Monday, 10 November 2008

BAHASA MELAYU DAN SEBERANI IBRAHIM ALI


Datuk Ibrahim ali, Ahli Parlimen Bebas dari Pasir Mas
ARKIB : 09/11/2008
Jangan bermain api


DATUK IBRAHIM ALI, Ahli Parlimen Pasir Mas.

Dalam arena politik tanah air, nama Datuk Ibrahim Ali sudah tidak perlu diperkenalkan lagi. Walaupun berhadapan dengan risiko, Ibrahim tetap lantang memperjuangkan sesuatu isu.

Kini sebagai Ahli Parlimen Bebas yang mewakili kawasan Pasir Mas, Kelantan, Ibrahim terus bersuara di Parlimen dan paling ketara apabila tercetus isu berkaitan dengan hak-hak istimewa orang Melayu. Tanpa mempedulikan sama ada ia dicetuskan oleh parti kerajaan atau pembangkang, sesiapa juga yang cuba mengganggu gugat kedudukan orang Melayu dan Islam, maka Ibrahim akan bangun menentang dengan nada yang keras.

Dalam pertemuan dengan wartawan Mingguan Malaysia, ZULKIFLEE BAKAR di pejabatnya, Ibrahim melahirkan perasaan tidak puas hati terhadap tindakan sesetengah pihak yang terus mempertikaikan hak orang Melayu. Bagi beliau, tindakan mereka ibarat bermain api dan boleh mengakibatkan tercetusnya permusuhan antara kaum di negara ini. Justeru Ibrahim yang merupakan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mahu pihak-pihak tertentu memberhentikan tindakan mereka.

Ini kerana tegas beliau, isu perkauman yang dimainkan sekarang dianggap lebih serius berbanding apa yang berlaku pada tahun 1987 yang menyaksikan kerajaan melancarkan ‘Operasi Lalang’ bagi mengawal keadaan.

Ibrahim tidak menolak kemungkinan bahawa tindakan sesetengah parti memainkan isu berkaitan kaum ini adalah demi survival politik mereka.

Beliau juga turut mengkritik sikap tidak tegas pihak-pihak yang berkenaan sehingga memungkinkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan semakin tercabar serta tergugat.


MINGGUAN: Walaupun boleh mengundang perbalahan kaum, namun isu-isu berkaitan hak istimewa orang Melayu terus dimainkan oleh pihak tertentu, apa pandangan Datuk?

IBRAHIM: Mereka yang melakukan perbuatan berkenaan sengaja mahu menyemarakkan api dalam sekam. Maka sebab itu saya melihat tindakan Majlis Raja-Raja mengeluarkan kenyataan baru-baru ini berhubung kedudukan orang Melayu adalah satu perkara yang serius dan ia diperkuatkan lagi dengan pandangan oleh Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

Pada pandangan saya, perkara ini kalau tidak ditangani segera ia boleh mengundang mala petaka seperti mana tragedi 13 Mei 1969. Sememangnya kita tidak mahu peristiwa hitam itu berulang, tetapi saya bercakap soal hakikat sebab keghairahan pihak tertentu menyentuh isu-isu asas Perlembagaan negara iaitu Islam sebagai agama rasmi, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, kedaulatan Raja-Raja Melayu dan hak keistimewaan orang Melayu serta hak kerakyatan bagi kaum lain boleh mengundang bahaya.

Kita lihat dalam konteks Islam, ia sudah cuba digugat melalui isu-isu murtad. Semua ini berlaku kerana wujudnya apa yang dipanggil dasar liberalisasi. Ia adalah satu dasar yang cukup bahaya. Liberalisasi tidak boleh dibuka secara total kerana ia akan dikaitkan pula dengan hak asasi manusia, dasar keterbukaan dan lain-lain. Walaupun mengakui hak keadilan sejagat tetapi kita ada landasan dan prinsip-prinsip yang harus kita hormati. Dalam sesebuah negara ia ada sejarah dan undang-undang, begitu juga Malaysia yang mempunyai Perlembagaannya. Semua perkara yang sudah terkandung dalam Perlembagaan seharusnya tidak diganggu gugat tetapi malangnya kita melihat apa yang berlaku adalah sebaliknya. Selepas agama Islam, kini pihak-pihak tertentu cuba pula menganggu gugat bahasa Melayu. Ini jelas apabila Kerajaan negeri Pulau Pinang meluluskan permohonan pihak berkuasa tempatan untuk menggunakan bahasa lain di papan-papan tanda jalan.

