Tan Sri Ismail Hussein (kanan) Ketua 1 Gapena. PPSMI: Ugutan Gapena tidak membina
Oleh SITI ATHIRAH DZULKIFLY
KUALA LUMPUR 22 Dis. - Ugutan Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) untuk mengambil tindakan mahkamah terhadap Kementerian Pelajaran tidak membantu kerajaan mencapai keputusan terbaik berhubung isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).
Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, tindakan tersebut bukan sahaja tidak membina malahan menyulitkan pihak kementerian membuat keputusan demi masa depan anak-anak bangsa.
''Semua pihak berhak jika hendak mengambil tindakan tapi yang ganjilnya mengapa sekarang selepas enam tahun dasar ini dilaksanakan?.
''Lebih-lebih lagi apabila kebelakangan ini sudah lima perbincangan meja bulat diadakan dan sekarang hanya tinggal peringkat akhir untuk membuat rumusan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Gapena yang kemungkinan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Kementerian Pelajaran sekiranya PPSMI diteruskan.
Gapena menerusi Ketua Satunya, Profesor Emeritus Tan Sri Ismail Hussein mendakwa pelaksanaan PPSMI itu secara jelas mencabul Fasal 152, Perlembagaan Persekutuan yang telah termaktub berhubung status bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Ismail berkata, tindakan itu kelak merupakan kemuncak kekecewaan Gapena, kalangan cendekiawan termasuk pencinta bahasa Melayu selepas desakan supaya PPSMI tidak diteruskan, tidak mendapat maklum balas sewajarnya daripada kerajaan.
Hishammuddin menambah, ugutan sedemikian pernah dilakukan oleh Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Jiao Zhong) yang menentang konsep Sekolah Wawasan berikutan khuatir fungsi Lembaga Pengelola Sekolah Cina akan hilang.
Namun, menurut beliau, selepas memberi penjelasan yang kukuh, Dong Jiao Zhong menarik semula hasrat untuk mengambil tindakan mahkamah terhadap kementerian.
''Untuk membantu kementerian membuat keputusan dalam hal ini semua pihak perlu mengemukakan hujah-hujah yang rasional tanpa emosi bersandarkan fakta dan angka.
"Ini demi masa depan anak-anak bangsa kita, '' tegasnya. (Utusan Malaysia Online, 23 Disember 2008)
Komen:
Komen YB Menteri pelajaran itu kurang tepat. Setahu kami yang mengikuti perjalanan dan kegiatan Gapena, selama enam tahun ini berbagai kegiatan diadakan untuk meminta dan merayu Kerajaan mengembalikan penggunaan bahasa melayu dalam Sains dan Matematik. Pelbagai seminar dan kongres yang berakhir dengan resolusi, tetapi resolusi yang diserahkan kepada pihak berwajib seperti disimpan dalam laci sahaja.
Bukan Gapena dan pihak-pihak lain duk diam sahaja. Tapi YB kan lebih maklum. Kalau pernyataan keluar dari mulut tokoh pemimpin media akan siarkan besar-besaran dan berhari-hari pernyataan itu diolah dalam pelbagai sudut. Tetapi kalau pernyataan itu dikeluarkan oleh pertubuhan seperti Gapena, mana media yang hendak besar-besarkan. Kadang-kadang pernyataan itu dijadikan berita penyendal halaman sahaja (filler).
Inilah bezanya treatment pernyataan untuk santapan media. Maka tak betullah pandangan YB itu. Tak ada yang gamnjil YB. Ini mungkin opsyen terakhir yang ada bagi Gapena. Mesyuarat sudah, berjumpa sudah. berbincang sudah. Tapi pihak berkuasa buat tak kisah sahaja. Terlalu obses dengan sistem yang ada. Kami rasa komen YB itu aneh sesikit. Macamlah baru semalam YB dilantik Menteri pelajaran.
Dan adalah pelik apabila YB Menteri berkata seolah-olah bahasa Inggeris satu-satunya yang menentukan masa depan anak-anak bangsa. Agaknya orang Peranchis, orang Jerman atau orang Jepun berada dalam keadaan menyulitkan demi masa depan anak-anak bangsa itu kerana tidak menggunakan bahasa Inggeris dalam sistem pendidikan mereka.
Memang lucu bunyinya!
PPSMI: mengarut, mencabul Perlembagaan, marahkan nyamuk kelambu dibakar, dilakukan secara tergesa-gesa secara membabi buta dan membuta tuli, khianati bangsa, menghina bahasa Melayu, menafikan kebangsawanan bangsa, banyak lagi...nak maju pun ada syariatnya, bukannya dengan tanggalkan kain baju.
ReplyDelete