Saturday 29 November 2008

BAHASA: IBARAT ANJING MENYALAK BUKIT


Dato' Ibrahim Ali cadang DBP diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri.

ARKIB : 28/11/2008
Letak DBP di bawah JPM
KUALA LUMPUR 27 Nov. - Kerajaan diminta meletakkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) memandangkan institusi tersebut ditubuhkan di bawah Perkara 152 dan 153 Perlembagaan Malaysia untuk memelihara kedudukan bahasa Melayu.

Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas) juga mencadangkan ditubuhkan Suruhanjaya Pelaksana Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

''Saya mencadangkan perkara ini kerana saya dapati tanggungjawab Menteri Pelajaran terlalu banyak sehingga DBP, sebuah agensi yang penting berkaitan dengan bahasa diabaikan.

''Sebab itu saya cadangkan DBP diletakkan di bawah JPM supaya Perdana Menteri sendiri bertanggungjawab dalam soal dan peranan bahasa Melayu memandangkan ia terkandung di dalam Perkara 152 dan 153 Perlembagaan Malaysia,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika berbahas pada peringkat jawatankuasa Bajet 2009 untuk Kementerian Pelajaran pada Persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Ibrahim memberitahu, telah banyak pencabulan berlaku terhadap bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Jelasnya, Perkara 152(1) Perlembagaan Malaysia menyatakan bahawa urusan rasmi kerajaan harus menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tetapi didapati berlaku banyak penyelewengan.

Beliau juga bersetuju dengan celahan Tan Sri Khalid Ibrahim (PKR-Bandar Tun Razak) agar DBP dijadikan sebuah institusi bebas dan bertanggungjawab sepenuhnya dalam isu bahasa Melayu dengan peruntukan RM500 juta setahun.

''Asalkan setiap tindakan memberi kebaikan terhadap pelaksanaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan lebih penting ia mempunyai kuasa penguatkuasaan di bawah undang-undang,'' katanya.

Ibrahim juga bertanya bilakah Akta Dewan Bahasa dan Pustaka 1967 akan dipinda dan dibentangkan di Parlimen memandangkan di situlah terletaknya kelemahan DBP yang tidak mempunyai kuasa undang-undang dalam soal bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Katanya, kelemahan itu menyebabkan kerajaan negeri Pulau Pinang menggunakan pelbagai bahasa untuk papan tanda jalan di negeri tersebut.

''Kerajaan negeri ini meluluskan apa sahaja yang mereka mahu tetapi mereka kena ingat bahawa soal penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan terdapat dalam Perlembagaan Malaysia.

''Apa yang dilakukan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang sebenarnya telah melanggar undang-undang tertinggi negara iaitu Perlembagaan Malaysia,'' katanya.

Katanya, selagi soal DBP dan penguatkuasaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tidak diselesaikan bermakna kerajaan masih tidak bertanggungjawab terhadap bahasa tersebut.

Beliau juga mahukan nama-nama jalan di pusat pentadbiran Kerajaan Pusat, Putrajaya ditukar kepada bahasa Melayu.

Malahan tegasnya, papan-papan tanda di kedai-kedai yang pada masa ini menggunakan pelbagai bahasa juga perlu diturunkan dan diseragamkan dengan ditulis bahasa Melayu sahaja.

''Ini bagi memberikan identiti kepada negara ini seperti mana yang dilaksanakan di Thailand dan Indonesia hanya menggunakan bahasa rasmi negara itu,'' katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Ir. Dr. Wee Ka Siong semasa menggulung perbahasan memberitahu, kementerian telah mengenal pasti calon Ketua Pengarah DBP yang mampu melaksanakan tugas serta bekerja bersama-sama Lembaga Pengelola DBP.

Ka Siong berkata, kementerian kini dalam peringkat akhir penyemakan latar belakang calon terbabit dan akan mengumumkan pelantikan itu tidak lama lagi.

''Kita telah mempunyai calon yang sesuai untuk dilantik sebagai Ketua Pengarah DBP, cuma beberapa perkara perlu dipastikan agar pelantikan itu dapat diterima oleh semua yang berkepentingan di institusi tersebut," katanya.

Ka Siong memberitahu, pindaan terhadap Akta DBP juga kini masih diteliti oleh penasihat undang-undang kementerian bagi memastikan kuasa dapat diberikan kepada DBP untuk menguatkuasakan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan seperti terkandung dalam perlembagaan negara.

Jawatan Ketua Pengarah DBP kosong selepas kontrak Datuk Dr. Firdaus Abdullah tamat beberapa bulan lepas.

''Kementerian komited untuk melihat DBP dapat melaksanakan tugasnya sebagai sebuah badan yang bertanggungjawab untuk memastikan pelaksanaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.(utusan Malaysia 28 Nov 2008)

Komen:
Cadangan Dato' Ibrahim Ali, Ahli Parlimen bebas itu bagus. Pernah juga beberpa tahun dahulu ada golongan pencinta bahasa mahukan suaya DBP diletakkan di bawah Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, yang pada waktu itu dipimpin Dato' Seri Dr. Rais Yatim. Sekarang ada pula yang mahu DBP diletakkan di bawah JPM atau diberi status agensi bebas.

Tetapi ada pula sesetangah penganalisis yang berpendapat bahawa soal DBP bukan boleh selesai dengan meletakkannya di bawah kementerian dan jabatan mana sekali pun. Yang lebih mendesak ialah peranan yang dimainkan DBP untuk memperkasa bahasa Melayu sebagai bahasa nasional, bahasa ilmu dan bahasa perpaduan.

Tidak ada maknanya kalau kita letakkan DBP di bawah Jabatan Perdana Menteri jika sekarang ini sudah ada negeri yang dengan mudahnya menggunakan pelbagai bahasa di papan tanda jalan. Di mana letaknya wibawa dan wewenang DBP sebagai pemantau penggunaan bahasa di negara ini. Kononnya pelbagai bahasa digunakan untuk memudahkan pelancong asing berkomunikasi. Di Perancis kerajaannya tidak pula menggunakan pelbagai bahasa di papan tanda jalannya. tetapi ada sebuah negeri yang kebetulannya jiran kita menggunakan pelbagai bahasa di papan tanda jalannya.Sama seperti yang dilakukan di sebuah negeri di Semenanjung

Anehnya tidak ramai suara yang meluahkan rasa kurang senang mereka terhadap tindakan kerajaan negeri terbabit. Pada hal Perlembagaan memperuntukkan perkara bahasa yang dengan jelas memberi keutamaan kepada penggunaan bahasa nasional. Baragkali pula bukanlah satu kesalahan jika pelbagai bahasa digunakan, walaupun ia bertentangan dengan Perlembagaan. Dan akhirnya perkara bahasa dalam Perlembagaan akan hanya menjadi satu hiasan perlembagaan sahaja. Tidak ada siapa yang peduli.

Soalnya apakah cadangan Ibrahim itu akan tinggal cadangan sahaja. Maklumlah cadangannya ibarat anjing menyalak gunung sahaja. Pemimpin Melayu sendiri pun berulang-ualang kali berkata bahawa bahasa Melayu memang telah termaktub dalam Perlembagaan dan tidak ada siapa yang dapat dan boleh menggugatnya. Lalu setelah bahasa Melayu tidak boleh lagi diganggu-gugat maka tidak mengapalah jika kita menggunakan bahasa lain, seperti Inggeris dalam percakapan. Nahu tunggang langgang pun tak apa apabila bercakap asal sahaja kita tidak menggunakan bahasa yang mereka anggap bahasa kampungan!!

Kesihan Dato' Ibrahim Ali yang keseorangan dalam soal bahasa ini.