Kenapa selepas agama, kelompok berkenaan cuba pula menganggu bahasa Melayu, apa motif tindakan itu?

IBRAHIM: Ini kerana dalam isu-isu lain mereka sudah mencapai apa yang dikehendaki. Ia termasuklah juga dalam soal ekonomi dan pendidikan. Kepada mereka, ekonomi sudah tidak lagi menjadi isu kerana mereka sudah menguasai 60 peratus daripada ekonomi negara malah kini mereka tidak mahu mendengar lagi soal Dasar Ekonomi Baru (DEB) sebaliknya bercakap soal meritokrasi dan kesamarataan.

Bagi bidang pendidikan pula, mereka sudah dapat apa yang mereka mahu apabila kerajaan begitu terbuka membenarkan kewujudan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) yang dinaungi oleh mereka. Oleh kerana semua isu sudah dianggap selesai mereka kini cuba pula menyentuh soal agama Islam dan bahasa Melayu. Mereka cuba menuntut supaya layanan diberikan sama rata dalam amalan beragama. Ini adalah satu tuntutan yang salah kerana apa pun keadaan Islam adalah agama rasmi negara ini.

Biarpun kita membenarkan agama-agama lain bebas dianuti sama seperti juga bahasa lain yang dibenar digunakan tetapi Islam tidak boleh disamakan dengan agama lain. Maknanya, mereka tidak boleh kata atas dasar bebas beragama, mereka berhak bersuara dan layanan mesti sama ertinya kalau mahu bina masjid ia mesti disertai dengan pembinaan kuil atau gereja. Ini tidak boleh dilaksanakan kerana ia berteraskan kepada Islam adalah agama rasmi.

Agama lain tidak berhak mendapat kesamarataan dalam banyak perkara terutama berkaitan dengan peruntukan daripada kerajaan dan sebagainya. Begitu juga bahasa Melayu walaupun kita benarkan bahasa Inggeris atau bahasa lain untuk digunakan tetapi ia tidak boleh diletakkan setaraf dengan bahasa Melayu. Ini kerana bahasa Melayu dijamin dalam Perlembagaan, jadi apabila kita mempertahankan perkara ini kita bukan rasis sebab perkara ini ada dalam Perlembagaan.

Soal rasis tidak timbul kerana setakat ini belum pernah ada mana-mana pertubuhan bukan kerajaan Melayu menganjurkan satu forum atau seminar bercakap mempersoalkan hak kerakyatan kaum lain. Justeru apabila ada orang mempersoalkan hak Melayu, ia adalah satu tindakan menghina asas Perlembagaan dan mencuit perasaan orang Melayu.

Sekarang sudah wujud pula tanggapan bahawa soal ketuanan Melayu tidak penting?

IBRAHIM: Ketuanan Melayu adalah soal panggilan sahaja, apa yang perlu difahami ialah asal usul sesebuah negara itu ada tuannya. Kalau mereka mengatakan Melayu adalah pendatang, ia adalah satu kenyataan yang melampau. Ini yang saya maksudkan menyemarakkan api dalam sekam. Dalam Perlembagaan, walaupun kaum lain diberi hak kerakyatan tetapi mereka orang luar yang kita terima menjadi rakyat. Kita orang Melayu tidak ada masalah kerakyatan kerana kita adalah penduduk pribumi asal, itu maksudnya.

Apa yang perlu kita tegaskan ialah soal bangsa menyentuh nadi sesebuah negara. Cuba lihat di Indonesia atau negara-negara lain, semangat nasionalisme mereka terhadap bangsa bukan kecil, kalau sesiapa menyentuhnya ia boleh mencetuskan huru-hara.

