Kuasa politik jadi penentu
Oleh M. JASNI MAJED
MENARIK apabila membaca cadangan Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir mengenai perlunya pelaksanaan sekolah satu sistem untuk merungkai pelbagai masalah berkaitan perpaduan di negara kita.
Oleh sebab semakin luntur nilai perpaduan dan semangat kebangsaan di kalangan masyarakat di negara kita, alternatif daripada senario tersebut adalah mengadakan sekolah satu sistem dengan harapan pelbagai isu yang diungkit mengenai bangsa, agama dan sejarah negara tidak diperbesar-besarkan.
Cadangan Mukhriz ini sama dengan apa yang dicadangkan dalam Laporan Barnes 1950 yang antara lain menyebut bahawa semua sekolah vernakular Melayu, Cina dan Tamil dibubarkan dan diganti dengan sekolah kebangsaan manakala bahasa Melayu dijadikan sebagai bahasa pengantar di peringkat sekolah rendah.
Bagaimanapun setahun selepas itu wujud pula Laporan Fenn-Wu yang mewakili masyarakat Cina yang mencadangkan sekolah vernakular Cina dikekalkan walaupun mereka menyetujui sistem pendidikan kebangsaan.
Ordinan Pelajaran 1952 pula yang mengambil kira Laporan Barnes dan Laporan Fenn-Wu merumuskan bahawa dua sistem persekolahan menggunakan dua bahasa pengantar iaitu Inggeris dan Melayu. Apabila diletakkan syarat pengajaran bahasa Cina dan Tamil disediakan, ordinan ini ditentang oleh masyarakat Cina dan India.
Penyata Razak 1956 yang menekankan sistem persekolahan yang sama untuk semua penduduk dan juga menyeragamkan kurikulum bercorak kebangsaan memperlihatkan kepada kita ketetapan ini dibuat untuk mencapai persefahaman dan perpaduan tiga kaum terbesar iaitu Melayu, Cina dan India.
Menurut kata tokoh pendidik, Tan Sri Dr. Abdul Rahman Arshad, cadangan Mukhriz itu akan dapat dicapai jika terdapat keazaman politik di kalangan ahli-ahli politik negara kita.
Perpaduan
Oleh hal demikian, dalam usaha mencapai kesepakatan demi menangani masalah perpaduan dan sentuh-menyentuh mengenai pelbagai isu sensitif di kalangan kaum di negara kita, ahli politik mempunyai peranan untuk membincang keberkesanan, hala tuju dan cabaran-cabaran untuk melaksanakan apa yang dicadangkan oleh Mukhriz.
Walaupun apa yang dicadangkan ini bakal mengundang satu polemik tetapi demi mencapai cita-cita murni iaitu ke arah melahirkan masyarakat bersatu padu di negara kita, tidak salah sekiranya ahli politik pelbagai parti membincangkan perkara ini.
Semua memahami bahawa kuasa politik itu sangat besar sehingga kadang-kadang di kalangan mereka juga mampu mencipta istilah baru, menentukan jawapan sebenar soalan peperiksaan yang tidak dapat ditemukan oleh guru, pemeriksa kertas malah pensyarah.
Walaupun cadangan ini sama dengan cadangan dalam Penyata Razak 1956 dan sampai kini tidak boleh dilaksanakan kerana masalah-masalah tertentu, kita juga bimbang cadangan ini hanya tinggal cadangan di atas kertas sahaja sedangkan pelbagai kemelut sedang dihadapi oleh masyarakat.
Daripada apa yang kita lihat sekarang, Akta Bahasa Kebangsaan yang sudah sekian lama diluluskan iaitu pada tahun 1967 pun seolah-olah tercalar disebabkan kuasa politik. Malah apa yang terkandung dalam Perlembagaan juga diusik oleh kuasa politik. Maka kuasa politiklah juga yang dapat mengembalikan perpaduan, pengukuhan terhadap bahasa dan juga keharmonian masyarakat tidak kira apa kaum sekalipun.
Cuba kita hayati isi puisi Allahyarham Sasterawan Negara Usman Awang bertajuk Anak Jiran Tionghua, betapa seorang budak Melayu bernama Iskandar yang berkawan baik dengan seorang budak Cina bernama Ah Chew.
Sebenarnya, persahabatan antara Ah Chew dan Iskandar itu sebagai simbol perpaduan kaum yang perlu dipupuk sejak anak-anak masih kecil dan di bangku sekolah lagi supaya apabila besar nanti merekalah yang bakal meneruskan cita-cita negara yang mahu mencapai kecemerlangan dalam semua aspek. (Utusan Online, 4 Disember 2008)
Komen:
Nampaknya, jika mengambil kira hujah kawan kita di atas dan cadangan Ahli Parlimen Jerlun, Dato' Mukhriz Mahathir, kita kenalah desak Kerajaan mewujudkan satu lagi Laporan atau Penyata baru mengenai pendidikan. Barangkli kita boleh namakan Penyata Jerlun atau Penyata Mukhriz sempena nama tokoh politik yang mencadangkannya.
Dan sepatah kata penulis, M. Jasni Majed, kita memerlukan keazaman politik (political will) untuk menggubal Penyata baru ini. Tentunya kita akan menerima hambatan yang lebih kuat berbanding penggubalan Penyata Barnes atau Penyata Razak. Dan benarlah, belum pun sempat cadangan ini didebatkan umum, telah ada suara yang "memancung" terus idea dan pandangan ini, terutama oleh Timbalan Presiden UMNO dan pemimpin-pemimpin parti politik yang lain. Maka kelihatannya cadangan untuk menyatukan rakyat ini melalui Penyata cara begini gagal "lepas landas"
Begitulah berpengaruh dan tebalnya politik etnosentrik di negara ini.
Fashion Valet: the final say. Tales by an unknown blogger no.26.
-
1. I thought I have finished writing about FV. Others have done a better
job than I. It is, until I heard what the 2nd minister said. In parliament.
They w...
1 week ago
No comments:
Post a Comment