Friday 28 November 2008

PENA "BELASAH" GAPENA KERANA BAHASA


Ketua Satu Gapena, Tan Sri Ismail Hussein (Foto: A.F.Yassin)

SASTERA Pena belasah Gapena isu PPSMI
Oleh Nazmi Yaakub dan Rashiqah Ilmi Abd Rahim

MESYUARAT Agung Tahunan (AGM) Persatuan Penulis Nasional (Pena ke-45 menyaksikan organisasi itu membelasah Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) berhubung isu pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI), hangat diperkatakan kini.

Gapena didakwa tidak teguh dalam memperjuangkan PPSMI meskipun dasar perjuangan kedua-dua persatuan penulis terbabit seiring pada peringkat awal kemunculan mereka dalam mempertahankan hal bahasa dan sastera negara.

Presiden Pena, Datuk Baharuddin Zainal atau lebih dikenali sebagai Baha Zain, berkata Pena kekal dengan pendirian menentang PPSMI meskipun pendirian Gapena berhubung perkara terbabit kabur ekoran sikap pemimpin mereka mendiamkan diri.



“Sikap berdiam diri Gapena tidak mencerminkan imej persatuan itu yang sayang kepada masyarakat Melayu, malahan Gapena seakan-akan menyokong pelaksanaan PPSMI yang boleh membunuh jati diri bangsa Melayu,” katanya ketika berucap selepas pengumuman pelantikannya sebagai presiden pada AGM ke-45 di Rumah Pena, Jalan Dewan Bahasa, Kuala Lumpur, Ahad lalu.

Baha Zain berharap kerajaan dapat mempertimbangkan dengan serius kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu yang pernah dimantapkan oleh Perdana Menteri Malaysia yang ke-2, Allahyarham Tun Abdul Razak Haji Datuk Hussein al-Haj.

“Saya yakin masyarakat Melayu tidak mahu melihat bahasa Melayu tergadai hanya kerana kepentingan peribadi sesetengah pihak. Kita perlu sedar bahawa PPSMI bukan saja menyebabkan maruah Melayu tergadai, malahan ia boleh menjejaskan golongan intelektual Melayu,” tegasnya.

Ahli Pena, Shahrun Nizal Mohd Nor, menyarankan Pena agar menggembleng dan menggerakkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang tidak mempunyai kepentingan politik untuk mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berhubung PPSMI.

“Pena wajar menuntut pihak terbabit untuk mendedahkan statistik pelajar yang menjawab dalam bahasa Inggeris bagi kedua-dua subjek itu pada Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) 2008 secara menyeluruh kerana kita mahu mengetahui perbandingan pelajar di sekolah luar bandar dan sekolah di bandar,” katanya.

Bagi Shahrun, tempoh pelaksanaan selama ini sudah pun memadai untuk kita membuat kesimpulan bahawa ia gagal memandangkan hanya 40 peratus daripada keseluruhan pelajar menjawab kedua-dua subjek berkenaan dalam bahasa Inggeris dalam UPSR tahun ini.

...AGM Ke-45 Pena turut menyaksikan peralihan kepimpinan seperti yang dijangka apabila Baha Zain mengambil alih jawatan presiden daripada bekas presidennya, Datuk Ahmad Sebi Bakar manakala Mohamad Saleeh Rahamad sebagai timbalannya.

Jawatan Setiausaha Agung, Timbalan Setiausaha Agung dan Bendahari kekal disandang oleh SM Zakir, Shamsudin Othman dan Rasanubari Asmaramah manakala Ahli Jawatankuasa Kerja, Dr Ahmad Razali Yusof dan Dr Ibrahim Ghaffar.(Petikan Berita Harian,27 Nov. 08)

Komen:
Ternyata Pena dan Gapena masih belum menemukan satu bentuk kerjasama, terutama yang melibatkan isu bahasa dan persuratan. Baru-baru ini, Gapena menjemput bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ke Majlis Wacana Gapena untuk bercakap tentang Dilema Melayu. Dan dalam majlis itu Tun bercakap betapa pentingnya bahasa Inggeris digunakan dalam pengajaran Sains dan Matematik.

Barangkali kehadiran Tun Mahathir sebagai tamu Gapena dalam majlis wacana ini menjadi salah satu sebab Pena "membelasah" Gapena, walaupun Pena, melalui Presiden barunya, Datuk Baharddin Zainal (Baha Zain)mendakwa Gapena tidak tegas dengan sikap dan pendiriannya terhadap isu penggunaan bahasa Inggeris dalam kedua-dua mata pelajaran itu.

Tak tahulah apa nak jadi dengan bahasa Melayu ini ketika masyarakat penulis masih juga "bercakaran" sesama sendiri tentang kedudukan bahasa itu.

Wednesday 26 November 2008

BAHASA MELAYU: DR AWANG TOLAK DAKWAAN DR MAHATHIR


Dr. Awang Sariyan (kiri) dan Tun Mahathir Mohamad: "Dr, Mahathir masih dengan sikap biasanya yang tidak seekali berubah atau berpatah balik apabila telah membuat keputusan."

'Bahasa sumber ilmu bukan masalah besar'
PANDANGAN bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam Wacana Dilema Melayu anjuran Gapena baru-baru ini bahawa Pengajaran dan Pembelajaran Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) patut diteruskan tidaklah memeranjatkan.

Ini kerana beliaulah pencetus, pemutus dan pelaksananya. Dr. Mahathir masih dengan sikap biasanya yang tidak sesekali berubah atau berpatah balik apabila telah membuat keputusan.

Isunya ialah bahawa hujah Dr. Mahathir merupakan hujah yang tergelincir daripada hakikatnya. Dalam laporan Bernama, beliau mengatakan bahawa PPSMI penting agar anak-anak Melayu menguasai Sains dan Matematik dan sekali gus meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris. Ketika beliau membuat keputusan untuk melaksanakan PPSMI, tiada kajian yang dibuat yang menunjukkan bahawa kelemahan penguasaan Sains dan Matematik di kalangan pelajar Melayu (jika benar anak-anak Melayu begitu lemah dalam kedua-dua subjek itu) disebabkan oleh pengajarannya dalam bahasa Melayu. Kita malah sebenarnya telah melahirkan ribuan sarjana dalam bidang sains dan teknologi yang berwibawa dan bertaraf antarabangsa melalui Dasar Pendidikan Kebangsaan yang berteraskan bahasa Melayu.

Adakah Dr. Mahathir bermaksud bahawa Dasar Bahasa Kebangsaan dan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang digubal dan dilaksanakan oleh kerajaan sejak merdeka merupakan dasar negara yang silap? Jika benar, adakah kesilapan itu patut diatasi dengan suatu keputusan yang bersifat ad hoc, dengan membuat keputusan pada tahun 2002 dan terus melaksanakannya pada tahun 2003?

Dr. Mahathir menekankan bahawa bahasa Inggeris patut dijadikan bahasa penghantar Sains dan Matematik kerana bahan ilmu kedua-dua bidang itu banyak tertulis atau terbit dalam bahasa Inggeris. Fakta itu tidak cukup kuat untuk kerajaan mengetepikan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar Sains dan Matematik kerana bahasa Inggeris itu sendiri asalnya hanya bahasa vernakular, bukan bahasa yang diturunkan dari langit sedia sempurna. Sebelum bahasa Inggeris menjadi bahasa besar, orang Eropah bergantung pada bahasa Latin dan bahasa Perancis dalam bidang ilmu, pentadbiran, undang-undang dan ekonomi.

Demikianlah maka bahasa Melayu perlu diberi waktu untuk menjadi mantap semula sebagai bahasa ilmu, termasuk dalam bidang sains dan teknologi. Amat malang halnya apabila kita sendiri tidak mempunyai perancangan dan kesediaan untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa sains dan teknologi, dan cukup sekadar puas hati menyaksikan bahasa Melayu menjadi bahasa percakapan, seperti yang dibanggakan oleh Dr. Mahathir tentang kebolehannya menggunakan bahasa Melayu walaupun belajar di sekolah Inggeris.

