Saturday, 11 June 2011

DR. RAMLI ISIN: PENGKRITIK PERSURATAN LULUSAN GAJAH MADA

Dr. Ramli Isin dan isteri di Malam Anugerah Sastera Negeri Sembilan di Seremban beberapa tahun lalu. Gambar dengan ehsan Nisah Haron.



Selama lima setengah tahun dia menimba ilmu dan pengalaman di Jogjakarta bagaikan tempat tinggalnya di Wirogunan dan Piri di kota itu  menjadi kampung kedua baginya setelah Seliau di Seremban. Khabarnya sepanjang tempoh panjang itu tidak sekali dia pulang ke Seremban. Dan khabarnya juga dia ke kampus Universitas Gajah Mada menggunakan speda (basikal). Dapatlah saya bayangkan betapa dia mengayuh basikal ke tempat kuliah di pekarangan kampus yang maha luas itu bersama-sama ribuan mahasiswa lain. Barangkali basikal merupakan jenis "kenderaan" dalam kampus.

Sesekali dia, Ramli Isin yang memiliki doktor falsafah dalam bidang kesusasteraan, akan memandang ke kejauhan melepasi jendela kamar kerjanya di Universiti Putera Malaysia (UPM), untuk bernostalgia seketika tentang kisah masa lalunya dalam bidang pendidikan. Betapa dia akan membuat perbandingan kisah suka-dukanya di kampus Gajah Mada dengan kisah mahasiswa-mahasiswa di UPM, yang barangkali lebih beruntung dari sudut kemudahan dan pembiayaan pendidikan.

Ramli tidak akan menyesal dengan cara dia memperoleh pendidikan sehingga ke tahap yang dia miliki sekarang. Ada hikmah yang tersembunyi kerana pendidikan formal dan tidak formal yang dimiliknya itu menjadikan dia seperti yang sekarang ini sebagai penyebar ilmu dan pengkritik dalam biang kesusasteraan. Ketika mula saya mengenalinya di Dewan Bahasa dan Pustaka (dia bertugas sebagai pegawai penyelidik sastera) pada tahun 1973, tutur katanya masih pekat dialek Indonesia dengan sebutan Jawanya. Sudah begitu sebati lidahnya dengan sebutan itu. Tidak lama kita bersama di DBP kerana pada tahun 1975 dia pindah kerja ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Gajah Mada mengajarnya menjadi seorang penulis yang gigih dan konsisiten. Juga Gajah Mada menguji bakatnya sebagai seorang pengkritik dalam bidang kesusasteraan. Di Indonesia pusat pengajian tinggi ini terkenal melahirkan tokoh-tokoh besar kesusasteraan, malah tenaga pengajarnya terdiri daripada tokoh-tokoh terbilang dalam bidang itu. Ramli bin Isin tidak sia-sia menguji kesabaran hidup di daerah istimewa kota Jogjakarta itu. Kaya dengan budaya silam melalui kerajaan kraton, yang legasinya masih gah di pusat kota, di penghujung Jalan Malioboro yang terkenal dengan sajian burung dara di waktu dinihari. Ramli tidak akan dapat melupakan dua rakannya yang lain yang terpaksa mengeluarkan duit sendiri untuk belajar di kota itu, iaitu Rahman kaeh ( mantan profesor di Universiti Malaya), dan Morad Mat Jan.

Ramli memperdalami ilmu di Fakultas  Sastera dan Kebudayaan, menjurus ke bidang bahasa dan sastera Indonesia. Yang mengajarnya termasuk beberapa tokoh besar dalam sastera Indonesia, antaranya Prof. Baroroh Barid, ahli filologi, Prof. Hamamah dan Prof. Ramli Leman Sumuwadigdo. Sesekali pula Ramli Isin akan mengagak-agak di mana gerangan teman-teman sekuliahnya seperti Abdul Rozak Zaidan, Sumardi dan Petah Agul yang khabarnya sudah menjadi sasterawan besar di Indonesia. Dia akan merindukan tutur kata dan tingkah langkah mereka semasa di kampus. Namun dia masih punya kawan seperti Rahman Kaeh yang tinggal berhampiran di Seremban. Dengannya setiap kali bertemu pasti nostalgia akan berpanjangan.