Jadi ini yang membimbangkan kita dan saya lihat pemimpin-pemimpin tertentu semakin ghairah membuat kenyataan berhubung isu hak orang Melayu. Apa yang membimbangkan isu menyentuh perkauman ini lebih dahsyat daripada apa yang berlaku pada tahun 1987 yang menyaksikan pihak berkuasa terpaksa melakukan 'Operasi Lalang' bagi mengawal keadaan.

Tetapi ada di kalangan pemimpin Melayu sendiri turut memainkan sentimen yang sama?

IBRAHIM: Saya tidak menafikan semua ini berlaku kerana ada juga beberapa pemimpin Melayu yang saya sifatkan tidak sedar diri. Mereka ini bercakap atas dasar liberalisasi akibatnya ia menyebabkan kaum lain begitu bermotivasi. Semua kerana ada pemimpin Melayu yang membuat kenyataan-kenyataan menyentuh soal Melayu semata-mata demi agenda politik iaitu untuk mendapat sokongan dan meraih undi. Akhir sekali yang akan menanggung kerugian akibat perbuatan pemimpin-pemimpin berkenaan ialah orang Melayu.

Mereka mengagungkan liberalisasi dengan menganggap ia adalah perjuangan bagi keadilan sejagat dan menyifatkan tidak perlu wujud kontrak sosial. Lebih mengecewakan ada pihak mengatakan tindakan mempertahankan kaum Melayu sebagai tidak Islamik. Hakikatnya, walaupun memang jelas Islam menjaga kepentingan kaum-kaum lain tetapi dari perspektif lain, adalah menjadi kewajipan kita untuk mempertahankan agama Islam dan kedudukan bahasa Melayu. Kalau kita merujuk kepada Piagam Madinah, ia sebenarnya kontrak sosial.

Ini kerana apabila pelbagai puak berkelahi dan Rasulullah SAW menubuhkan negara Islam, mereka patuh kepada langkah itu dan diwujudkan beberapa perkara bagi menjaga kaum-kaum tertentu. Dalam konteks Malaysia, Perlembagaan itulah kontrak sosialnya. Ertinya kontrak sosial itu adalah satu perjanjian yang dizahirkan sebelum kita mencapai kemerdekaan. Ia diputuskan oleh semua kaum dan diterjemahkan dalam bentuk Perlembagaan, ini termasuklah menjadikan Islam sebagai agama rasmi dan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Semua itu termasuk dalam kontrak sosial yang melibatkan perjanjian antara rakyat dengan negara, bukannya antara kaum.

Berdasarkan konteks itulah kaum lain diberikan kerakyatan kerana kesetiaan mereka kepada negara bererti mereka perlu setia kepada Perlembagaan. Di negara-negara lain keadaan lebih teruk apabila kaum minoriti tidak boleh menggunakan nama asal keturunan mereka. Contoh di Indonesia, semua nama jalan di negara itu menggunakan nama Indonesia begitu juga di Thailand, semua itu dilakukan demi menjaga nasionalisme bangsa masing-masing.

Ada yang berkata kelantangan kaum lain tercetus kerana mereka melihat politik orang Melayu semakin lemah, adakah Datuk bersetuju dengan pandangan ini?

IBRAHIM: Kalau mereka mengambil perhitungan ini mereka silap. Kita sememangnya menghormati keputusan yang dibuat oleh rakyat melalui pilihan raya tetapi parti-parti yang menang tidak semestinya boleh mengganggu gugat asas Perlembagaan negara atau cuba menguji kesabaran orang Melayu. Mereka boleh soal hak masing-masing dalam bidang tertentu tetapi jangan kaitkan dengan asas Perlembagaan negara ini, sebab itulah saya bersetuju dengan pandangan Sultan Azlan Shah bahawa kalau timbul kelemahan dalam satu-satu dasar, mekanismenya yang harus diperbetulkan bukannya menghapuskan dasar tersebut.

Adakah mungkin kelemahan kita sendiri mendaulatkan bahasa Melayu menyebabkan kaum lain bertindak menggugat kedudukan bahasa itu?