Membezakan

Kita perlu membezakan taraf bahasa ilmu daripada bahasa perhubungan sehari-hari jika kita mengimpikan bahasa Melayu menjadi bahasa besar pada masa hadapan. Tentulah aib bagi bangsa Melayu yang berhasrat menjadi bangsa besar di dunia tetapi hanya memiliki bahasa perhubungan sehari-hari dan untuk hal ehwal ilmu dan budaya tinggi terpaksa menggunakan bahasa asing.

Hujah Dr. Mahathir bahawa bangsa Arab menjadi maju kerana mempelajari bahasa Greek untuk menguasai sains dan teknologi juga ternyata meleset. Mempelajari bahasa asing dan menggunakan bahasa asing untuk mengembangkan ilmu kepada masyarakat atau bangsa merupakan dua hal yang sama sekali berbeda. Maka itu tidak ada pejuang bahasa manapun yang menolak hakikat pentingnya kita mempelajari dan menguasai bahasa asing sebagai jambatan ilmu dan tamadun. Namun, PPSMI bukan program pembelajaran bahasa asing, sebaliknya program pengembangan ilmu kepada bangsa kita dalam bahasa asing!

Pada hakikatnya, orang Arab yang mempelajari dan menguasai bahasa Greek ialah para sarjananya, sementara ilmu kepada masyarakat dan bangsanya dikembangkan dalam bahasa Arab.

Memindahkan ilmu

Hal yang sama dilakukan oleh bangsa-bangsa Barat yang memperoleh pelbagai disiplin ilmu daripada sarjana Arab. Mereka mempelajari dan menguasai bahasa Arab untuk memindahkan ilmu dalam bahasa Arab ke dalam bahasa mereka sendiri. Oleh itu bangsa Barat tidak menggunakan bahasa Arab untuk mengembangkan ilmu kepada bangsa mereka, tetapi sebaliknya menggunakan bahasa mereka sendiri. Itulah hakikat jalan sejarah perkembangan tamadun di dunia. Seluruh bangsa dan negara yang besar dan maju di dunia sekarang ini pun masih tetap memajukan bangsa dan negara mereka dalam bahasa masing-masing. Angkasawan kita yang ditumpangkan dalam Soyuz Rusia pun terpaksa beberapa bulan mempelajari bahasa Rusia untuk mengikuti misi ke angkasa lepas. Kekuatan bahasa Inggerisnya rupa-rupanya belum cukup melayakkan dia untuk diterima mengikuti misi tersebut!

Dr. Mahathir turut menggunakan contoh yang silap apabila mengatakan bahawa buku panduan atau manual telefon bersel yang dicetak dalam bahasa Inggeris oleh pengeluar menyebabkan ilmu sains yang diajarkan dalam bahasa Melayu menjadi tidak berguna. Bukankah buku panduan itu dapat diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu, atau pelajar kita yang diajar dengan baik bahasa Inggerisnya dapat memahami buku panduan dalam bahasa Inggeris itu. Mungkin Dr. Mahathir belum pernah melihat adanya telefon bersel yang panduannya ditulis dalam bahasa Melayu pada perisian telefon itu sendiri! Pokoknya, apabila sesuatu bangsa berilmu, bahasa sumber ilmu itu bukanlah masalah yang besar.

Sebagaimana pendukung PPSMI yang lain, Dr. Mahathir mengulang lagu lama bahawa penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajaran Sains dan Matematik bukan langkah meminggirkan bahasa Melayu. Namun, dengan terang di hadapan mata kita bahawa apabila bahasa Melayu akan hanya berfungsi pada sekitar 40 peratus atau kurang di sekolah dan sekitar 30 peratus atau kurang di IPT, maka amat jelas bahawa bahasa Melayu memang terpinggir dan tidak berperanan sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan negara, sebagaimana yang ditetapkan dalam Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Akta Pendidikan 1961 dan Akta Pendidikan 1996.

Pada hemat saya, manfaatkanlah pepatah kita yang berbunyi "Sesat di hujung jalan balik ke pangkal jalan". Kita belum pun sesat sehingga di hujung jalan, maka tidaklah sulit untuk kembali ke pangkal jalan, iaitu melaksanakan semua program pembangunan negara dengan berlandaskan dasar-dasar negara yang telah difikirkan, dirancang dan dilaksanakan dengan jayanya selama ini. Usahlah kita mengalami nasib "Yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran". Ingatlah juga kata orang tua-tua "Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya".

PROF. DR. AWANG SARIYAN
Penyandang Kursi Pengajian Melayu Malaysia - China
Universiti Pengajian Asing Beijing
(Petikan Utusan Malaysia, 26 November 2008)

Komen:

Dato' Dr. Hassan Ahmad, Pengerusi Eksekutif Yayasan Karyawan dan mantan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka

Tak terdaya lagi nak beri komen. Dan tak tahu lagi apa nak cakap. Seperti kata Allahyarham Pak Awam (Abd. Wahab Muhammad), salah seorang pengasas ASAS 50: Tak boleh cakap, tapi dah cakap!!

Agaknya apalah komen Dato' Dr. Hassan Ahmad apabla membaca ulasan Tun Dr. Mahathir dan Dr. Awang Sariyan ini. Dan bagaimana pula komen Dato' Prof. Dr. Asmah Haji Omar dan Dato' Dr. Nik Safiah Karim. Atau Dr. Farid Onn. Atau Prof. Dr. Abdullah Hassan. Atau Ungku Aziz. Tak perlulah minta ulasan orang politik yang jawapannya sudah tentu dah jadi cliche.!

Tuesday 11 November 2008

APABILA ORANG SOSIOLINGUSITIK BERSUARA TENTANG BAHASA MELAYU

Bahasa Melayu bagai melukut di tepi gantang
(Petikan Berita Harian, 11 November 2008)

BANYAK pihak membantah apabila kerajaan negeri Pulau Pinang ingin menggunakan bahasa lain, selain bahasa Melayu pada papan tanda jalan beberapa tempat warisan untuk tujuan pelancongan, terutama dari luar negara.

Sikap keprihatinan begini perlu dipuji dan kalau sikap mulia ini diteruskan setiap kali bahasa Melayu dipinggirkan dalam kapasitinya selaku bahasa negara, ia perlu disanjungi setinggi-tingginya. Namun, sikap sedemikian tidak selalu bersifat konsisten.

Sebenarnya, bahasa Melayu banyak dipinggirkan akhir-akhir ini, terutama dalam peranannya selaku bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi. Kadangkala yang membelakangkan bahasa Melayu ialah orang Melayu sendiri, penutur natif dan etnik kepada bahasa Melayu.



Sudah untuk beberapa ketika, banyak majlis dan acara kenegaraan dihadiri hanya rakyat negara ini, tidak lagi menggunakan bahasa Melayu. Sebaliknya ia menggunakan bahasa Inggeris.

Kini, nama dalam bahasa Inggeris pula menjadi pilihan. Pada April lalu, Bank Pertanian mengumumkan nama barunya, iaitu Agrobank. Mara yang dikenali sebagai satu entiti Melayu yang kuat, juga memilih nama dalam bahasa Inggeris, iaitu MaraLiner untuk menggantikan nama dalam bahasa Melayu untuk basnya.

Nama dalam bahasa Inggeris terus menjadi pilihan pelbagai pihak, termasuk syarikat milik kerajaan. Penamaan motosikal negara juga tidak terlepas daripada kecenderungan ini, apabila nama dalam bahasa Melayu yang merujuk kepada satu-satunya objek yang menjadi identiti serta kebanggaan bangsa Melayu, iaitu 'keris' dieja secara bahasa Inggeris, dalam bentuk KRISS.

