Sunday 29 April 2012

TENGKU NASRUDDIN EFFENDY @ PAK TENAS:MENILAI MELAYUNYA PAK TENAS...


Pak Tenas (sedang menuang air) ketika menghadiri jamuan makan malam di restoran Muara, Melaka sempena Seminar Penggawa dan Penghulu dan Adat Melayu di Melaka, 19 September 2005. Seminar ini diadakan sebagai salah satu acara dalam Bulan Bahasa dan Sastera Negara 2005, anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.
 

 CATATAN A.F.YASSIN

Menyelami Resah Rasa Orang Riau

 Bulan bulan lalu, persisnya 20 November 2000, saya sempat bersembang dengan Tengku Nasaruddin Effendy atau senang dengan sebuatan Pak Tenas di rumahnya di Pekan Baru, Riau. Pak Tenas berpakaian baju Melayu dan berkain palikat. Cara berpakaiannya tidak ada bezanya dengan cara berpakaian orang Melayu di Semenanjung.  "Ya, saya kan orang Melayu," katanya. Pun Pak Tenas ini adalah salah seorang waris keturunan kerabat Diraja Kerajaan Kampar Tua (Pelalawan). Masih ingat bagaimana Sultan Mahmud Syah, sultan Melaka terakhir bersama permaisuri baginda Tuan Fatimah melarikan diri dari Portugis ke Kampar lalu menjadi raja di sana?

 Pak Tenas orang Melayu. Cakapnya pun lebih banyak dialek Johornya berbanding dialek "orang seberang", walaupun Pak Tenas disitilahkan sebagai  orang seberang. Orang Sumatera. Berada di sisinya bersama anggota rombongan Jejak Bahasa yang melakukan penggambaran di kediamannya itu bagaikan kita berada di kalangan anggota kerabat sahaja. Saling tak tumpah.

Bagaimanapun ada sesuatu yang sedikit mengharukan dalam sembang-sembang pagi itu. Sebabnya baru semalamnya suratkabar "Riau Pos" menyiarkan liputan khas tentang apa yang dianggap sebagai "ada fenomena menarik terjadi pada masyarakat Riau." Fenomena itu barupa wujudnya keinginan  "yang menggebu-gebu dari masyarakat Kepulauan Riau untuk memisahkan diri daripada Provinsi (Negeri) Riau dengan membentuk provinsi sendiri." Bagaimanapun sehingga hari ini niat Kepulauan Riau itu belum mendapat restu dari Gabenor dan Dewan Undangan Negeri (DPRD) Riau. Akibatnya, tulis Riau Pos lagi, "seolah-olah terjadi perpecahan antara masyarakat Kepulauan Riau dengan masyarakat  yang ada di daerah Riau Daratan?

 Benarkah? Saya minta pandangan Pak Tenas setelah membaca liputan khas Riau Pos itu. Jawapan Pak Tenas persis seperti apa yang dilaporkan Riau Pos. Pak Tenas akur bahawa persatuan Riau tidak lagi ditemukan. Hal ini disebabkan pergeseran pandangan antara orang politik dengan orang politik sendiri dan orang budaya dengan orang politik. Kata Pak Tenas, "Persebatian Riau yang seharusnya tetap terjaga, kini sudah tidak ada lagi. Riau sudah terkotak-kotak dalam satu komuniti politik yang berbeza-beza yang memunculkan kepentingan peribadi atau golongan sahaja, bukan kepentingan bersama."

 Pak Tenas menghimbau zaman silam sejarah Riau. Menurutnya, dahulu puak Melayu Riau ini memiliki latar perjuangan sejarah yang kukuh. Katanya, "Persatuan Melayu itu dulunya kukuh. Jangankan yang ada di Riau sahaja, puak Melayu yang tergabung dalam semenanjung ini termasuk Singapura, Johor dan Riau pernah punya satu visi. Namun berpisahnya mereka bukan disebabkan keinginan sendiri, melainkan kerana penjajahan Inggeris dan Belanda  dan terpisahnya selat."

"Mahu dibawa ke mana Riau ini sebenarnya? Pertanyaan ini sering dikemukakan oleh ramai orang politik dan budaya di Pekan Baru. Tidak terkecuali Pak Tenas. Katanya, "Perlu ada kesepakatan bersama, ataupun rekonsiliasi. Mahu kita jadikan apa negeri kita ini?"