Demikianlah, Ramli Isin akan menjengah masa lalunya saban ketika. Suaranya yang lantang sambil disambut dekahan ketwa  menyatakan kehadiran dirinya. Kawan-kawan dekatnya seperti Dharmawijaya, Othman Puteh dan Yusof Mohd Nor  sudah terbiasa dengan nostalgia dan dekahan ketawanya itu. Bagi mereka, Ramli adalah kawan yang boleh diajak berunding dan jarang amat dia "bercerita tentang hal orang lain beserta kelemahananya."

Seperti halnya peneliti Dr. Yusof Hassan, Ramli bergiat dalam lapangan pengkritikan dengan eseinya berpusar kepada bidang yang dia amat pakar. Dia bukan penulis kreatif tetapi dia menilai karya kreatif melalui kacamata keilmuan dan pengalamannya. Dia barangkali memanfaatkan pengalaman peribadinya untuk meninjau dan menganalisis aspek kemanusiaan dalam karya kreatif seseorang pengarang. Dengarkan dia bicara tentang Dharmawijaya dalam "Suka Lara Penyair Tiga Dekad" (Dewan Sastera, Feb. 99): Secara sedar Dharmawijaya fenomena dan alam semula jadi dengan kehidupan sehari-hari seorang manusia  atau sesuatu kelompok masyarakat, khususnya kelompok masyarakat bangsanya yang sentiasa berdepan dengan alam  semula jadi. Kesan pengadunan kaitan antara dua faktor ada kalanya Dharmawijaya  menceriakan terutama apabila alam  semula jadi itu  digunakannya semata-mata untuk  menghubungkannya dengan kehidupan masyarakat sekitaran. Ada kalanya Dharmawijaya menderitakan manusia atau masyarakat yang menjadi pemikirannya itu. Malah ada kalanya  penyair ini menceritakan aspek  cerita dan derita  manusia itu bersama-sama dalam sesebuah puisinya. Hal ini jelas dicitrakannya dalam puisi  "Cinta Sayang Di Sawah Ladang" yang begitu menggugah perasaan khalayak pembaca.

Begitulah Ramli begitu dekat dengan alam yang membaur bersamanya apabila menganalisis sesuatu karya. Kejayaan dan keberkesanan pengamatannya yang "alamiah" ini sudah tentu memakan masa panjang dan memerlukan pengalaman empirikal yang berterusan dan yang ditambah pula oleh  pengalaman pedagogikal yang ditimbanya semasa menjadi guru selama enam tahun (1961-1967).

Selama di Jogjakarta, Ramli tidak serik mengirim esei dan kritikannya ke suratkhabar dan majalah di Malaysia. Dia menunjukkan tahap konsisten yang berterusan sehingga tulisannya dapat mencerminkan kesungguhan, kerajinan dan nilai yang tinggi. Buktinya, Ramli telah diiktiraf oleh panel Hadiah Karya Sastera apabila dia dipilih bersama Ilias Zaidi sebagai pemenang hadiah penggalakan  esei/kritikan bagi tahun 1975. Buktinya lagi, Ramli pernah dilantik untuk menganggotai panel penilai Sayembara Novel Gapena 1976, panel penilai Sayembara Esso-Gapena, panel penilai peraduan mengarang novel Hari Guru, panel penilai Anugerah Karya Bangsa anjuran Gapena-KKBS (Bahagian novel), panel penilai Hadiah Buku Kebangsaan, Kementerian Pendidikan Malaysia dan panel penilai Hadiah Sastera Malaysia. 

Ada yang berkata disebabkan usahanya yang konsisten dalam bidang esei dan kritikannya ini, maka Ramli kesuntukan masa untuk mencuba-cuba dalam penulisan kreatif. Tidak satu cerpen atau sajak yang pernah dihasilkannya sepanjang dia bergiat dalam lapangan persuratan ini. Barangkali ada, cuma saya belum ketemui. Mana tahu karya-karya itu masih tersimapn di lacinya.