Kereta nasional juga mula menggunakan bahasa Inggeris, dengan pelancaran model baru: (Satria) Neo, Persona, GEN2, Savvy, MYVI dan VIVA. Apakah nama dalam bahasa Melayu seperti Saga, Iswara, Wira, Satria, Putra, Waja, Perdana, Kancil, Tiara, Kenari, Kelisa dan Rusa sudah tidak layak dalam bahasa Melayu?

Kebanyakan bangunan dan pembangunan kawasan baru ikut diberi nama dalam bahasa Inggeris. Antaranya termasuk One Borneo di Kota Kinabalu dan Bangsar South di Kuala Lumpur. Kelantan yang selalu disebut sebagai antara benteng kemelayuan yang kuat di negara ini, ikut terheret dalam gejala ini. KB Mall dan Pelangi Mall adalah nama dua tempat beli-belah terbaru dan termoden di Kota Bharu.

Percakapan bahasa Melayu yang bercampur aduk dengan bahasa Inggeris, lebih-lebih lagi dalam majlis formal, misalnya rancangan radio dan televisyen, serta ucapan rasmi pemimpin berleluasa sekali kini sehingga menjadi satu budaya nasional.

Apakah yang kita lakukan secara serius, seperti yang dilakukan oleh pihak tertentu, dalam kes di Pulau Pinang ini, terhadap semua gejala yang meminggirkan bahasa Melayu selaku bahasa negara?

Sepatutnya kita ikut bersuara lantang terhadap penggunaan bahasa Inggeris yang ternyata tidak kena pada tempatnya. Kemudaratan yang dibawa oleh penggunaan bahasa Inggeris sebegini, sebenarnya adalah sama buruk kesan dan sama besar padahnya, kepada citra selain identiti bahasa Melayu selaku bahasa kebangsaan.

Dalam beberapa kes, implikasinya adalah jauh lebih parah daripada penggunaan bahasa Cina dan Tamil yang tidak kena pada tempatnya, seperti yang bakal dilakukan di Pulau Pinang.

PROF DR TEO KOK SEONG,
Profesor Sosiolinguistik
Bahasa Melayu UKM,
Bangi, Selangor.

Komen:
Lagi komen tentang bahasa Melsyu yang diperlekeh.Dr. Teo bukan orang asing dalam kalangan cendekiawan dan peminat bahasa serta sastera tanah air. Beliau cuba bersikap realistik terhadap penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Sebagai ahli dalam bidang sosiolinguistik, Dr. Teo mungkin lebih arif tentang mentaliti rakyat Malaysia, tidak kira apa kaum sekalipun, terhadap bahasa Melayu. Bukan rakyat sahaja tetapi lebih teruk mentaliti pemimpin sendiri. Seolah-olah segala-galanya akan lancar, baik, berkesan, hebat dan dianggap mempunyai mentaliti super dan "high class" sekiranya segala-galanya menggunakan bahasa Inggeris.

Tak tahu lagi apa yang hendak dikata. Hampir semua luncai telah terjun dengan labu-labunya. Biarkan, biarkan!! Dewan Bahasa dan Pustaka pun dah nak jadi luncai juga. Kalau tak jadi luncai dah jadi harimau tak bertaring atau harimau kertas!

Monday 10 November 2008

BAHASA MELAYU DAN SEBERANI IBRAHIM ALI


Datuk Ibrahim ali, Ahli Parlimen Bebas dari Pasir Mas
ARKIB : 09/11/2008
Jangan bermain api


DATUK IBRAHIM ALI, Ahli Parlimen Pasir Mas.

Dalam arena politik tanah air, nama Datuk Ibrahim Ali sudah tidak perlu diperkenalkan lagi. Walaupun berhadapan dengan risiko, Ibrahim tetap lantang memperjuangkan sesuatu isu.

Kini sebagai Ahli Parlimen Bebas yang mewakili kawasan Pasir Mas, Kelantan, Ibrahim terus bersuara di Parlimen dan paling ketara apabila tercetus isu berkaitan dengan hak-hak istimewa orang Melayu. Tanpa mempedulikan sama ada ia dicetuskan oleh parti kerajaan atau pembangkang, sesiapa juga yang cuba mengganggu gugat kedudukan orang Melayu dan Islam, maka Ibrahim akan bangun menentang dengan nada yang keras.

Dalam pertemuan dengan wartawan Mingguan Malaysia, ZULKIFLEE BAKAR di pejabatnya, Ibrahim melahirkan perasaan tidak puas hati terhadap tindakan sesetengah pihak yang terus mempertikaikan hak orang Melayu. Bagi beliau, tindakan mereka ibarat bermain api dan boleh mengakibatkan tercetusnya permusuhan antara kaum di negara ini. Justeru Ibrahim yang merupakan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mahu pihak-pihak tertentu memberhentikan tindakan mereka.

Ini kerana tegas beliau, isu perkauman yang dimainkan sekarang dianggap lebih serius berbanding apa yang berlaku pada tahun 1987 yang menyaksikan kerajaan melancarkan ‘Operasi Lalang’ bagi mengawal keadaan.

Ibrahim tidak menolak kemungkinan bahawa tindakan sesetengah parti memainkan isu berkaitan kaum ini adalah demi survival politik mereka.

Beliau juga turut mengkritik sikap tidak tegas pihak-pihak yang berkenaan sehingga memungkinkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan semakin tercabar serta tergugat.


MINGGUAN: Walaupun boleh mengundang perbalahan kaum, namun isu-isu berkaitan hak istimewa orang Melayu terus dimainkan oleh pihak tertentu, apa pandangan Datuk?

IBRAHIM: Mereka yang melakukan perbuatan berkenaan sengaja mahu menyemarakkan api dalam sekam. Maka sebab itu saya melihat tindakan Majlis Raja-Raja mengeluarkan kenyataan baru-baru ini berhubung kedudukan orang Melayu adalah satu perkara yang serius dan ia diperkuatkan lagi dengan pandangan oleh Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

Pada pandangan saya, perkara ini kalau tidak ditangani segera ia boleh mengundang mala petaka seperti mana tragedi 13 Mei 1969. Sememangnya kita tidak mahu peristiwa hitam itu berulang, tetapi saya bercakap soal hakikat sebab keghairahan pihak tertentu menyentuh isu-isu asas Perlembagaan negara iaitu Islam sebagai agama rasmi, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, kedaulatan Raja-Raja Melayu dan hak keistimewaan orang Melayu serta hak kerakyatan bagi kaum lain boleh mengundang bahaya.

Kita lihat dalam konteks Islam, ia sudah cuba digugat melalui isu-isu murtad. Semua ini berlaku kerana wujudnya apa yang dipanggil dasar liberalisasi. Ia adalah satu dasar yang cukup bahaya. Liberalisasi tidak boleh dibuka secara total kerana ia akan dikaitkan pula dengan hak asasi manusia, dasar keterbukaan dan lain-lain. Walaupun mengakui hak keadilan sejagat tetapi kita ada landasan dan prinsip-prinsip yang harus kita hormati. Dalam sesebuah negara ia ada sejarah dan undang-undang, begitu juga Malaysia yang mempunyai Perlembagaannya. Semua perkara yang sudah terkandung dalam Perlembagaan seharusnya tidak diganggu gugat tetapi malangnya kita melihat apa yang berlaku adalah sebaliknya. Selepas agama Islam, kini pihak-pihak tertentu cuba pula menganggu gugat bahasa Melayu. Ini jelas apabila Kerajaan negeri Pulau Pinang meluluskan permohonan pihak berkuasa tempatan untuk menggunakan bahasa lain di papan-papan tanda jalan.

Kenapa selepas agama, kelompok berkenaan cuba pula menganggu bahasa Melayu, apa motif tindakan itu?

