Yahaya Ismail gigih perjuangkan bahasa pada tahun-tahun 1960an. Yahaya bersama ramai teman satu angkatan di DBP seperti Salleh Yusof, Maarof Saad, Abdullah Abbas dan Fadzil Agussalim mengarak "Keranda 152" sebagai lambang terhakisnya bahasa Melayu dan yang menyebabkan Pengarah DBP ketika itu Tuan Syed Nasir Ismail menangis mengingatkan nasib bahasanya.
KONGRES BAHASA KE-7: DI MANA SILAPNYA?
Oleh A.F.Yassin
Walaupun terlewat
dan berubah tempat namun sambutan terhadap Kongres dikatakan membanggakan juga.
Menurut catatan jumlah peserta mencecah 500 orang, hampir sama dengan jumlah
yang menghadiri Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu ke-3 di Johor Bahru
dahulu. Semangat juga hampir sama. Kalau dahulu pejuang mahu memartabatkan
bahasa Melayu. Pada kongres kali ini semangat itu ingin mengembalikan martabat
bahasa itu yang seperti dikatakan banyak peserta “telah banyak tercalar.”
Bezanya pula
mungkin ibarat langit dan bumi. Kalau Resolusi Kongres Bahasa ke-3 di Johor
Baharu antara lain bersemangat menubuhkan Balai Pustaka yang kemudian bertukar
nama kepada Dewan Bahasa dan Pustaka tetapi resolusi Kongres ke-7 ini tidak
pasti nasibnya. Belum jelas di mana kedudukan resolusi lima (5) perkara yang
menyentuh isu kebudayaan, bahasa, sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka serta
bangsa Malaysia itu. Masih ada dalam “laci” DBP atau ada cadangan hendak menyerahkannya
kepada kerajaan untuk tindakan lanjut.
Siasah dalam edisi 17-30 November 2006, melaporkan “Kongres ini
semacam tidak mendapat dorongan daripada kepimpinan UMNO, parti kebangsaan yang mengaku menjadi pejuang bangsa. Bukan
itu saja, agensi kerajaan juga seperti malu-malu atau takut untuk melibatkan
diri di dalam kongres berkenaan. Keadaan ini berlaku kerana agensi bekenaan yang ditunjangi orang
politik bimbang penyertaan mereka akan
menjejaskan masa depan politik mereka. Hal ini secara tidak langsung disuarakan
oleh Datuk Dr. Abd. Latif Bakar, selaku pengarah Kongres. Beliau melahirkan
rasa kesalnya dengan karenah dan birokrasi sesetangah kementerian yang berdlak
dalik dalam menjayakan kongres ini.”
Menurut laporan
itu lagi Latiff namun berterima kasih kepada Kementerian Pelajaran kerana
membenarkan DBP dijadikan arena kongres. Ini kata Latif seperti yang
dilaporkan, kerana bagi mereka yang mengetahui latar belakang penyelenggaraan
kongres akan geleng kepala. Latif benr-benar tidak tahu akan latar belakang
mengadakan kongres atau pura-pura tidak tahu. Ini kerana rancangan untuk mengadakan Kongres Bahasa ini
telah lama dibuat, iaitu sejak awal tahun lagi.
Ia adalah sebahagian daripada kegiatan perayaan Jubli Emas DBP. Satu
Jawatankuasa Khas telah ditubuhkan untuk mempastikan kejayaan kongres. Serang
pegawai kanan bahasa DBP ditugaskan untuk menyelaraskan program kongres.
Khabarnya pegawai kanan bahasa ini dengan kerjasama Ismail telah berkeliling
“negeri” untuk mencanangkannya.. Pertemuan dengan Menteri Besar Johor turut
diadakan dan menghasilkan rumusan bahawa kongres diadakan di Johor Bahru,
sempena penubuhan DBP di bandaraya itu 50 tahun lalu.
Di mana silapnya
rancangan tidak ikut jadual. Ada sesetengah pihak, terutamanya dalam kalangan
orang DBP, mengaitkannya dengan tokoh-tokoh tertentu dalam politik. Kegagalan
mengikut jadual dikaitkan dengan
“percanggahan kepentingan politik” di samping karenah birokrasi di DBP.
.Tidak jelas siapa tokoh-tokoh politik yang dimaksudkan, atau dalam bentuk apa
karenah birokrasi yang wujud di DBP. Salah satu sumber dari DBP yang boleh
dipercayai berkata dua tokoh politik sentral yang dikaitkan dengan
penyelenggaraan kongres ini ialah Menteri Pendidikan, Dato’ Seri Hishamuddin
Tun Hussein dan Menteri besar Johor, Dato’ Abd. Ghani Othman.
