Ismail Zazam @ Zam Ismail, tokoh pendidik yang banyak menabur jasa dalam bidang pendidikan. Beliau juga seoarang penyair dan salah seoang pengasas Persatuan Penulis Johor (PPJ). Kini beliau adalah Timbalan pengarah Yayasan Warisan Johor.
Menilai Sumbangan Tokoh Guru Zam
Oleh A.F.Yassin
“Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum menjadi dewasa
Dialah ibu dan dialah bapa juga
sahabat
Alor kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat...
Dua rangkap puisi di atas nukilan Sasterawan Negara Dato’ Usman Awang
adalah sifat sempurna seorang insan yang bernama guru. Usman menyelam hati guru
dan mendedahkan sifat sempurnanya kepada semua, terutama kepada mereka yang
pernah menjadi murid kepadanya. Betapa benarnya Usman ketika mengkahiri puisi
“Guru Oh Guru” ini dengan rangkapan:
Jadilah apapun, pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulang ilmu
Penggilan keramat “cikgu” kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.”
Tafsiaran semangat yang menjiwai puisi Usman ini mengingatkan sumbangan
seorang bekas guru yang juga seorang sasterawan, iaitu Haji Ismail Zamzam atau
lebih dikenali dengan Zam Ismail. Sifat-sifat yang terlukis dalam puisi itu
adalah sesempurna seorang guru bernama Zam. Walaupun sudah tidak lagi menulis
di “papan hitam” sekolah namun Zam masih dekat dengan profesion perguruan.
Katanya, “Saya guru dan pendidik dan sebagai seorang pendidik, sumbangan saya
kepada masyarakat merentas waktu selagi hayat dikandung badan.”
Amat beruntunglah Zam yang pernah bertugas bekerja sebagai guru.
Penyair Usman mengungkapkan sifat dan fungsi guru dengan keindahan budi dan
hati melalui bait-bait yang puitis. Tidak seperti kebanyakan profesion lain,
guru dihormati dan dihargai, malah diktiraf sepanjang masa, terutama oleh bekas
muridnya. Profesion guru mempunyai harinya sendiri, iaitu Hari Guru yang
disambut setiap tahun pada 16 Mei, dua minggu sesudah rakyat menyambut Hari
Pekerja. Maka untungnya guru, bukan sahaja mereka merayakan Hari Guru tetapi
juga Hari Pekerja. Zam menerima anugerah tertinggi pendidikan itu bersama lima
tokoh guru atau bekas guru yang lain, iaitu Tan Sri Dr. Murad Mohd Noor (74)
yang menerima Anugerah Khas Menteri Pelajaran Untuk Kepemimpinan Pendidikan.
Tokoh-tokoh guru yang lain ialah Alice Wee Siew Eng (63), Krihnasamy a/l
Thambusamy (62), Wan Safinah Saleh (61) dan Ali Suhaily (60).
Zam mewakili kaum guru dan bekas guru yang kegiatan kokurikulumnya
adalah dalam bidang persuratan. Anugerah ini akan menempatkan Zam yang
berlatarkan kesusasteraan sebagai sumber ilham pula kepada para sasterawan yang
menjadikan pendidik sebagai kerjayanya.
Dan anugerah Tokoh Guru 2004 yang diterimanya itu adalah puncak daripada siri
anugerah tokoh guru yang telah diterimanya sempena Hari Guru.
Dua tahun dahulu, Zam diiktiraf sebagai Tokoh Guru Johor. Setahun
sebelumnya, Zam dipilih sebagai Tokoh Guru Batu Pahat. Sementara pada tahun
1996 Zam menerima anugerah Khidmat Cemerlang Kementerian Pendidikan. Rahsia
kejayaannya? “Tidak ada rahsia,” katanya. “Hanya diperlukan sikap positif
ketika mendidik pelajar supaya mereka
bukan sahaja berilmu pengetahuan, malah berakhlak tinggi, berwawasan dan
berperi kemanusiaan yang secara langsung membentuk masyarakat bertanggungjawab.”
Kerjaya terakhir Zam dalam bidang pendidikan ialah sebagai Ketua Sektor
Bahagian Teknologi pendidikan, di Kementerian Pendidikan Malaysia (1993-1996).