IBRAHIM: Ini kerana dalam isu-isu lain mereka sudah mencapai apa yang dikehendaki. Ia termasuklah juga dalam soal ekonomi dan pendidikan. Kepada mereka, ekonomi sudah tidak lagi menjadi isu kerana mereka sudah menguasai 60 peratus daripada ekonomi negara malah kini mereka tidak mahu mendengar lagi soal Dasar Ekonomi Baru (DEB) sebaliknya bercakap soal meritokrasi dan kesamarataan.

Bagi bidang pendidikan pula, mereka sudah dapat apa yang mereka mahu apabila kerajaan begitu terbuka membenarkan kewujudan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) yang dinaungi oleh mereka. Oleh kerana semua isu sudah dianggap selesai mereka kini cuba pula menyentuh soal agama Islam dan bahasa Melayu. Mereka cuba menuntut supaya layanan diberikan sama rata dalam amalan beragama. Ini adalah satu tuntutan yang salah kerana apa pun keadaan Islam adalah agama rasmi negara ini.

Biarpun kita membenarkan agama-agama lain bebas dianuti sama seperti juga bahasa lain yang dibenar digunakan tetapi Islam tidak boleh disamakan dengan agama lain. Maknanya, mereka tidak boleh kata atas dasar bebas beragama, mereka berhak bersuara dan layanan mesti sama ertinya kalau mahu bina masjid ia mesti disertai dengan pembinaan kuil atau gereja. Ini tidak boleh dilaksanakan kerana ia berteraskan kepada Islam adalah agama rasmi.

Agama lain tidak berhak mendapat kesamarataan dalam banyak perkara terutama berkaitan dengan peruntukan daripada kerajaan dan sebagainya. Begitu juga bahasa Melayu walaupun kita benarkan bahasa Inggeris atau bahasa lain untuk digunakan tetapi ia tidak boleh diletakkan setaraf dengan bahasa Melayu. Ini kerana bahasa Melayu dijamin dalam Perlembagaan, jadi apabila kita mempertahankan perkara ini kita bukan rasis sebab perkara ini ada dalam Perlembagaan.

Soal rasis tidak timbul kerana setakat ini belum pernah ada mana-mana pertubuhan bukan kerajaan Melayu menganjurkan satu forum atau seminar bercakap mempersoalkan hak kerakyatan kaum lain. Justeru apabila ada orang mempersoalkan hak Melayu, ia adalah satu tindakan menghina asas Perlembagaan dan mencuit perasaan orang Melayu.

Sekarang sudah wujud pula tanggapan bahawa soal ketuanan Melayu tidak penting?

IBRAHIM: Ketuanan Melayu adalah soal panggilan sahaja, apa yang perlu difahami ialah asal usul sesebuah negara itu ada tuannya. Kalau mereka mengatakan Melayu adalah pendatang, ia adalah satu kenyataan yang melampau. Ini yang saya maksudkan menyemarakkan api dalam sekam. Dalam Perlembagaan, walaupun kaum lain diberi hak kerakyatan tetapi mereka orang luar yang kita terima menjadi rakyat. Kita orang Melayu tidak ada masalah kerakyatan kerana kita adalah penduduk pribumi asal, itu maksudnya.

Apa yang perlu kita tegaskan ialah soal bangsa menyentuh nadi sesebuah negara. Cuba lihat di Indonesia atau negara-negara lain, semangat nasionalisme mereka terhadap bangsa bukan kecil, kalau sesiapa menyentuhnya ia boleh mencetuskan huru-hara.

Jadi ini yang membimbangkan kita dan saya lihat pemimpin-pemimpin tertentu semakin ghairah membuat kenyataan berhubung isu hak orang Melayu. Apa yang membimbangkan isu menyentuh perkauman ini lebih dahsyat daripada apa yang berlaku pada tahun 1987 yang menyaksikan pihak berkuasa terpaksa melakukan 'Operasi Lalang' bagi mengawal keadaan.

Tetapi ada di kalangan pemimpin Melayu sendiri turut memainkan sentimen yang sama?

IBRAHIM: Saya tidak menafikan semua ini berlaku kerana ada juga beberapa pemimpin Melayu yang saya sifatkan tidak sedar diri. Mereka ini bercakap atas dasar liberalisasi akibatnya ia menyebabkan kaum lain begitu bermotivasi. Semua kerana ada pemimpin Melayu yang membuat kenyataan-kenyataan menyentuh soal Melayu semata-mata demi agenda politik iaitu untuk mendapat sokongan dan meraih undi. Akhir sekali yang akan menanggung kerugian akibat perbuatan pemimpin-pemimpin berkenaan ialah orang Melayu.

Mereka mengagungkan liberalisasi dengan menganggap ia adalah perjuangan bagi keadilan sejagat dan menyifatkan tidak perlu wujud kontrak sosial. Lebih mengecewakan ada pihak mengatakan tindakan mempertahankan kaum Melayu sebagai tidak Islamik. Hakikatnya, walaupun memang jelas Islam menjaga kepentingan kaum-kaum lain tetapi dari perspektif lain, adalah menjadi kewajipan kita untuk mempertahankan agama Islam dan kedudukan bahasa Melayu. Kalau kita merujuk kepada Piagam Madinah, ia sebenarnya kontrak sosial.

Ini kerana apabila pelbagai puak berkelahi dan Rasulullah SAW menubuhkan negara Islam, mereka patuh kepada langkah itu dan diwujudkan beberapa perkara bagi menjaga kaum-kaum tertentu. Dalam konteks Malaysia, Perlembagaan itulah kontrak sosialnya. Ertinya kontrak sosial itu adalah satu perjanjian yang dizahirkan sebelum kita mencapai kemerdekaan. Ia diputuskan oleh semua kaum dan diterjemahkan dalam bentuk Perlembagaan, ini termasuklah menjadikan Islam sebagai agama rasmi dan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Semua itu termasuk dalam kontrak sosial yang melibatkan perjanjian antara rakyat dengan negara, bukannya antara kaum.

Berdasarkan konteks itulah kaum lain diberikan kerakyatan kerana kesetiaan mereka kepada negara bererti mereka perlu setia kepada Perlembagaan. Di negara-negara lain keadaan lebih teruk apabila kaum minoriti tidak boleh menggunakan nama asal keturunan mereka. Contoh di Indonesia, semua nama jalan di negara itu menggunakan nama Indonesia begitu juga di Thailand, semua itu dilakukan demi menjaga nasionalisme bangsa masing-masing.

Ada yang berkata kelantangan kaum lain tercetus kerana mereka melihat politik orang Melayu semakin lemah, adakah Datuk bersetuju dengan pandangan ini?

IBRAHIM: Kalau mereka mengambil perhitungan ini mereka silap. Kita sememangnya menghormati keputusan yang dibuat oleh rakyat melalui pilihan raya tetapi parti-parti yang menang tidak semestinya boleh mengganggu gugat asas Perlembagaan negara atau cuba menguji kesabaran orang Melayu. Mereka boleh soal hak masing-masing dalam bidang tertentu tetapi jangan kaitkan dengan asas Perlembagaan negara ini, sebab itulah saya bersetuju dengan pandangan Sultan Azlan Shah bahawa kalau timbul kelemahan dalam satu-satu dasar, mekanismenya yang harus diperbetulkan bukannya menghapuskan dasar tersebut.

Adakah mungkin kelemahan kita sendiri mendaulatkan bahasa Melayu menyebabkan kaum lain bertindak menggugat kedudukan bahasa itu?

IBRAHIM: Hakikatnya, kelemahan orang Melayu dalam soal ini terlalu banyak. Sebagai contoh, menteri sendiri membenarkan IPTS menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar, malah ia diburukkan lagi dengan kewujudan semakin banyak sekolah jenis kebangsaan. Kalau beginilah keadaannya macam mana kita hendak memastikan bahasa Melayu terus disatukan, ertinya digunakan oleh semua kaum?

