapa? "You tahu, I pun tahu kan? Apa khabar Dato' Pengerusi DBP kita?"

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

MALAYSIAN LEADERS GAZEBO

SO THEY SAY...

SO THEY SAY...

"A.F.Yassin dalam cerpenya "Dendam" berjaya menghidupkan ceritanya dalam bahasa yang berjiwa; sesuai dengan pertentangan-pertentangan yang dialami oleh Salim atau oleh Yanti sendiri. "Plotnya bersifat sorot pergi sebagai satu gaya untuk mengembangkan kisah pada satu detik tetapi menghimbau kisah itu kepada kisah lampau dan juga kisah akan datang. Latarnya di Indonesia. Cerpen ini hidup kerana tidak dibiar berkisar di luar persoalan. Olahan cerpen bepusar keseluruhannya pada watak Yanti..." (Dato' Shahnon Ahmad, Mingguan Malaysia, 14 November 1976.)



" The former editor of a publishing house, A.F.Yassin, recently put out Sembang Sastera: Bersama Orang Persuratan (Fajar Bakti, 1998,310 pages), in which he talks to 64 Malay writers and literary activists of varying stature, who muse on their lives and what they have been up to. Chatty. Frank, nostalgic, irreverent, these conversations are light, in response to A.F.Yassin’s equally casual probing. His target is largely a small and shrinking group of people aged around 60 and above, loyal supporters of the Jawi-scripted Utusan Zaman, in which most of these Sembang-Sembang first appeared.



"Now that these Sembang-Sembang have been romanised, and packed in a handsome hardcover book, more readers , especially literary researchers, local and foreign, can be expected to benefit from them. Of course, the information ranges from the revealing to the trivial, but the book is pertinent as it provides insight on what went on in the world of Malay letters.



"…Sembang Satera is invaluable, especially to students of contemporary Malay literature, because it provides a cauldron of tidbits, with which to spice up the perennially long-overdue assignment.” - (Zakaria Ali, "Notes on Local Literature, fortnightly with Zakaria Ali, New Straits Times, 27 January, 1999."



"Yassin merupakan penulis yang berilmu dalam dua bidang dan seterusnya melibatkan diri dalam tiga dimensi. Bidang-bidang keilmuan dan keahliannya ialah komunikasi dan sastera, sementara kegiatannya dalam bidang penulisan kreatif dan deskriptif dan serentak dengan itu, turut kreatif dalam penghasilan dan penerbitan buku sesuai dengan profesion terkininya." (Asri Affandi, Mingguan Malaysia, 27 Disember 1987.)



"A.F.Yassin dalam bukunya Etika dan Wartawan berpendapat, pemberitaan akhbar di negara ini boleh dikatakan hanya berpandu kepada etika sejagat dan norma serta kebiasaan hidup masyarakat majmuk. Ketiadaan kod etika kewartawanan juga seperti yang ditekan oleh A. Samad Said telah menjadikan akhbar mengamalkan dasar swaying with the wind, bukan merupakan agent of change, serta cenderung menyuarakan dasar dan strategi pihak penerbit suratkabar itu sendiri." (Harakah, 31 Mei 1993.)

Tidak tahu kenapa dia meninggalkan lapangan guru dalam tahun 1962 kemudian sanggup pula menjadi seorang Juruteknik di sebuah kilang tekstil di Johor Bahru. Apakah dia memikirkan kurangnya anak Bumiputra berminat dalam lapangan teknikal atau kerana mula nampak bintangnya lebih mengerdip jika dia meninggalkan lapangan guru?

Yang ternyata sewaktu berada di Textile Corporation of Malaya Berhad Johor Bahru, dia telah dapat mengikuti latihan teknikal di Nagoya, Jepun selama enam bulan dalam tahun 1969. Di Jepun dia baru dapat melihat perbezaan zikap dan tingkah laku manusia pekerja Jepun dengan bangsanya sendiri. Setelah menimba pengalaman di Jepun, tercetus pula keinginannya untuk menulis rencana bersirinya di Utusan Malaysia, Utusan Zaman dan Mingguan Malaysia. Semuanya menceritakan pengalamannya di Jepun.

Kemampuan menulis telah meransangnya menapak ke bidang kerja yang lain. Dia menjadi Penyunting Berita Harian dalam tahun 1971. Semasa di New Straits Times Press (M) Bhd., dia banyak pula menghasilkan cerpen. Dia terus melanjutkan penulisan fiksyen apabila dilantik menjadi Penolong Editor dan kemudiannya meningkat sebagai Editor majalah Dewan Masyarakat.

Melihat kemampuannya menulis artikel dan cerpen di tengah-tengah kesibukannya sebagi seorang Editor, jelaslah kepada kita bahawa seorang editor yang sibuk tidak semestinya tidak boleh menulis. Pokoknya dia tidak mengenal erti kelelahan dan kesibukan bila dia diransang untuk menulis. ("Karyawan Bulan Ini", Dewan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, Mac 1983).