 Persoalannya ialah bagaimana mulanya timbul perpecahan antara sesama elit politik dan budaya ini?  Ada yang menyebut semuanya bermula dari meruncingnya hubungan antara Tanjung Pinang (Kepulauan Riau) dengan Pekan Baru (Riau Daratan). Umum menganggap hubungan dan konflik ini sebenarnya adalah antara daratan dan kepulauan. Malah dikatakan ada tanda wujudnya ketegangan antara Gabenor Riau,  Saleh Djasit dengan Bupati Kepulauan Riau yang baru terpilih, Huzrin Hood. Hal ini ada kaitannya dengan usaha masyarakat Kepulauan Riau membentuk apa yang disebut Badan Persiapan pembentukan Propinsi Kepulauan Riau. Badan ini diketuai oleh Huzrin sendiri.

 Gabenor Riau mahu dialog diadakan sebelum badan pemisah ini mahu meneruskan rancangan untuk ke Jakarta menemui Dewan Perwakilan Rakyat bagi mendapatkan restu. Namun Gabenor sedikit kesal kerana badan itu sudah mendahului "hasil dialog". Pemergian Huzrin dan kawan-kawan seperti membelakangi autoritinya sebaga seorang gabenor. Mengapa terjadi demikian sehingga Huzrin tergesa-gesa ke Jakarta mengadu hal. Dr Alfitra Salam, seorang pemerhati politik Lembaga Ilmu Pengetahuan Indonesia (LIPI) yang mendapatkan ijazah kedoktorangnya di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) beberapa tahun dahulu membayangkan bahawa tindakan tergesa-gesa Huzrin itu ada kaitananya dengan rasa kecewa terhadap pemerintah daerah dan pusat yang selama ini "secara politik memang kurang mendapat perhatian." Malah Presiden Gus Dur sendiri pernah mengulas bahawa "Riau tidak ada apa-apanya."

 Kata Alfitrah, "Ini juga menunjukkan sikap kekecewaan masyarakat  marginal yang selama ini terpinggirkan dan semakin terpinggir. Autonomi merupakan peluang untuk meningkatkan harkat dan harga diri yang selama ini diinjak-injak." Pandangan Alfitrah ini tiada bezanya dengan pandangan Dr. Yusmar Yusuff, Ketua Pusat Bahasa dan Kebudayaan Melayu Universiti Riau yang saya temui sebelumnya. Cuma katanya, "untuk permulaan kita akan berjuang secara intelektuil, bukan secara politik." Yusmar cukup terkesan dengan ulasan Gus Dur bahawa "Riau tidak ada apa-apanya", padahal menurutnya Riau kaya sumber enerji seperti minyak dan kelapa sawitnya. Bagaimanapun, sikap kecewa Yusmar adalah berpunca dari Jakarta yang menganggap Riau tidak ada apa-apanya.

 Alfitrah kecewa dengan sikap Huzrin yang tergesa-gesa mengadu hal ke Jakarta. Katanya, "Seandainya Huzrin agak sabar sedikit dan mengikuti aturan-aturan yang telah ada, saya yakin dia bisa memimpin kepulauan Riau tanpa ada polemik seperti sekarang ini. Tapi kenyataannya Huzrin telah memilih jalan yang salah."

 Namun diakui Bupati Huzrin merupakan tokoh dari kelupulauan Riau yang memilik karisme. Alfitrah melihat Huzrin sebagai aset bangsa Melayu di kepulauan itu. Cuma dia tidak sabar. Dan sikapnya dimanfaatkan oleh golongan politik yang menentang rancangannya untuk "membebaskan kepulauan Riau dari Riau Daratan."

 Bukan tidak mungkin sikap tak sabar Huzrin ini disebabkan oleh keputusan Dewan Undangan Negeri (DPRD) Riau yang menolak pembentukan propinsi (negeri) Kepulauan Riau, terpisah dari Propinsi Riau yang ada sekarang. Ertinya harapan masyarakat Kepulauan Riau untuk menjadi sebuah propinsi baru setaraf dengan Sumatera Barat atau Jawa Barat mahupun Sumatera Utara belum kesampaian. Kepulauan itu buat sementara akan tetap menjadi sebuah daerah dalam Propinsi Riau, seperti halnya daerah Sepang dalam negeri Selangor, misalnya.

Ini membuatkan Huzrin hilang sabar kerana telah begitu banyak dialog diadakan antara orang kepulauan dengan orang daratan Riau tapi belum mendatangkan hasil yang positif kepada orang kepulauan. Huzrin barangkali berfikir kalau Banten dan Pulau Bangka telah diizinkan untuk membentuk propinsi sendiri mengapa permintaan Kepulauan Riau untuk menjadi propionsi masih juga dihalang-halang?