Seperkara lagi, mereka mendakwa integrasi boleh diwujudkan melalui kesamarataan, bagi saya ini adalah satu pendapat yang amat salah. Mereka perlu memahami bahawa bukan sahaja dasar Perlembagaan menyatakan dengan jelas mengenai kedudukan orang Melayu malah dari segi majoriti penduduk pun, orang Melayu merupakan kaum majoriti.

Ada pandangan bahawa parti-parti tertentu kini mula memainkan isu perkauman demi survival politik mereka.

IBRAHIM: Sebenarnya itulah yang sedang mereka lakukan. Ia berasaskan kepada matlamat mereka menuju ke arah apa yang dipanggil konsep pelbagai kaum seperti mana diamalkan oleh Parti Keadilan Rakyat dan DAP. Bagaimanapun jika kita mengkaji perjalanan parti-parti berkenaan mereka tidaklah mengamalkan perkara itu sepenuhnya, malah kalau benar mereka mahu mengamalkan politik pelbagai kaum, DAP boleh melantik seorang Melayu menjadi Setiausaha Agung, tetapi itu tidak dilakukan biarpun DAP mendakwa mereka parti pelbagai kaum.

Dalam soal bahasa Melayu, apakah benar sikap tidak tegas dalam melaksanakan undang-undang menyebabkan kedudukannya semakin terancam?

IBRAHIM: Saya sudah banyak kali menyatakan bahawa bukan sahaja dari segi pelaksanaan bagi mendaulatkan bahasa Melayu kita lemah malah kalau ada orang gugat bahasa itu pun kita tidak mengambil tindakan.

Ini adalah satu sikap yang salah kerana dalam Akta Hasutan sudah menyatakan dengan jelas bahawa lima perkara asas yang termaktub dalam Perlembagaan tidak boleh disentuh atau diungkit. Kita perlu faham bahawa apa juga perkara yang termaktub dalam Perlembagaan perlu dilaksana dan dikuatkuasakan, sebab itulah saya pernah mencadangkan kepada kerajaan menubuhkan jawatankuasa di peringkat kementerian dan kerajaan negeri bagi mengkaji sejauh mana dasar-dasar dan program kerajaan yang dibuat bersesuaian dengan Perkara 153 Perlembagaan.

Bagaimana kita hendak menyedarkan orang Melayu supaya memahami ancaman yang ada di hadapan mereka?

IBRAHIM: Bagi saya cendekiawan dan ilmuwan Melayu termasuk alim ulama harus tampil ke hadapan dan bersuara serta memberi pendapat dan kena berani bercakap.

Dalam usaha mengelakkan ketegangan kaum, apa nasihat Datuk kepada ahli-ahli politik?

IBRAHIM: Saya pun orang politik dan sebagai orang politik masing-masing ada agenda dan cita-cita, saya tidak mahu hipokrit. Apa pun jangan sampai menang tetapi jadi arang, ertinya tiada makna negara ini membangun dengan segala kemajuan tetapi akhirnya ia musnah. Itu mungkin berlaku sebab isu kesamarataan kaum akan mengambil jangka masa panjang untuk diselesaikan.

Oleh itu jangan bermain dengan api kerana jika mereka terus berbuat demikian orang tua-tua kata 'rumah akan terbakar' akhirnya semua rakyat negara ini menderita. Mungkin pihak tertentu akan berhujah bahawa orang Melayu yang mengapi-apikan sesuatu perkara tetapi cuba kaji siapakah yang sering membuat ucapan mempertikaikan kedudukan Melayu dan siapa pula yang menganjurkan forum menyentuh mengenai sensitiviti orang Islam?

Kalau kita hendak mengamalkan sikap menuding jari, ia tidak akan menyelesaikan masalah. Mungkin mereka tidak berpuas hati dengan pelaksanaan beberapa dasar kerajaan tetapi semua kelemahan itu boleh diperbaiki kerana peluang masih banyak dan masa depan masih cerah untuk semua pihak. Apa yang penting masing-masing kena bersabar. Selain itu bagi pemimpin-pemimpin Melayu pula, kalau mahu bertolak ansur biarlah kena pada tempatnya. begitu juga kaum lain kalau hendak menuntut biarlah kena pada tempatnya.

Saya juga mengajak semua orang Melayu untuk memahami, biarpun kita berbeza fahaman politik tetapi kita perlu ingat bahawa kita datang daripada satu agama iaitu Islam, jadi paling tidak kita harus bersatu atas nama Islam atau atas roh Melayu. Kalau ada semangat ini insya-Allah kita akan selamat, kalau tidak maka berakhirlah masa depan orang Melayu dan kaum pribumi di negara ini.(Mingguan Malaysia, 9 November 2008)

Komen:
Datuk Ibrahim Ali. seorang Ahli Parlimen Bebas, bercakap tentang bahasa kebangsaan a.k.a bahasa Melayu. Katanya, "Jangan Bermain Api." Panjang ceritanya dalam akhbar mingguan ini. Kelihatannya Ibrahim bercakap bagaikan seorang pejuang bahasa yang melihat bahasanya tengah diperkutak-katik oleh pelbagai golongan, terutama oleh bukan Bumiputra.Lebih melihat daripada sudut politiknya.

Ada yang kata pandangan Ibrahim terbaru ini lebih menjurus kepada percubaannya meningkatkan "political mileage"nya terutama dalam kalangan orang Melayu yang semakin menentang cubaan sesetengah golongan memperlekeh bahasa kebangsaan ini. Kata mereka Ibrahim merasakan sedang wujud golongan yang mula mengenepikan kepentingan politik masing-masing (bi-partisan)untuk memperjuangkan bahasa Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.

Harapan pelbagai pihak ialah Ibrahim benar-benar ikhlas dalam pandangannya terhadap bahasa ini. Dan dalam keadaan bahasa Melayu yang ada hari ini, pandangan Ibrahim ini benar-benar diperlukan demi masa depan bahasa itu. Mahunya akan ramai lagi ahli-ahli Parlimen yang berani menyuarakan pandangan seperti ini. Tidak kisalah apa motif mereka sebenarnya.

Friday 7 November 2008

TEKAK DAH LOYA, MULUT DAH BERBUIH BERCAKAP TENTANG BAHASA KEBANGSAAN

Tanggungjawab bersama memartabatkan bahasa

PELBAGAI pihak mengambil peranan dan memberi pendapat apabila kerajaan negeri Pulau Pinang yang diterajui DAP mahu meletakkan papan tanda bertulisan Cina dan Tamil di kawasan Tapak Warisan Dunia di negeri itu untuk memudahkan pelancong bukan Melayu.

Daripada rakyat bawahan sampailah kepada menteri dan juga orang kuat Dewan Bahasa dan Pustaka, kebanyakannya melahirkan rasa kesal dengan cadangan itu yang dikatakan membelakangkan status bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi walaupun tujuannya untuk kemudahan orang luar.

Maka, apabila bahasa Melayu tercabar kedudukannya, orang ramai mula menuding jari dan pihak ini yang memandang rendah terhadap keupayaan bahasa Melayu sebagai bahasa yang menjadi alat perhubungan antara kaum di negara kita.



Sikap kita sendiri boleh menentukan mengapa bahasa kita dicabar tidak kira sama ada oleh bangsa Melayu sendiri atau bangsa lain. Jika kita tinjau senario bahasa rasmi negara kita dan persepsi masyarakat kita terhadap bahasa sendiri, kita akan dapat membuat pelbagai rumusan mengenainya.

Orang luar memandang bahasa kita sangat rendah darjatnya di negara sendiri walaupun kita mengaku bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi. Orang kita juga lebih mudah berbahasa asing daripada bahasa sendiri dalam sesetengah urusan sehingga bahasa sendiri pun tunggang langgang dan bahasa asing pun tidak seberapa.

