Friday 28 November 2008

PENA "BELASAH" GAPENA KERANA BAHASA


Ketua Satu Gapena, Tan Sri Ismail Hussein (Foto: A.F.Yassin)

SASTERA Pena belasah Gapena isu PPSMI
Oleh Nazmi Yaakub dan Rashiqah Ilmi Abd Rahim

MESYUARAT Agung Tahunan (AGM) Persatuan Penulis Nasional (Pena ke-45 menyaksikan organisasi itu membelasah Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) berhubung isu pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI), hangat diperkatakan kini.

Gapena didakwa tidak teguh dalam memperjuangkan PPSMI meskipun dasar perjuangan kedua-dua persatuan penulis terbabit seiring pada peringkat awal kemunculan mereka dalam mempertahankan hal bahasa dan sastera negara.

Presiden Pena, Datuk Baharuddin Zainal atau lebih dikenali sebagai Baha Zain, berkata Pena kekal dengan pendirian menentang PPSMI meskipun pendirian Gapena berhubung perkara terbabit kabur ekoran sikap pemimpin mereka mendiamkan diri.



“Sikap berdiam diri Gapena tidak mencerminkan imej persatuan itu yang sayang kepada masyarakat Melayu, malahan Gapena seakan-akan menyokong pelaksanaan PPSMI yang boleh membunuh jati diri bangsa Melayu,” katanya ketika berucap selepas pengumuman pelantikannya sebagai presiden pada AGM ke-45 di Rumah Pena, Jalan Dewan Bahasa, Kuala Lumpur, Ahad lalu.

Baha Zain berharap kerajaan dapat mempertimbangkan dengan serius kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu yang pernah dimantapkan oleh Perdana Menteri Malaysia yang ke-2, Allahyarham Tun Abdul Razak Haji Datuk Hussein al-Haj.

“Saya yakin masyarakat Melayu tidak mahu melihat bahasa Melayu tergadai hanya kerana kepentingan peribadi sesetengah pihak. Kita perlu sedar bahawa PPSMI bukan saja menyebabkan maruah Melayu tergadai, malahan ia boleh menjejaskan golongan intelektual Melayu,” tegasnya.

Ahli Pena, Shahrun Nizal Mohd Nor, menyarankan Pena agar menggembleng dan menggerakkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang tidak mempunyai kepentingan politik untuk mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berhubung PPSMI.

“Pena wajar menuntut pihak terbabit untuk mendedahkan statistik pelajar yang menjawab dalam bahasa Inggeris bagi kedua-dua subjek itu pada Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) 2008 secara menyeluruh kerana kita mahu mengetahui perbandingan pelajar di sekolah luar bandar dan sekolah di bandar,” katanya.

Bagi Shahrun, tempoh pelaksanaan selama ini sudah pun memadai untuk kita membuat kesimpulan bahawa ia gagal memandangkan hanya 40 peratus daripada keseluruhan pelajar menjawab kedua-dua subjek berkenaan dalam bahasa Inggeris dalam UPSR tahun ini.

...AGM Ke-45 Pena turut menyaksikan peralihan kepimpinan seperti yang dijangka apabila Baha Zain mengambil alih jawatan presiden daripada bekas presidennya, Datuk Ahmad Sebi Bakar manakala Mohamad Saleeh Rahamad sebagai timbalannya.

Jawatan Setiausaha Agung, Timbalan Setiausaha Agung dan Bendahari kekal disandang oleh SM Zakir, Shamsudin Othman dan Rasanubari Asmaramah manakala Ahli Jawatankuasa Kerja, Dr Ahmad Razali Yusof dan Dr Ibrahim Ghaffar.(Petikan Berita Harian,27 Nov. 08)

Komen:
Ternyata Pena dan Gapena masih belum menemukan satu bentuk kerjasama, terutama yang melibatkan isu bahasa dan persuratan. Baru-baru ini, Gapena menjemput bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ke Majlis Wacana Gapena untuk bercakap tentang Dilema Melayu. Dan dalam majlis itu Tun bercakap betapa pentingnya bahasa Inggeris digunakan dalam pengajaran Sains dan Matematik.

