Bahasa Melayu bagai melukut di tepi gantang
(Petikan Berita Harian, 11 November 2008)
BANYAK pihak membantah apabila kerajaan negeri Pulau Pinang ingin menggunakan bahasa lain, selain bahasa Melayu pada papan tanda jalan beberapa tempat warisan untuk tujuan pelancongan, terutama dari luar negara.
Sikap keprihatinan begini perlu dipuji dan kalau sikap mulia ini diteruskan setiap kali bahasa Melayu dipinggirkan dalam kapasitinya selaku bahasa negara, ia perlu disanjungi setinggi-tingginya. Namun, sikap sedemikian tidak selalu bersifat konsisten.
Sebenarnya, bahasa Melayu banyak dipinggirkan akhir-akhir ini, terutama dalam peranannya selaku bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi. Kadangkala yang membelakangkan bahasa Melayu ialah orang Melayu sendiri, penutur natif dan etnik kepada bahasa Melayu.
Sudah untuk beberapa ketika, banyak majlis dan acara kenegaraan dihadiri hanya rakyat negara ini, tidak lagi menggunakan bahasa Melayu. Sebaliknya ia menggunakan bahasa Inggeris.
Kini, nama dalam bahasa Inggeris pula menjadi pilihan. Pada April lalu, Bank Pertanian mengumumkan nama barunya, iaitu Agrobank. Mara yang dikenali sebagai satu entiti Melayu yang kuat, juga memilih nama dalam bahasa Inggeris, iaitu MaraLiner untuk menggantikan nama dalam bahasa Melayu untuk basnya.
Nama dalam bahasa Inggeris terus menjadi pilihan pelbagai pihak, termasuk syarikat milik kerajaan. Penamaan motosikal negara juga tidak terlepas daripada kecenderungan ini, apabila nama dalam bahasa Melayu yang merujuk kepada satu-satunya objek yang menjadi identiti serta kebanggaan bangsa Melayu, iaitu 'keris' dieja secara bahasa Inggeris, dalam bentuk KRISS.
Kereta nasional juga mula menggunakan bahasa Inggeris, dengan pelancaran model baru: (Satria) Neo, Persona, GEN2, Savvy, MYVI dan VIVA. Apakah nama dalam bahasa Melayu seperti Saga, Iswara, Wira, Satria, Putra, Waja, Perdana, Kancil, Tiara, Kenari, Kelisa dan Rusa sudah tidak layak dalam bahasa Melayu?
Kebanyakan bangunan dan pembangunan kawasan baru ikut diberi nama dalam bahasa Inggeris. Antaranya termasuk One Borneo di Kota Kinabalu dan Bangsar South di Kuala Lumpur. Kelantan yang selalu disebut sebagai antara benteng kemelayuan yang kuat di negara ini, ikut terheret dalam gejala ini. KB Mall dan Pelangi Mall adalah nama dua tempat beli-belah terbaru dan termoden di Kota Bharu.
Percakapan bahasa Melayu yang bercampur aduk dengan bahasa Inggeris, lebih-lebih lagi dalam majlis formal, misalnya rancangan radio dan televisyen, serta ucapan rasmi pemimpin berleluasa sekali kini sehingga menjadi satu budaya nasional.
Apakah yang kita lakukan secara serius, seperti yang dilakukan oleh pihak tertentu, dalam kes di Pulau Pinang ini, terhadap semua gejala yang meminggirkan bahasa Melayu selaku bahasa negara?
Sepatutnya kita ikut bersuara lantang terhadap penggunaan bahasa Inggeris yang ternyata tidak kena pada tempatnya. Kemudaratan yang dibawa oleh penggunaan bahasa Inggeris sebegini, sebenarnya adalah sama buruk kesan dan sama besar padahnya, kepada citra selain identiti bahasa Melayu selaku bahasa kebangsaan.
Dalam beberapa kes, implikasinya adalah jauh lebih parah daripada penggunaan bahasa Cina dan Tamil yang tidak kena pada tempatnya, seperti yang bakal dilakukan di Pulau Pinang.
PROF DR TEO KOK SEONG,
Profesor Sosiolinguistik
Bahasa Melayu UKM,
Bangi, Selangor.
Komen:
Lagi komen tentang bahasa Melsyu yang diperlekeh.Dr. Teo bukan orang asing dalam kalangan cendekiawan dan peminat bahasa serta sastera tanah air. Beliau cuba bersikap realistik terhadap penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Sebagai ahli dalam bidang sosiolinguistik, Dr. Teo mungkin lebih arif tentang mentaliti rakyat Malaysia, tidak kira apa kaum sekalipun, terhadap bahasa Melayu. Bukan rakyat sahaja tetapi lebih teruk mentaliti pemimpin sendiri. Seolah-olah segala-galanya akan lancar, baik, berkesan, hebat dan dianggap mempunyai mentaliti super dan "high class" sekiranya segala-galanya menggunakan bahasa Inggeris.
Tak tahu lagi apa yang hendak dikata. Hampir semua luncai telah terjun dengan labu-labunya. Biarkan, biarkan!! Dewan Bahasa dan Pustaka pun dah nak jadi luncai juga. Kalau tak jadi luncai dah jadi harimau tak bertaring atau harimau kertas!
Fashion Valet: the final say. Tales by an unknown blogger no.26.
-
1. I thought I have finished writing about FV. Others have done a better
job than I. It is, until I heard what the 2nd minister said. In parliament.
They w...
1 week ago
jikalau aku mampu,
ReplyDeleteingin sahaja aku warnakan darahku dengan tulisan jawi dan membiarkan jantungku berdegup dengan udara bahasa Melayu yang aku cintai..
Buat masa ini kita hanya mampu menelan air liur sahaja, melihat bahasa kebangsaan diperkotak-katik, terutama oleh bangsa kita sendiri. Bilakah kita dapat mendengar orang berkata:
ReplyDeletesatu bangsa - Malaysia
satu Negara - Malaysia
satu bahasa - Malaysia, iaitu Melayu.