Pemantauan terhadap bahasa tidak berkesan dan dibuat secara bermusim sehingga ia tercemar dengan serius oleh sebab kemasukan istilah asing yang dicampur aduk dengan bahasa kita.

Pertukaran ejaan dan istilah yang kononnya untuk tujuan memantapkan bahasa menyukarkan kita sendiri dalam berurusan. Suatu ketika dulu, kita menggunakan ‘bahasa Malaysia’ sebagai nama satu mata pelajaran di sekolah, kemudian ditukar kepada ‘bahasa Melayu’ dan ‘bahasa Malaysia’.

Kita pernah mencanangkan agar perkataan ‘kemalangan’ merujuk kepada kejadian di jalan raya ditukar kepada ’kecelakaan’ kemudian kita jarang melihat istilah itu digunakan.

Kecelaruan dalam bahasa Melayu mencerminkan tahap bahasa kita tidak diyakini penggunaannya. Maka, wujudlah bahasa rojak dalam percakapan, kesalahan pemilihan istilah dalam pertuturan sehingga menimbulkan polemik.

Oleh itu, di samping peranan yang boleh dimainkan Dewan Bahasa dan Pustaka, semua pihak mesti memartabatkan bahasa Melayu supaya imej dan penggunaannya terpelihara.

Media massa, umpamanya mesti mengukuhkan semula penggunaan bahasa baku supaya identiti kita terserlah. Kawalan penggunaan bahasa dalam media massa mesti disandarkan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka.

kepada pakar bahasa untuk memastikan penggunaan bahasa yang diketengahkan untuk tatapan masyarakat betul atau tidak. Masyarakat pula, walaupun sudah berlaku apa yang dinamakan osmosis budaya, usahlah memandang rendah kepada bahasa rasmi negara kerana Bahasa Itu Jiwa Bangsa.

M JASNI MAJED,
Kapar, Selangor.
(Petikan Berita Harian, 7 November 2008)

Komen:
Lagi komen tentang kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan kebangsaan negara. tekak naik loya, mulut dah berbuih, masuk telinga kanan keluar telinga kiri. tak tahulah apa nak jadi dengan bahasa kebangsaan ini. Tidak siapa peduli, tidak siapa ambil kisah. Hanya yang ada Perlembagaan yang nampaknya "hanya dilihat sebagai hiasan" belaka.

Rakyat pun rata-rata naik bosan mendengar. Sedangkan yang mahu penggunaan pelbagai bahasa semakin lantang bersuara. Malah bukan setakat bersuara tetapi sudah mula bertindak. seperti yang dijelaskan oleh pembaca Berita Harian ini.

Terima kasihlah kerajaan Persekutuan yang pemimpin-pemimpin Melayunya sedang bertarung untuk kelangsungan hidup politik masing-masing, berebut-rebut jawatan dan tempat dalam UMNO.

Kadang-kadang terfikir pula ada juga benarnya titah Raja Nazrin Shah ketika memberikan komennya berhubung kaitan raja dan pemimpin politik di Kucing, semalam.

Monday 3 November 2008

CUKUPLAH DENGAN HANYA RETORIK DATUK!!


Dato' Seri Dr. Rais Yatim, Menteri Luar Malaysia


Bantu Bahasa Melayu

KUALA LUMPUR 2 Nov. – Kementerian Luar menyatakan komitmen untuk memainkan peranan positif dalam mana-mana persidangan antarabangsa bahasa Melayu bagi memastikan ia mampu menjadi bahasa dunia yang turut diiktiraf di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Menterinya, Datuk Seri Dr. Rais Yatim (gambar) berkata, sebagai permulaan bahagian Penerangan dan Diplomasi Awam kementeriannya akan bekerjasama dalam menjayakan Persidangan Bahasa Melayu Antarabangsa anjuran Institut Perguruan Bahasa Melayu Malaysia (IPBMM) pertengahan bulan ini.

‘‘Kementerian Luar akan memberikan bantuan dari sudut lojistik untuk menggalakkan percambahan perhubungan antarabangsa serantau. Bahasa Melayu dituturkan oleh lebih 300 juta penduduk di kepulauan Nusantara namun ia tidak menjadi bahasa dunia.

‘‘Oleh itu, nasib bahasa Melayu perlu dibela bersama oleh semua pihak,’’ katanya ketika berucap merasmikan Alumni IPBMM di institut berkenaan di sini hari ini.

Rais yang juga bekas alumni dan kini penaung alumni tersebut berkata, perjuangan bahasa Melayu jika tidak diberi keutamaan akan menyebabkan masalah yang berlaku di Pulau Pinang berleluasa.

‘‘Penggunaan pelbagai bahasa di Pulau Pinang adalah kerana kelemahan kita dalam penegasan sesuatu, maka pihak berkenaan menganggap kita lemah dan menggunakan cara-cara untuk memecahkan penyatuan menerusi bahasa kebangsaan.

‘‘Memang tidak salah dari sudut beberapa undang-undang tetapi ia memperkecilkan Akta Bahasa Kebangsaan yang termaktub di Parlimen,’’ jelas beliau.

Tambah Rais, beliau tidak putus asa untuk melihat satu masa nanti semua pihak menggunakan bahasa kebangsaan dalam semua perutusan, papan tanda dan urusan-urusan rasmi.

‘‘Tetapi ini memerlukan satu kebangkitan. UMNO harus memperjuangkan fasa tiga ceraian lima dalam perlembagaannya iaitu bahasa dan budaya adalah satu perjuangan.

‘‘Jika tidak kita akan terus dalam keadaan terumbang-ambing seperti ini,’’ katanya.

Jelas Rais, kerajaan negeri Pulau Pinang mengutamakan cita rasa sosialisme berbanding semangat memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan mengikut Akta Bahasa Kebangsaan negara. (Utusan Online, 3 November 08)

Komen:
Dato', cukuplah dengan retorik ini. Bertindaklah tanpa banyak celoteh. Bukan sahaja orang bertambah bosan malah dah sampai peringkat nak naik loya tekak. Kita sudah ada Perlembagaan. Kita sudah ada akta bahasa Kebangsaan. Sudah lebih daripada cukup untuk usaha kita memperlindung bahasa Melayu a.k.a bahasa Kebangsaan. Sudah lebih 50 tahun bahasa itu diperjuangkan. Tokoh budaya ada yang sudah meninggalkan kita. Jika masih hidup mereka tidak lagi mampu berbuat apa-apa kerana sudah tidak punya taring lagi.

Elokalh bertindak. Ap kata kalau buat permulaan ini, Datuk sendiri meminta, mengharap dan merayu kepada semua menteri kabinet, terutama Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri sendiri bercakap dalam bahasa Melayu (kebangsaan) sahaja dalam semua majlis rasmi dan tak rasmi yang diadakan di peringkat nasional dan dalam bahasa yang betul. Kemudian sedikit demi sedikit mereka diminta bercakap dalam bahasa itu di peringkat antarabangsa. Kalau menteri-menteri di Peranchis, di Jerman, di Jepun, di Indonesia dan negara-negara lain bangga mengagungkan dan mengkeramatkan bahasa nasional mereka. mengapa menteri-menteri kita tak boleh.

Kalau ini Dato' boleh lakukan maka akan ramai akan berasa bahasa Melayu akan mempunyai tempat waima di Bangsa-bangsa Bersatu sendiri.

Kadang-kadang apabila memikirkan keadaan bahasa Melayu (kebangsaan) hari ini, terasa naik lucu kita dibuatnya!!

Saturday 1 November 2008

BAHASA KEBANGSAAN: DAH BERBUIH CAKAP DAH!!


En. Kamarul Zaman Shaharudin, Timbalan Ketua Pengarah DBP (kiri) dan beberapa pegawai ketika menghadiri pertemuan dengan pihak pengurusan RTM di Angkasapuri, 2006 (Foto A.F.Yassin).