Barangkali kehadiran Tun Mahathir sebagai tamu Gapena dalam majlis wacana ini menjadi salah satu sebab Pena "membelasah" Gapena, walaupun Pena, melalui Presiden barunya, Datuk Baharddin Zainal (Baha Zain)mendakwa Gapena tidak tegas dengan sikap dan pendiriannya terhadap isu penggunaan bahasa Inggeris dalam kedua-dua mata pelajaran itu.

Tak tahulah apa nak jadi dengan bahasa Melayu ini ketika masyarakat penulis masih juga "bercakaran" sesama sendiri tentang kedudukan bahasa itu.

2 comments:

  1. mungkin perkataan "belasah" tidak tepat, malah memang tidak tepat kerana konotasinya sangat negatif. yang lebih sesuai digunakan ialah menegur atau teguran. Pena tidak pernah berhasrat mencari musuh dengn sesiapa. Gapena memang badan gabungan yang diharapkan dapat menjalankan peranannya dalam skala yang lebih besar, sementara Pena akan juga melaksanakan gagasannya yang tidak pernah surutdaripada memperjuangkan kedudukan Melayu dalam perlembagaan. perkataan belasah itu hanya ciptaan penulis yang mempunyai persepsi tersendiri, berdasarkan gagasannya juga. Berita Harian tampak sangat tekal memperjuangkan kedudukan BM dalam sistem pendidikan. tahniah kepada Berita Harian. Dan kepada Gapena, anggaplah ini sebagai suara rakyat yang cinta akan bangsa. Tidak ada pertelagahan antara Pena dengan Gapena. Cuma, satu hal yang harus difahami, Pena ialah sebuah persatuan bertaraf nasional, dan oleh itu Pena menggalas harapan bangsa di peringkat nasioanl. Jika pena bergerak dalam kapasitinya sendiri dengan menganjurkan pertemuan budaya, bahasa, dan persuratan di peringkat nasional mahupun antarabangsa, janganlah Pena dikecam seperti yang pernah berlaku sebelum. kecaman seperti itulah yang sebenarnya menggegarkan meja persefahaman dalam usaha kita memartabatkan bangsa. Kami dalam Pena mempunyai wawasan juga tetapi sering pula Gapena mengetepikan kami (terutama generasi muda). Tentulah tidak salah kalau kami bergiat dengan keupayaan kami sendiri. bukankah antara Pena dengan Gapena seharusnya saling melengkapi? Pena bukanlah golongan pinggiran. Marilah sama-sama Gapena dan Pena melaksanakan tanggungjawabnya dengan penuh rasa persaudaraan.

    saleeh rahamad
    (pandangan peribadi sahaja)

    ReplyDelete
  2. Perkataan "belasah" dalam artikel ini adalah perkataan yang diulangi daripada tajuk yang ditulis olrh wartawan Berita harian sendiri.

    Saya tidak membetulkan atau menyalahkan penggunaan perkataan itu. terserahlah kepada pembaca untuk memberikan persepsinya sendiri. Lagi pun apa hak saya untuk mengubah perkataan "belasah" yang digunakan oleh wartawan berkenaan.

    apapun, terima kasih banyaklah kerana kepekaan Sdr Salleh dalam hal ini.

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

MALAYSIAN LEADERS GAZEBO

SO THEY SAY...

SO THEY SAY...

"A.F.Yassin dalam cerpenya "Dendam" berjaya menghidupkan ceritanya dalam bahasa yang berjiwa; sesuai dengan pertentangan-pertentangan yang dialami oleh Salim atau oleh Yanti sendiri. "Plotnya bersifat sorot pergi sebagai satu gaya untuk mengembangkan kisah pada satu detik tetapi menghimbau kisah itu kepada kisah lampau dan juga kisah akan datang. Latarnya di Indonesia. Cerpen ini hidup kerana tidak dibiar berkisar di luar persoalan. Olahan cerpen bepusar keseluruhannya pada watak Yanti..." (Dato' Shahnon Ahmad, Mingguan Malaysia, 14 November 1976.)