Ramli biasanya amat apolojetik dan merendah diri.Kemungkinan besar budaya "inggih" dan tingkah sosial masyarakat Jogjakarta menguasai gerak tingkahnya yang walaupun sudah sekian dekad ditingalkannya masih terus mempengaruhi jiwanya. Atau masyarakat Siliau mengajarnya bersopan begitu. Dalam pada itu belum pernah saya meilhat dia marah-marah atau Ramli pandai menyembunyikan tanda marah di wajahnya. Dia mungkin sahaja marah dalam dekahan ketawanya atau mungkin  saja dia mendiamkan diri dengan gelengan kepalanya. Perwatakannya inilah yang membuatkan rakan-rakannya  senang berdamping  dengannya. Rakan-rakan seperti Rahman Kaeh, Othman Puteh dan Dharmawijaya. Rakan yang terakhir malah semakin akrab. Ke kampus UPM pergi bersama pulang berdua. Setiap kali saya ke pejabat Dharmawijaya, setiap kali itu pula saya menemui Ramli di sana atau mereka berdua sedang bercakap melalui telefon. Dan sebelum berpisah lazimnya kami bertiga akan makan tengahari di Serdang atau di kafeteria mesjid universiti. Dan ketika itu tidak jarang nostalgia jogja kembali meredah ruang dan suasana dengan diikuti hilaian kah! Kah! Kah!

Kini Ramli tidak lagi menulis segiat dulu. Dia mengaku bahawa program Pendidikan Jarak Jauh (PJJ) menyita banyak waktunya. Minggu lalu semasa berbual santai di pejabatnya dia menunjukkan kertas-kerta jawapan mahasiswa yang mengikuti program ini yang ratusan jumlahnya. "Pening. Semua ini perlu dinilai mengikut jadual," katanya. "Ini belum dikira lagi mereka yang mengambil program sarjana yang mengetuk pintu dan menelefon minta bimbingan."

Sibuk tak sibuk dengan tugas mengajar, Ramli banyak juga menyusun buku. Malah dua daripada buku yang disusun bersama dipilih menjadi teks sastera peringkat SPM, iaitu "Suatu Subuh Yang Bening" (1983) sebuah antologi cerpen yang disusun bersama Othman Puteh dan "Kelapa Nan Sebatang" (1991) juga sebuah antologi cerpen susunan bersama Razak Mamat. Turut diterbitkan ialah antologi cerpen "Dongeng Merdeka" yang disusunnya bersama Othman puteh. Dalam bidang puisi dia menyusun "Nafas Kemanusiaan" (1980) dan 'Gema Lembah Kinabalu" (1982).

Ramli turut menjadi penyusun kajian dan kritikan sastera seperti "Memperkatakan Tiga Genre" (1985) bersama Othman Puteh dan Sahalan Mohd Saman, "Hari Kemerdekaan" (1989) bersama Sahlan Mohd Saman, "Sejarah Kesusasteraan Melayu ((1990) bersama Kemala, Hashim Awang, Zakaria Ariffin dan Sahlan Mohd Saman, "Tetamu Dari langit" (1990) bersama Hashim Awang, "Drama Melayu Moden dalam Esei" (1981), "Tinta Pena" (1981), "Novel-Novel Malaysia Dalam kritikan" (1982) dan "Riak Dan Gelombang Sastera" (1984), sebuah antologi esei kritikannya yang disusun Othman Puteh. Bagi mnemudahkan pelajar-pelajar memahami teks sastera di peringkat SPM dan STPM, Ramli turut menyusun beberapa buah buku ulasan.

Saya yakin waktu banyak yang disita oleh program PJJnya tidak akan melunturkan semangatnya untuk terus menyumbang kritikan yang sihat kepada dunia persuratan, terutama dalam bidang sastera. Kepakarannya masih amat diperlukan, setidak-tidaknya buat jenerasi pelajar yang masih lagi berduyun-duyun mengharapkan bimbingannya. Dan tidak dilupakan komuniti pengarang yang masih mahu karya mereka dibedah oleh sarjana  lulusan Gajah Mada ini. ( Dipetik daripada akhbar Utusan Zaman, 28 Mac 1999)




 





No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

MALAYSIAN LEADERS GAZEBO

SO THEY SAY...

SO THEY SAY...

"A.F.Yassin dalam cerpenya "Dendam" berjaya menghidupkan ceritanya dalam bahasa yang berjiwa; sesuai dengan pertentangan-pertentangan yang dialami oleh Salim atau oleh Yanti sendiri. "Plotnya bersifat sorot pergi sebagai satu gaya untuk mengembangkan kisah pada satu detik tetapi menghimbau kisah itu kepada kisah lampau dan juga kisah akan datang. Latarnya di Indonesia. Cerpen ini hidup kerana tidak dibiar berkisar di luar persoalan. Olahan cerpen bepusar keseluruhannya pada watak Yanti..." (Dato' Shahnon Ahmad, Mingguan Malaysia, 14 November 1976.)