ARKIB : 31/10/2008
Hormati kedudukan bahasa Melayu - DBP
KUALA LUMPUR 30 Okt. - Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mengingatkan semua pihak agar menghormati Perlembagaan termasuk kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Timbalan Ketua Pengarah DBP, Kamarul Zaman Shaharudin berkata, semua pihak harus menghormati prinsip ketiga Rukun Negara iaitu 'Keluhuran Perlembagaan' dan tidak mempertikaikan kedudukan bahasa kebangsaan.

''Isu penggunaan pelbagai bahasa pada papan tanda di Georgetown, Pulau Pinang sendiri telah mendapat reaksi pelbagai pihak termasuk DBP.

''Kita ingin tegaskan bahasa kebangsaan merupakan bahasa rasmi. Berdasarkan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, bahasa Melayu dan bahasa kebangsaan hendaklah digunakan bagi maksud rasmi," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Kamarul, dalam konteks papan tanda jalan, pihaknya berpendirian bahawa apa-apa yang berkaitan dengannya adalah di bawah maksud 'rasmi'.

Oleh itu, papan tanda jalan hendaklah menggunakan bahasa kebangsaan dan ditulis dalam tulisan rumi dengan syarat tidak melarang penggunaan tulisan Melayu yang lebih dikenali dengan tulisan Jawi.

''Bagi dokumen rasmi termasuk risalah promosi pelancongan yang dikeluarkan kerajaan, dokumen itu hendaklah menggunakan bahasa Melayu di samping boleh menggunakan apa-apa terjemahan dalam mana-mana bahasa lain bagi apa- apa maksud yang difikirkan perlu demi kepentingan awam.

''Ia dibenarkan oleh Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 dan penggunaan bahasa kebangsaan akan menyerlahkan identiti diri dalam mengekalkan warisan budaya kebangsaan serta mempromosi bahasa itu sendiri kepada pelancong asing,'' katanya.(Petikan Utusan Online, 31 Okt.08)

Komen:
Dah berbuih mulut cakap dah. Apa kesannya? Tak ada. Kosong. Titik. Apalah yang DBP boleh buat. Sekadar melepas batuk di tangga sahaja atau bagai anjing menyalak bukit. Rasanya cukuplah DBP "menyalak bukit" sejak lebih setengah abad yang lalu. Sampai kiamat pun ia tidak akan runtuh. Lebih baik kakitangannya tumpukan masa dan tenaga mempergiat penerbitan buku dan meningkatkan kualiti kandungan sekumpulan majalahnya . Ini akan lebih berfaedah dan dapat meningkatkan citra modal insan seperti yang dipropagandakan pemimpin kerajaan pusat sekarang.

Ketua Pengarah dan Pengerusi Lembaga Pengelola DBP boleh datang dan boleh pergi. Namun DBP tetap tetap pa takuk lama dekat "tang tu" juga. Kenapa? "You tahu, I pun tahu kan? Apa khabar Dato' Pengerusi DBP kita?"

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

MALAYSIAN LEADERS GAZEBO

SO THEY SAY...

SO THEY SAY...

"A.F.Yassin dalam cerpenya "Dendam" berjaya menghidupkan ceritanya dalam bahasa yang berjiwa; sesuai dengan pertentangan-pertentangan yang dialami oleh Salim atau oleh Yanti sendiri. "Plotnya bersifat sorot pergi sebagai satu gaya untuk mengembangkan kisah pada satu detik tetapi menghimbau kisah itu kepada kisah lampau dan juga kisah akan datang. Latarnya di Indonesia. Cerpen ini hidup kerana tidak dibiar berkisar di luar persoalan. Olahan cerpen bepusar keseluruhannya pada watak Yanti..." (Dato' Shahnon Ahmad, Mingguan Malaysia, 14 November 1976.)



" The former editor of a publishing house, A.F.Yassin, recently put out Sembang Sastera: Bersama Orang Persuratan (Fajar Bakti, 1998,310 pages), in which he talks to 64 Malay writers and literary activists of varying stature, who muse on their lives and what they have been up to. Chatty. Frank, nostalgic, irreverent, these conversations are light, in response to A.F.Yassin’s equally casual probing. His target is largely a small and shrinking group of people aged around 60 and above, loyal supporters of the Jawi-scripted Utusan Zaman, in which most of these Sembang-Sembang first appeared.



"Now that these Sembang-Sembang have been romanised, and packed in a handsome hardcover book, more readers , especially literary researchers, local and foreign, can be expected to benefit from them. Of course, the information ranges from the revealing to the trivial, but the book is pertinent as it provides insight on what went on in the world of Malay letters.



"…Sembang Satera is invaluable, especially to students of contemporary Malay literature, because it provides a cauldron of tidbits, with which to spice up the perennially long-overdue assignment.” - (Zakaria Ali, "Notes on Local Literature, fortnightly with Zakaria Ali, New Straits Times, 27 January, 1999."



"Yassin merupakan penulis yang berilmu dalam dua bidang dan seterusnya melibatkan diri dalam tiga dimensi. Bidang-bidang keilmuan dan keahliannya ialah komunikasi dan sastera, sementara kegiatannya dalam bidang penulisan kreatif dan deskriptif dan serentak dengan itu, turut kreatif dalam penghasilan dan penerbitan buku sesuai dengan profesion terkininya." (Asri Affandi, Mingguan Malaysia, 27 Disember 1987.)



"A.F.Yassin dalam bukunya Etika dan Wartawan berpendapat, pemberitaan akhbar di negara ini boleh dikatakan hanya berpandu kepada etika sejagat dan norma serta kebiasaan hidup masyarakat majmuk. Ketiadaan kod etika kewartawanan juga seperti yang ditekan oleh A. Samad Said telah menjadikan akhbar mengamalkan dasar swaying with the wind, bukan merupakan agent of change, serta cenderung menyuarakan dasar dan strategi pihak penerbit suratkabar itu sendiri." (Harakah, 31 Mei 1993.)

Tidak tahu kenapa dia meninggalkan lapangan guru dalam tahun 1962 kemudian sanggup pula menjadi seorang Juruteknik di sebuah kilang tekstil di Johor Bahru. Apakah dia memikirkan kurangnya anak Bumiputra berminat dalam lapangan teknikal atau kerana mula nampak bintangnya lebih mengerdip jika dia meninggalkan lapangan guru?

Yang ternyata sewaktu berada di Textile Corporation of Malaya Berhad Johor Bahru, dia telah dapat mengikuti latihan teknikal di Nagoya, Jepun selama enam bulan dalam tahun 1969. Di Jepun dia baru dapat melihat perbezaan zikap dan tingkah laku manusia pekerja Jepun dengan bangsanya sendiri. Setelah menimba pengalaman di Jepun, tercetus pula keinginannya untuk menulis rencana bersirinya di Utusan Malaysia, Utusan Zaman dan Mingguan Malaysia. Semuanya menceritakan pengalamannya di Jepun.

Kemampuan menulis telah meransangnya menapak ke bidang kerja yang lain. Dia menjadi Penyunting Berita Harian dalam tahun 1971. Semasa di New Straits Times Press (M) Bhd., dia banyak pula menghasilkan cerpen. Dia terus melanjutkan penulisan fiksyen apabila dilantik menjadi Penolong Editor dan kemudiannya meningkat sebagai Editor majalah Dewan Masyarakat.

Melihat kemampuannya menulis artikel dan cerpen di tengah-tengah kesibukannya sebagi seorang Editor, jelaslah kepada kita bahawa seorang editor yang sibuk tidak semestinya tidak boleh menulis. Pokoknya dia tidak mengenal erti kelelahan dan kesibukan bila dia diransang untuk menulis. ("Karyawan Bulan Ini", Dewan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, Mac 1983).