IBRAHIM: Hakikatnya, kelemahan orang Melayu dalam soal ini terlalu banyak. Sebagai contoh, menteri sendiri membenarkan IPTS menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar, malah ia diburukkan lagi dengan kewujudan semakin banyak sekolah jenis kebangsaan. Kalau beginilah keadaannya macam mana kita hendak memastikan bahasa Melayu terus disatukan, ertinya digunakan oleh semua kaum?

Seperkara lagi, mereka mendakwa integrasi boleh diwujudkan melalui kesamarataan, bagi saya ini adalah satu pendapat yang amat salah. Mereka perlu memahami bahawa bukan sahaja dasar Perlembagaan menyatakan dengan jelas mengenai kedudukan orang Melayu malah dari segi majoriti penduduk pun, orang Melayu merupakan kaum majoriti.

Ada pandangan bahawa parti-parti tertentu kini mula memainkan isu perkauman demi survival politik mereka.

IBRAHIM: Sebenarnya itulah yang sedang mereka lakukan. Ia berasaskan kepada matlamat mereka menuju ke arah apa yang dipanggil konsep pelbagai kaum seperti mana diamalkan oleh Parti Keadilan Rakyat dan DAP. Bagaimanapun jika kita mengkaji perjalanan parti-parti berkenaan mereka tidaklah mengamalkan perkara itu sepenuhnya, malah kalau benar mereka mahu mengamalkan politik pelbagai kaum, DAP boleh melantik seorang Melayu menjadi Setiausaha Agung, tetapi itu tidak dilakukan biarpun DAP mendakwa mereka parti pelbagai kaum.

Dalam soal bahasa Melayu, apakah benar sikap tidak tegas dalam melaksanakan undang-undang menyebabkan kedudukannya semakin terancam?

IBRAHIM: Saya sudah banyak kali menyatakan bahawa bukan sahaja dari segi pelaksanaan bagi mendaulatkan bahasa Melayu kita lemah malah kalau ada orang gugat bahasa itu pun kita tidak mengambil tindakan.

Ini adalah satu sikap yang salah kerana dalam Akta Hasutan sudah menyatakan dengan jelas bahawa lima perkara asas yang termaktub dalam Perlembagaan tidak boleh disentuh atau diungkit. Kita perlu faham bahawa apa juga perkara yang termaktub dalam Perlembagaan perlu dilaksana dan dikuatkuasakan, sebab itulah saya pernah mencadangkan kepada kerajaan menubuhkan jawatankuasa di peringkat kementerian dan kerajaan negeri bagi mengkaji sejauh mana dasar-dasar dan program kerajaan yang dibuat bersesuaian dengan Perkara 153 Perlembagaan.

Bagaimana kita hendak menyedarkan orang Melayu supaya memahami ancaman yang ada di hadapan mereka?

IBRAHIM: Bagi saya cendekiawan dan ilmuwan Melayu termasuk alim ulama harus tampil ke hadapan dan bersuara serta memberi pendapat dan kena berani bercakap.

Dalam usaha mengelakkan ketegangan kaum, apa nasihat Datuk kepada ahli-ahli politik?

IBRAHIM: Saya pun orang politik dan sebagai orang politik masing-masing ada agenda dan cita-cita, saya tidak mahu hipokrit. Apa pun jangan sampai menang tetapi jadi arang, ertinya tiada makna negara ini membangun dengan segala kemajuan tetapi akhirnya ia musnah. Itu mungkin berlaku sebab isu kesamarataan kaum akan mengambil jangka masa panjang untuk diselesaikan.

Oleh itu jangan bermain dengan api kerana jika mereka terus berbuat demikian orang tua-tua kata 'rumah akan terbakar' akhirnya semua rakyat negara ini menderita. Mungkin pihak tertentu akan berhujah bahawa orang Melayu yang mengapi-apikan sesuatu perkara tetapi cuba kaji siapakah yang sering membuat ucapan mempertikaikan kedudukan Melayu dan siapa pula yang menganjurkan forum menyentuh mengenai sensitiviti orang Islam?