" The former editor of a publishing house, A.F.Yassin, recently put out Sembang Sastera: Bersama Orang Persuratan (Fajar Bakti, 1998,310 pages), in which he talks to 64 Malay writers and literary activists of varying stature, who muse on their lives and what they have been up to. Chatty. Frank, nostalgic, irreverent, these conversations are light, in response to A.F.Yassin’s equally casual probing. His target is largely a small and shrinking group of people aged around 60 and above, loyal supporters of the Jawi-scripted Utusan Zaman, in which most of these Sembang-Sembang first appeared.



"Now that these Sembang-Sembang have been romanised, and packed in a handsome hardcover book, more readers , especially literary researchers, local and foreign, can be expected to benefit from them. Of course, the information ranges from the revealing to the trivial, but the book is pertinent as it provides insight on what went on in the world of Malay letters.



"…Sembang Satera is invaluable, especially to students of contemporary Malay literature, because it provides a cauldron of tidbits, with which to spice up the perennially long-overdue assignment.” - (Zakaria Ali, "Notes on Local Literature, fortnightly with Zakaria Ali, New Straits Times, 27 January, 1999."



"Yassin merupakan penulis yang berilmu dalam dua bidang dan seterusnya melibatkan diri dalam tiga dimensi. Bidang-bidang keilmuan dan keahliannya ialah komunikasi dan sastera, sementara kegiatannya dalam bidang penulisan kreatif dan deskriptif dan serentak dengan itu, turut kreatif dalam penghasilan dan penerbitan buku sesuai dengan profesion terkininya." (Asri Affandi, Mingguan Malaysia, 27 Disember 1987.)



"A.F.Yassin dalam bukunya Etika dan Wartawan berpendapat, pemberitaan akhbar di negara ini boleh dikatakan hanya berpandu kepada etika sejagat dan norma serta kebiasaan hidup masyarakat majmuk. Ketiadaan kod etika kewartawanan juga seperti yang ditekan oleh A. Samad Said telah menjadikan akhbar mengamalkan dasar swaying with the wind, bukan merupakan agent of change, serta cenderung menyuarakan dasar dan strategi pihak penerbit suratkabar itu sendiri." (Harakah, 31 Mei 1993.)

Tidak tahu kenapa dia meninggalkan lapangan guru dalam tahun 1962 kemudian sanggup pula menjadi seorang Juruteknik di sebuah kilang tekstil di Johor Bahru. Apakah dia memikirkan kurangnya anak Bumiputra berminat dalam lapangan teknikal atau kerana mula nampak bintangnya lebih mengerdip jika dia meninggalkan lapangan guru?

Yang ternyata sewaktu berada di Textile Corporation of Malaya Berhad Johor Bahru, dia telah dapat mengikuti latihan teknikal di Nagoya, Jepun selama enam bulan dalam tahun 1969. Di Jepun dia baru dapat melihat perbezaan zikap dan tingkah laku manusia pekerja Jepun dengan bangsanya sendiri. Setelah menimba pengalaman di Jepun, tercetus pula keinginannya untuk menulis rencana bersirinya di Utusan Malaysia, Utusan Zaman dan Mingguan Malaysia. Semuanya menceritakan pengalamannya di Jepun.

Kemampuan menulis telah meransangnya menapak ke bidang kerja yang lain. Dia menjadi Penyunting Berita Harian dalam tahun 1971. Semasa di New Straits Times Press (M) Bhd., dia banyak pula menghasilkan cerpen. Dia terus melanjutkan penulisan fiksyen apabila dilantik menjadi Penolong Editor dan kemudiannya meningkat sebagai Editor majalah Dewan Masyarakat.

Melihat kemampuannya menulis artikel dan cerpen di tengah-tengah kesibukannya sebagi seorang Editor, jelaslah kepada kita bahawa seorang editor yang sibuk tidak semestinya tidak boleh menulis. Pokoknya dia tidak mengenal erti kelelahan dan kesibukan bila dia diransang untuk menulis. ("Karyawan Bulan Ini", Dewan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, Mac 1983).