Sasterawan Negara, Dato' A. Samad Said dan Prof. Dr. Abdullah Hassan dengan selembaran PPSMI di Johor Bahru baru-baru ini.
SASTERAWAN NEGARA DIPERALAT?...LUCU!!
Cerita mrenarik dalam kalangan orang persuratan minggu ini ialah dakwaan bahawa salah seorang sasterawan Negara kita telah diperalat golongan pembangkang dalam isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Dakwaan in datangnya daripada seorang pemimpin yang dianggap kebanyakan oang persuratan yang “begitu taksub” dengan bahasa asing a.k.a bahasa Inggeris diajar di sekolah. Barangkali pemimpin ini terlalu menjaga legasi seorang pemimpin terdahulu dan yang sealiran dengannya.
Sasterawan Negara itu, Datuk A. Samad Said, dalam kenyataannya di Utusan Malaysia baru-baru ini menafikan dakwaan itu. Samad, ketika berada di Kota Baharu menafikan dirinya diperalat pembangkang dalam usahanya memperjuang Bahasa Melayu dalam isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).
Beliau berkata, kehadirannya dalam beberapa siri ceramah pembangkang itu tidak seharusnya disalah anggap oleh masyarakat kerana apa yang penting adalah memperjelas kepada umum isu berkenaan.
Katanya, "Bagi saya adalah halal untuk saya bercakap mengenai Bahasa Melayu yang saya perjuangkan tidak kira di pentas politik mana sekali pun. "Umur saya sudah 76 tahun dan sudah sampai masanya saya memperjuangkan bahasa ibunda saya sebelum hilangnya Bahasa Melayu di muka bumi," katanya kepada pemberita selepas Majlis Sembang Pagi Bersama Sasterawan Negara di Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Kota Baharu di sini, hari ini.
Kehadiran sasterawan negara itu dalam beberapa siri ceramah pembangkang dalam isu PPSMI sejak kebelakangan ini mengudang rasa tidak senang umum. Semua orang kenal Samad. Anak Melaka yang pengalamannya sebagai wartawan dan pengarang mempunyai pengaruh yang bkan sedikit dalam kalangan rakyat Malaysia pelbagai kaum. Tentunya apa sahaja yang Samad kata akan diikuti orang ramai dan Samad bukan orangnya yang bercakap tanpa berfikir.
Samad samalah seperti tokoh besar dalam bidang yang lain seperti misalnya Prof. Diraja Ungku Aziz . Malah Ungku Aziz dalam kenyataannya, pada 11 Februari 2009 lalu turut memperoalkan rasional mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Menurutnya, PPSMI tidak sepatutnya hanya dikhususkan dalam satu bahasa tertentu sahaja, iaitu bahasa Inggeris (BI) sehingga mengabaikan penggunaan bahasa lain yang juga tidak kurang pentingnya.
Profesor Diraja Ungku Aziz Ungku Abdul Hamid berkata, pihak terbabit perlu membezakan matlamat utamanya sama ada mahukan para pelajar menguasai kedua-dua subjek tersebut atau pun bahasa itu sendiri. Kerajaan sepatutnya menjadikan kedua-dua bahasa itu iaitu bahasa Inggeris dan Melayu yang merupakan bahasa kebangsaan, berada dalam keadaan seimbang dan berdaya saing antara satu sama lain.
Saya fikir, ia salah dan tidak perlu (penggunaan bahasa Inggeris) kerana jika mahu pelajar mahir subjek atau kuasai bahasa, maka ia perlu dibezakan caranya. Tiada istimewanya belajar mana-mana subjek dalam bahasa tertentu kerana kita juga boleh guna bahasa Melayu, Cina atau Jerman, ini adalah teori saya.
Baik Samad mahupun Ungku Aziz mempunyai pendirian dan pandangan mengapa mereka tidak bersetuju system PPSMI yang ada sekarang. Dan mereka bukan diperalat. Kalau pun nak guna pekataan “diperalat”, ia lebih sesuai digunakan kepada menteri yang berkenaan kerana telah diperalat oleh sebuah “legasi” masa lalu. Dan biasalah orang Melayu, terutamanya amat sukar untuk mengubah atau menggantikan legasi yang telah secara tradisinya mencengkam kehidupan masyarakat.
Begini sahajalah. Katalah apa yang mahu dikatakn menteri ini. Perbuatlah apa sahaja yang boleh dimanfaatkan, walaupun khabarnya memanipulasi pandangan umum, terutama dalam kalangan guru dan pendidik. Rakyat pun sudah bosan dengan persoalan yang tidak selesai-selesai ini. Mengutip sepatah kata bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, DBP, Dato’ Dr. Hassan Ahmad, “Saya dah menyampah.”
Setakat ini yang menentang PPSMI kebanyakaknya orang NGO dan pembangkang. Orang Barisan Nasional nampaknya, masih lagi membisu. Faham-faham sahajalah taktik dan strategi orang-orang begini. Sementeahan pula isu ini mereka yang timbulkan. Ada yang yakin golongan majoriti dalam kalangan BN menentang tetapi terpaksa berbuatnya dalam senyap. Dan mereka tahu alasannya.
Di DBP, misalnya, yang menentang kebanyakannya daripada anggota Kesatuan Pekerja-pekerjanya. Tidak terdengar apa pula pendirian kakitangannya yang berjumlah lebih 300 orang itu. Paling menarik kita belum dengar pendirian semua anggota Lembaga Pengelola DBP yang diketuai bekas kakitangan DBP sendiri, iaitu Dato’ Johan Jaaffar.
Apapun jua, kehadiran Samad Said dan Hassan Ahmad di bangunan Parlimen beberapa hari yang lalu dengan kain rentang dan penyerahan memorandum kepada penyokong kuat legasi PPSMI ini menarik perhatian umum. Kedua-duanya bukan orang politik tetapi mereka berasa bangga kerana mahu terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan yang berkait dengan Fasal 152 yang secara tak langsung telah diabaikanoleh sesetengah olongan.
No comments:
Post a Comment