Kalau kita hendak mengamalkan sikap menuding jari, ia tidak akan menyelesaikan masalah. Mungkin mereka tidak berpuas hati dengan pelaksanaan beberapa dasar kerajaan tetapi semua kelemahan itu boleh diperbaiki kerana peluang masih banyak dan masa depan masih cerah untuk semua pihak. Apa yang penting masing-masing kena bersabar. Selain itu bagi pemimpin-pemimpin Melayu pula, kalau mahu bertolak ansur biarlah kena pada tempatnya. begitu juga kaum lain kalau hendak menuntut biarlah kena pada tempatnya.

Saya juga mengajak semua orang Melayu untuk memahami, biarpun kita berbeza fahaman politik tetapi kita perlu ingat bahawa kita datang daripada satu agama iaitu Islam, jadi paling tidak kita harus bersatu atas nama Islam atau atas roh Melayu. Kalau ada semangat ini insya-Allah kita akan selamat, kalau tidak maka berakhirlah masa depan orang Melayu dan kaum pribumi di negara ini.(Mingguan Malaysia, 9 November 2008)

Komen:
Datuk Ibrahim Ali. seorang Ahli Parlimen Bebas, bercakap tentang bahasa kebangsaan a.k.a bahasa Melayu. Katanya, "Jangan Bermain Api." Panjang ceritanya dalam akhbar mingguan ini. Kelihatannya Ibrahim bercakap bagaikan seorang pejuang bahasa yang melihat bahasanya tengah diperkutak-katik oleh pelbagai golongan, terutama oleh bukan Bumiputra.Lebih melihat daripada sudut politiknya.

Ada yang kata pandangan Ibrahim terbaru ini lebih menjurus kepada percubaannya meningkatkan "political mileage"nya terutama dalam kalangan orang Melayu yang semakin menentang cubaan sesetengah golongan memperlekeh bahasa kebangsaan ini. Kata mereka Ibrahim merasakan sedang wujud golongan yang mula mengenepikan kepentingan politik masing-masing (bi-partisan)untuk memperjuangkan bahasa Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.

Harapan pelbagai pihak ialah Ibrahim benar-benar ikhlas dalam pandangannya terhadap bahasa ini. Dan dalam keadaan bahasa Melayu yang ada hari ini, pandangan Ibrahim ini benar-benar diperlukan demi masa depan bahasa itu. Mahunya akan ramai lagi ahli-ahli Parlimen yang berani menyuarakan pandangan seperti ini. Tidak kisalah apa motif mereka sebenarnya.

3 comments:

  1. kagum dgn sikapnya yang berani beliau mempertahan Agama dan Bangsa.

    cuma menanti yang lain, yang masih diam di saat-saat manusia tak sedar diri sudah berteriak di jalanan..

    ReplyDelete
  2. assalamualaikum.....sy ingin mengetahui sedikit cerita tentang hikayat waneng pati......harap boleh cerita sedikit

    ReplyDelete
  3. Kepada bul182
    Untuk mendapatkan keterangan lanjut sila berhubung dengan YB Dato' Ibrahim Ali. Saya cuma mengtip berita tentangnya dari akhbar dengan komen saya di bawah artikel berkenaan. Mengenai cerita itu saya rasa YB itu lebih arif.
    Terima kasih

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

MALAYSIAN LEADERS GAZEBO

SO THEY SAY...

SO THEY SAY...

"A.F.Yassin dalam cerpenya "Dendam" berjaya menghidupkan ceritanya dalam bahasa yang berjiwa; sesuai dengan pertentangan-pertentangan yang dialami oleh Salim atau oleh Yanti sendiri. "Plotnya bersifat sorot pergi sebagai satu gaya untuk mengembangkan kisah pada satu detik tetapi menghimbau kisah itu kepada kisah lampau dan juga kisah akan datang. Latarnya di Indonesia. Cerpen ini hidup kerana tidak dibiar berkisar di luar persoalan. Olahan cerpen bepusar keseluruhannya pada watak Yanti..." (Dato' Shahnon Ahmad, Mingguan Malaysia, 14 November 1976.)