Sebelumnya Zam merupakan Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia di Indonesia,
ketika itu dikenali juga sebagai Atace pendidikan, Kedutaan Besar Malaysia di
Indonesia. Pejabatnya terletak di Jalan Budikemuliaan di Jakarta Pusat. Zam
bertugs selama tiga tahun (1990-1993). Pengalamannya sebagai guru, pengetua sekolah
(terakhir sebagai pengetua Sekolah Menengah Dato’ Abdul Razak (SEDAR), Seremban
melengkapkan sahsiah dirinya sebagai pendidik yang tidak pernah kenal erti
letih dan bosan.
Lulusan Sarjana Pendidikan
Universiti Iowa Utara, USA ini
bergiat aktif dalam bidang persuratan secara berterusan. Ini merupakan salah
satu kriteria anugerah kecermelangan dan Zam mewakili bidang persuratan. Proses
pengembangan ilmu yang diamalnya secara berterusan dalam bidang ini tidak
terbatas kepada penulisan buku-buku yang ada kaitannya dengan alam
persekolahan. Zam turut berperanan menerbitkan hasil-hasil persuratan dan
penyelidikan sejarah melalui jawatan terkininya sebagai Timbalan Pengarah
Yayasan Warisan Johor.
Kini beliau telah menerajui penerbitan hampir 30 judul buku melalui
yayasan ini. Antara judul-judul terakhir yang diterbitkan ialah “Shaharom
Hussain Gapura Sastera Johor” susunan Talib Samat yang pelancarannya
disempurnakan sempena Seminar Pemikiran Shaharom Hussain di Johor Bahru
baru-baru ini, “Sejarah Adat Istiadat
Kesultanan Johor, 1529-1855” dan “Usman Awang Penghubung Sastera Moden Dengan
Akar Tradisi.”
Zam menyahut seruan Kerajaan Johor agar “pulang kampung” untuk memberi
sumbangan kepada anak negeri Johor. Menteri Besar, Datuk Abd. Ghani Othman
ketika mulai memegang tampuk kuasa kerajaan di Johor satu dekad yang lalu telah
menyeru cerdik pandai anak Johor kembali berkhidmat di negeri sendiri.
“Alhamdulilah, saya memilih jalan yang betul dan kembali ke pangkuan negeri
yang pernah mendidik saya sebagai guru,” kata Zam ketika ditemui dalam Seminar
Pemikiran Shaharom Hussain di Johor Bahru, 5 Mei lalu.
Bidang persuratan adalah wadah Zam dalam dunia pendidikannya. Malah Zam
memberi ruang untuk kesusasteraan bertapak di arena pendidikan. Dalam kegiatan
ko-kurikulum, misalnya, di mana sahaja Zam ditempatkan dia memberi nafas kepada
kesussteraan. Zam bertugas sebagai Guru Kanan bagi Matapelajaran Bahasa Melayu
dan Sastera Sekolah Tinggi Kluang pada tahun 1972 hingga tahun 1979. Pengalaman
berkarya ditambah pula dengan pengaruh karyanya memungkinkan pelajar lebih
mesra berinteraksi dalam bilik darjah. Satu kelebihan kepada pelajar untuk
memahami dan menghayati ajaran Zam.
Pada tahun 1995 pula Zam dilantik sebagai anggota Panel Penasihat
Penulisan Buku Teks Bahasa Melayu Kementerian pendidikan. Dua tahun kemudian
Zam ditugaskan menulis buku-buku teks sastera dan panduan Bahasa dan
Kesusasteraan Melayu. Barangkali pengalamannya sebagai salah seorang anggota
Jawatankuasa Penggubal Kertas Soalan Kesusasteraan Melayu di peringkat SPM pada
tahun 1981 sebelumnya menjadi pendorong kepada pihak terbabit untuk melantik
Zam menulis buku teks sastera.
Kegiatan Zam di luar bidang perguruan adalah sepenuhnya dalam bidang
kesusasteraan. Malah Zam amat terhutang budi dengan dunia kesusasteraan kerana
melalui kegiatannya yang berterusan dalam dunia itulah dia diberi penghormatan
untuk terpilih sebagai salah seorang penerima Anugerah Tokoh Guru Nasional
2004. Zam mula bergiat sejak tahun 1966 lagi apabila dia mengasaskan penubuhan Persatuan
Penulis Johor (PPJ). Zam menjadikan PPJ platfomnya pula untuk bergiat di
peringkat nasional mulai tahun 1972. Menurut catatan, Zam merupakan salah
seorang tokoh kesusasteraan negeri Johor yang paling lama memegang jawatan
Ketua Satu PPJ, iaitu selama 14 tahun. Zam dipilih Ketua Satu pada tahun 1967
hingga 1969. Kemudian dia dipilih semula pada tahun 1973 hingga tahun 1984. Dua
tahun kemudian Zam dilantik sebagai Penasihat tetap PPJ sehingga sekarang.