" The former editor of a publishing house, A.F.Yassin, recently put out Sembang Sastera: Bersama Orang Persuratan (Fajar Bakti, 1998,310 pages), in which he talks to 64 Malay writers and literary activists of varying stature, who muse on their lives and what they have been up to. Chatty. Frank, nostalgic, irreverent, these conversations are light, in response to A.F.Yassin’s equally casual probing. His target is largely a small and shrinking group of people aged around 60 and above, loyal supporters of the Jawi-scripted Utusan Zaman, in which most of these Sembang-Sembang first appeared.



"Now that these Sembang-Sembang have been romanised, and packed in a handsome hardcover book, more readers , especially literary researchers, local and foreign, can be expected to benefit from them. Of course, the information ranges from the revealing to the trivial, but the book is pertinent as it provides insight on what went on in the world of Malay letters.



"…Sembang Satera is invaluable, especially to students of contemporary Malay literature, because it provides a cauldron of tidbits, with which to spice up the perennially long-overdue assignment.” - (Zakaria Ali, "Notes on Local Literature, fortnightly with Zakaria Ali, New Straits Times, 27 January, 1999."



"Yassin merupakan penulis yang berilmu dalam dua bidang dan seterusnya melibatkan diri dalam tiga dimensi. Bidang-bidang keilmuan dan keahliannya ialah komunikasi dan sastera, sementara kegiatannya dalam bidang penulisan kreatif dan deskriptif dan serentak dengan itu, turut kreatif dalam penghasilan dan penerbitan buku sesuai dengan profesion terkininya." (Asri Affandi, Mingguan Malaysia, 27 Disember 1987.)



"A.F.Yassin dalam bukunya Etika dan Wartawan berpendapat, pemberitaan akhbar di negara ini boleh dikatakan hanya berpandu kepada etika sejagat dan norma serta kebiasaan hidup masyarakat majmuk. Ketiadaan kod etika kewartawanan juga seperti yang ditekan oleh A. Samad Said telah menjadikan akhbar mengamalkan dasar swaying with the wind, bukan merupakan agent of change, serta cenderung menyuarakan dasar dan strategi pihak penerbit suratkabar itu sendiri." (Harakah, 31 Mei 1993.)

Tidak tahu kenapa dia meninggalkan lapangan guru dalam tahun 1962 kemudian sanggup pula menjadi seorang Juruteknik di sebuah kilang tekstil di Johor Bahru. Apakah dia memikirkan kurangnya anak Bumiputra berminat dalam lapangan teknikal atau kerana mula nampak bintangnya lebih mengerdip jika dia meninggalkan lapangan guru?

Yang ternyata sewaktu berada di Textile Corporation of Malaya Berhad Johor Bahru, dia telah dapat mengikuti latihan teknikal di Nagoya, Jepun selama enam bulan dalam tahun 1969. Di Jepun dia baru dapat melihat perbezaan zikap dan tingkah laku manusia pekerja Jepun dengan bangsanya sendiri. Setelah menimba pengalaman di Jepun, tercetus pula keinginannya untuk menulis rencana bersirinya di Utusan Malaysia, Utusan Zaman dan Mingguan Malaysia. Semuanya menceritakan pengalamannya di Jepun.

Kemampuan menulis telah meransangnya menapak ke bidang kerja yang lain. Dia menjadi Penyunting Berita Harian dalam tahun 1971. Semasa di New Straits Times Press (M) Bhd., dia banyak pula menghasilkan cerpen. Dia terus melanjutkan penulisan fiksyen apabila dilantik menjadi Penolong Editor dan kemudiannya meningkat sebagai Editor majalah Dewan Masyarakat.

Melihat kemampuannya menulis artikel dan cerpen di tengah-tengah kesibukannya sebagi seorang Editor, jelaslah kepada kita bahawa seorang editor yang sibuk tidak semestinya tidak boleh menulis. Pokoknya dia tidak mengenal erti kelelahan dan kesibukan bila dia diransang untuk menulis. ("Karyawan Bulan Ini", Dewan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, Mac 1983).