" The former editor of a publishing house, A.F.Yassin, recently put out Sembang Sastera: Bersama Orang Persuratan (Fajar Bakti, 1998,310 pages), in which he talks to 64 Malay writers and literary activists of varying stature, who muse on their lives and what they have been up to. Chatty. Frank, nostalgic, irreverent, these conversations are light, in response to A.F.Yassin’s equally casual probing. His target is largely a small and shrinking group of people aged around 60 and above, loyal supporters of the Jawi-scripted Utusan Zaman, in which most of these Sembang-Sembang first appeared.



"Now that these Sembang-Sembang have been romanised, and packed in a handsome hardcover book, more readers , especially literary researchers, local and foreign, can be expected to benefit from them. Of course, the information ranges from the revealing to the trivial, but the book is pertinent as it provides insight on what went on in the world of Malay letters.



"…Sembang Satera is invaluable, especially to students of contemporary Malay literature, because it provides a cauldron of tidbits, with which to spice up the perennially long-overdue assignment.” - (Zakaria Ali, "Notes on Local Literature, fortnightly with Zakaria Ali, New Straits Times, 27 January, 1999."



"Yassin merupakan penulis yang berilmu dalam dua bidang dan seterusnya melibatkan diri dalam tiga dimensi. Bidang-bidang keilmuan dan keahliannya ialah komunikasi dan sastera, sementara kegiatannya dalam bidang penulisan kreatif dan deskriptif dan serentak dengan itu, turut kreatif dalam penghasilan dan penerbitan buku sesuai dengan profesion terkininya." (Asri Affandi, Mingguan Malaysia, 27 Disember 1987.)



"A.F.Yassin dalam bukunya Etika dan Wartawan berpendapat, pemberitaan akhbar di negara ini boleh dikatakan hanya berpandu kepada etika sejagat dan norma serta kebiasaan hidup masyarakat majmuk. Ketiadaan kod etika kewartawanan juga seperti yang ditekan oleh A. Samad Said telah menjadikan akhbar mengamalkan dasar swaying with the wind, bukan merupakan agent of change, serta cenderung menyuarakan dasar dan strategi pihak penerbit suratkabar itu sendiri." (Harakah, 31 Mei 1993.)

Tidak tahu kenapa dia meninggalkan lapangan guru dalam tahun 1962 kemudian sanggup pula menjadi seorang Juruteknik di sebuah kilang tekstil di Johor Bahru. Apakah dia memikirkan kurangnya anak Bumiputra berminat dalam lapangan teknikal atau kerana mula nampak bintangnya lebih mengerdip jika dia meninggalkan lapangan guru?

Yang ternyata sewaktu berada di Textile Corporation of Malaya Berhad Johor Bahru, dia telah dapat mengikuti latihan teknikal di Nagoya, Jepun selama enam bulan dalam tahun 1969. Di Jepun dia baru dapat melihat perbezaan zikap dan tingkah laku manusia pekerja Jepun dengan bangsanya sendiri. Setelah menimba pengalaman di Jepun, tercetus pula keinginannya untuk menulis rencana bersirinya di Utusan Malaysia, Utusan Zaman dan Mingguan Malaysia. Semuanya menceritakan pengalamannya di Jepun.

Kemampuan menulis telah meransangnya menapak ke bidang kerja yang lain. Dia menjadi Penyunting Berita Harian dalam tahun 1971. Semasa di New Straits Times Press (M) Bhd., dia banyak pula menghasilkan cerpen. Dia terus melanjutkan penulisan fiksyen apabila dilantik menjadi Penolong Editor dan kemudiannya meningkat sebagai Editor majalah Dewan Masyarakat.

Melihat kemampuannya menulis artikel dan cerpen di tengah-tengah kesibukannya sebagi seorang Editor, jelaslah kepada kita bahawa seorang editor yang sibuk tidak semestinya tidak boleh menulis. Pokoknya dia tidak mengenal erti kelelahan dan kesibukan bila dia diransang untuk menulis. ("Karyawan Bulan Ini", Dewan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, Mac 1983).