Dalam pemilihan jawatankuasa Gabungan Persatuan Penulis Nasional bulan
lalu, Zam terpilih sebagai seorang daripada lima anggota biasanya, mengalahkan
dua calon kawakan dari Selangor seperti Dato’ Ahmad Kamal Abdullah (Kemala) dan
Dato’ Samad Maharuddin dari Kemudi. Di peringkat antarabangasa Zam terlibat
aktif dalam kegiatan sastera budaya dalam lingkungan Sijori
(Singapura-Johor-Riau). Zam dipilih sebagai salah seorang anggota Jawatankuasa
Majlis Kerjasama Persuratan (MAKEP) Rantau Selatan, Singapura, Johor dan Riau
(2002).
Yang mengharumkan namanya ialah kegiatan memfokuskan karya puisinya
dalam majlis-majlis rasmi anjuran institusi kerajaan baik di peringkat negeri
mahupun di peringkat kebangsaan. Misalnya, sempena perayaan Hari Ulang Tahun
ke-100 Batu Pahat beberapa tahun yang lalu, Zam diminta mencipta puisi khas
yang dibacakan dalam perayaan. Sebuah puisinya dibacakan dalam majlis sempena
perayaan Hari Kebangsaan peringkat nasional di Dataran Merdeka pada tahun 2000.
Puisi berjudul “Bersatu Ke Alaf Baru” bergema ketika berlangsungnya lintas udara
jet pejuang TUDM di hadapan dhif-dhif kehormat dan orang ramai yang diketuai
Duli Yang Dipertuan Agong.
Puisi yang dicipta pada 15 Julai 1999 itu membabitkan tujuh rangkap.
Dalam hening pagi di hari bertuah, bergema kata-kata keramat dari bait-bait syahdu
antaranya dua rangkap yang paling mengharukan:
“...Siapalah kita
kalau bukan warga sebuah negara merdeka
Siapalah kita
di arena antarabangsa
bersedia mendengar suara
kalau bukan warga sebuah negara
berdaulat dan merdeka.
... tiada kematian paling nikmat
selain mengasihi tanah leluhur
dan tanah kelahiran ini
di sini di bumi keramat ini
cinta kita terus seubur bersemadi.”
Di Pulau Pinang sebelumnya, Zam diberi penghormatan untuk membaca
puisinya dalam majlis pelancaran Tahun
Membaca. Pada tahun 1989, Zam terpilih untuk mewakili negara dalam Festival
Baca Puisi Dunia di Yugoslavia. Tidak ada yang lebih mengharukan Zam sebagai Tokoh Guru Nasional selain
melihat seorang bekas anak muridnya mencium tangannya ketika Zam menerima
cenderahti daripadanya. Anak muridnya itu, Datin Halimah Saddique kini merupakan seorang exco kanan Kerajaan
Negeri Johor. Zam baru sahaja selesai membentangkan kertas kerja tentang Gapura
Sastera Di Atas Bukit dalam seminar sehari pemikiran Sahaharom Hussain.
Demikianlah, kesusasteraan, khususnya puisi, menjulang nama Zam bukan
setakat sebagai sasterawan tetapi juga sebagai pendidik. Pe ngiktirafan
tertinggi dalam bidang pendidikan tidak akan berjaya dirangkulnya tanpa
kesusasteraan menjadi latar kegiatannya. Zam memperkasa kesusasteraan dalam
profesion gurunya, sebagaimana halnya dia meningkatkan kerjaya perguruannya
melalui penglibatannya dalam bidang kesusasteraan. Dan tidak ada cara yang
paling efektif untuk mengenang jasanya selain pengiktirafan tertinggi sebagai
Tokoh Guru Nasional 2004 yang anugerahnya disampaikan oleh Perdana Menteri,
Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi di Stadium Melawati, Shah Alam, pada 15 Mei
2004 lalu. .