Hal ini dapat
difahamkan apabila Ketua Pengarah DBP, Datuk Dr. Firdaus Hj Abdullah sebelum
telah diminta oleh Menteri Besar Johor, khabarnya melalui Gapena untuk
mengeluarkan satu pernyataan atau komtmen bahawa Kongres Bahasa dan Persuratan
Melayu ke-7 adakan diadakan di Pusat Konvensyen Persada Negeri Johor,
bersebelahan Bangunan Kerajaan Bukit Timbalan yang menjadi lokasi pertama
pejabat DBP. Menurut ceritanya, pusat konvensyen yang hampir siap itu akan
dibuka secara rasmi dengan berlangsungnya kongres berkenaan d an dianggap satu
satu penghormatan tertinggi kepada DBP, khususnya bahasa Melayu.
Menurut sumber
itu, Johor bersedia memberikan komitmen penuh, terutama yang menyangkut
pembiayaan dan kemudahan peserta sepanjang tiga hari kongres. Bagaimanapun,
akhirnya komitmen Johor tidak kesampaian kerana DBP telah terpaksa “tunduk”
kepada keputusan kementerian yang bertanggungjwab terhadap DBP untuk mengadakan
kongres di Kuala Lumpur sahaja. Ada cakap-cakap yang menuduh seorang dua
individu di kementerian yang kurang
senang dengan komitmen Johor dan kongres patut dan perlu diadakan di Kuala
Lumpur, tempat perayaan sentral kegiatan Jubli Emas DBP. Dengan demikian segala
usaha promosi DBP dan Gapena dan penglibatan Johor menjadi sia-sia, malah
“membazir”. Ini agak bertentangan dengan konsep berhemat yang mahu diamalkan
Firdaus.
Karenah birokrasi
yang begitu menebal di DBP tidak terkecuali menjejaskan persiapan kongres.
Sebagai sebuah agensi separuh kerajaan dan mempunyai kuasa autonomi, DBP amat
jarang atau hampir tidak langsung memanfaatkan fungsinya sebagai institusi yang
mempunyai kuasa autonomi. Malah terdengar khabar bahwa salah seorang pegawai
kanan kini mendadbik dada mendakwa beliau kini mempunyai tiga orang bos, iaitu
Menteri Pelajaran sendiri, Pengerusi kepada Lembaga Pengelola DBP dan Ketua
Pengarahnya. Maka dikatakan ada yang sedang memantau pergerakannya, bukan oleh
Pengerusi atau Ketua Pengarah tetapi oleh seorang yang lain yang gusar dengan
gerak langkah yang dilaksanakan pegawai ini.
sekarang ini,
bukan menjadi rahsia lagi, apa sahaja
keputusan yang mahu dilaksanakan di DBP hendaklah merujuk kepada peruntukan dan
peraturan yang termaktub dalam Jabetan Perkhidmatan Awam (JPA). Kalau dahulu
keputusan cukup sekadar medapat lampu hijau Lembaga Pengelola yang berfungsi
melaksanakan tugas pemantauan pelaksanaan tugas eksekutifnya. Lebih memburukkan
lagi keadaan, kini DBP tidak lagi bertanggungjawab langsung (direct) kepada
Menteri Pelajaran, tetapi sekadar kepada Tmbalan Menterinya, iaitu Datuk Noh
Omar. Fungsi Lembaga Pengelola di bawah pengeurusinya Datuk Johan Jaafar telah
menjadi rubber stamp semata-mata. .
Maka keliahatanya DBP kini bertaraf sebuah jabatan di bawah timbalan menteri
bukan lagi seorang menteri penuh.
Kemudian, pegawai
kanan bahasa yang bertanggungjawab mempastikan kejayaan kongres ini dikatakan
kurang senang dengan peranan Gapena dalam kongres. Pegawai ini dikatakan
berkata “Kalau DBP yang keluar duit mengapa mesti kita serahkan kepada Gapena
menguruskan kongres. Sepatutnya kita DBP yang menyelenggarakan sepenuhnya.
Seolah-olah ada orang dari Gapena yang hendak ambil kesempatan.” Sentimen
begini sepatutnya tidak wujud, terutama dlam kalangan orang DBP, kerana
agensi-agensi sukarela dalam bidang bahasa dan perseuratan, terutama Gapena
yang mahu puluhan kerabatnya di seluruh Malaysia yang terdiri daripada pejuang
dan peminat persuratan adalah rakan kongsi sejati DBP.
Ada seorang
sahabat di DBP yang keliru dengan sentimen pegawai kanan bahasa ini. Katanya,
“Jika DBP (baca: kerajaan) mahu
mengharapkan satu bentuk sinergi dari tokoh-tokoh dan pejuang dan peminat
bahasa sentimen memperlekehkan semangat begini perlu dielakkan. Nampaknya
sesetengah orang DBP ini tidak peka dengan konsep sinergi dan gerakan massa
dalam kegiatan bahasa dan sastera tanah air. Soal bahasa dan persuratan bukan
boleh diukur dengan wang dan ringgit.”
Ketika kongres
berlangsung, banyak kertas kerja tentang bahasa, satera malah tentang DBP
sendiri dibentangkan. Antara pembentang yang masih bertenaga ialah Datuk Dr.
Hassan Ahmad, mantan ketua pengarah DBP dan Prof. Dr. Awang Sariyan, mantan
Pengarah Jabatan Bahasa DBP. Mereka berdua ini masih “bergigi dan bertaring”
dalam bidang bahasa, walaupun dianggap sebagai harimau kertas sahaja. Selain mereka
tidak ada tokoh besar dan ternama diketengahkan. Mungkin tokoh-tokoh seperti
itu tidak wujud lagi atau telah “malas” berbuat demikan. Maklumlah, siapa
peduli dengan isu bahasa dan sastera hari ini. Atau tokoh-tokoh yang namanya
menjulang dalam bidang-bidang ini sudah menjadi endangered species. Dan tokoh seperti Datuk A. Samad Said yang
perjuangannya dalam bidang ini begitu lama, terutama dalam bidang sastera kini
hanya sekadar bertarap “pendeklamator” sahaja. Kehadirannya hanya membaca
puisi.
Ada yang bertanya:Bagaimana
persoalan bahasa dan sastera selepas kongres ke-7 ini? Dan bagaimana pula
dengan resolusi yang dikeluarkan selepas Kongres? Tidak ada jawapan jelas. Para
peserta yang hadir dan kemudian pulang mungkin sedang meraba-raba akan apa yang
bakal terjadi dengan resolusi kongres. Bagi mereka resolusi kongres akan
mengalami nasib yang sama dengan resolusi-resolusi kongres sebelumnya. Seorang
peserta kongres membandingkan suasana kongres ke-6 yang diadakan di Tanjung
Malim sebelum ini. Katanya, “Kali ini kongres diadakan di Balai Budaya Tun Syed
Nasur. Jauh lebih baik berbandingkan yang diadakan di sebuah dewan kecil di
Tanung Malim. Tapi saya rasa nilai kesungguhan dan komitmen di Tanjung Malin
adalah lebih baik. Semangat Tanjung Malim lebih digeruni kerana kongres
diadakan hampir tanpa restu sesiapa-siapa.”
Kesan
persidangan? Kata seorang sahabat,
Salleh Yusof, namanya, “Kurang.” Salleh. mantan pegawai UKM dan mantan
kakiangan DBP, sezaman dengan Usman Awang dan Keris Mas. Salleh ini terkenal
dengan semangat kentalnya terhadap bahasa dan masih tidak luntur-luntur
sehingga hari ini. Salleh pernah terlibat dalam protes bahasa tahun 1967 yang
melahirkan peristiwa “Keranda 152” yang menjunng secara literal keranda di DBP ketika itu. Pejuang bahasa masih belum
lupa peranan yang dimainkan Salleh bersama beberapa yang lain seperti Yahya
Ismail, Abdullah Abbas, Fadzil Agussalim dan Maarof Saad tentang bahasa Melayu
dikatakan sedang terhakis sehingga membuat Tuan Syed Nasir menangis
mengenangkan nasib bahasanya.
Salleh berkata,
“Kalau bahasa Melayu hendak dimartabatkan, ikut saja cara Indonesia. Jangan
banyak retorik. Buat. Lihat jiran kita itu. Presidennya berucap dalam bahasa
Indonesia di Pertubuhan bangsa Bersau. Tapi orang kita tak sanggup buat begitu.
Kita di Malaysia, semuanya berlumba-lumBa nak cakap bahasa Inggeris. Nahu
lintang pukang tak mengapa asal bunyinya Inggeris. Orang pun hormat kita.
Inilah mentaliti kita. Kan kau tak tahu?.” .
No comments:
Post a Comment