 Dalam hal ini pula Alfitrah mencadangkan empat perkara dasar yang perlu dirujuk sebagai jalan penyelesaian kepada krisis ini. Pertama, peraturan mengenai proses pembentukan propinsi dan sebagainya perlu ditegakkan. Kedua, Gabenor Riau harus tegas mengamanahkan kepada Bupati sebagai  pentabdir sementara "caretaker" kepulauan Riau secepatnya. Ketiga, Tokoh-tokoh dari Kepulauan Riau dan di peringkat propinsi  perlu menahan diri dan melakukan usaha yang lebih beretika, misalnya mengadakan dialog yang lebih intim dan berdasarkan kekeluargaan. Keempat, propinsi Riau perlu menyatakan secara tegas bahwa masa depan Kepulauan Riau untuk menjadi sebuah propinsi tersendiri dan bebas dari Propinsi Riau yang sekarang ini  masih terbuka luas. Kata Alfitrah, "Ada baiknya DPRD Propinsi Riau meninjau kembali keputusannya menolak pembentukan propinsi Kepulauan Riau. Mesti ada saling memberi dan menerima."

 Riau hari ini mempunyai 15 kabupaten (daerah) termasuk lapan yang baru. Empat daripadanya adalah kabupaten induk. "Ini satu tugas berat untuk membenahinya," tutur Pak Tenas. "Ia memerlukan sikap berbaik-baik atau rekonsiliasi. Kita selesaikan satu, satu."  Pak Tenas mahu proses berbaik-baik ini dimulakan dari peringkat bawahan. Ia bukan milik orang politik atasa sahaja. Pak Tenas berharap ia bermula di peringkat kabupaten melalui Dewan Undangan Negerinya ataupun lembaga adatnya. "Carilah kesepakatan bersama. Bukan orang elit politik sahaja tapi akan menyeluruh kepada semua masyarakat," katanya.

 Pak tenas yakin perjuangan memperbaiki nasib Riau bukanlah milik "segolongan orang sahaja". Semua golongan dan lapisan masyarakat Riau, baik rakyat biasa, mahasiswa, golongan intelek patut direngkuh untuk menghasilkan kesepakatan bersama ini. Katanya, "Kita selama ini hanya terpukau dengan apa yang ada di Pekan Baru, sehingga tokoh-tokoh berpotensi di daerah-daerah dilupakan dan mereka tersingkir."  Pak Tenas melihat proses mencar kesepatan bersama itu boleh dimulakan dengan pertemuan tidak formal dengan menggunakan pendekatan kebudayaan dan wadah silaturrahim. Kata Pak Tenas, "Kalau bisa ini yang harus sering kita lakukan. Mencari kesepakatan bersama ini harus dimulai dengan hal-hal yang sifatnya informal."

Apapun jua ada yang serius mengakui bahawa kekalutan ini berpunca dari krisis ketokohan. Di Riau diperkirakan tidak ada tokoh yang suaranya mahu didengar oleh Jakarta. Setidk-tidaknya inilah anggapan Alfitrah. "Dulu kita ada Tabrani tapi dia telah melakukan pengkhianatan terhadap perjuangan masyarakat Riau. Ada baiknya dia kembali ke pangkal jalan."  Bagaimana dengan Huzni, Bupati dari tanjung Pinang itu? Kata Alfitrah, "Huzrin akan mendapat dukungan seluruh masyarakat Riau andaikata dia berada  pada blok Riau Merdeka. Andaikata dia ambil alih kedudukan Tabrani saya kira dosa-dosanya akan dimaafkan."  Satu pandangan yang sedikit radikal berbanding pandangan Pak Tenas, tokoh budaya dari Pekan Baru itu. (Dipetik daripada Utusan Zaman, 31 Disember 2000.)

A.F.Yassin
19. 12. 2000.






 

   


Saturday 28 April 2012

CIKGU ZAM TOKOH PENDIDIK DARI KELUANG JUGA SEORANG PENYAIR

Ismail Zazam @ Zam Ismail, tokoh pendidik yang banyak menabur jasa dalam bidang pendidikan. Beliau juga seoarang penyair dan salah seoang pengasas Persatuan Penulis Johor (PPJ). Kini beliau adalah Timbalan pengarah Yayasan Warisan Johor.

Menilai Sumbangan Tokoh Guru Zam

Oleh A.F.Yassin

 “Dialah pemberi paling setia

Tiap akar ilmu miliknya

Pelita dan lampu segala

Untuk manusia sebelum menjadi dewasa



Dialah ibu dan dialah bapa  juga sahabat

Alor kesetiaan mengalirkan nasihat

Pemimpin yang ditauliahkan segala umat

Seribu tahun katanya menjadi hikmat...

 Dua rangkap puisi di atas nukilan Sasterawan Negara Dato’ Usman Awang adalah sifat sempurna seorang insan yang bernama guru. Usman menyelam hati guru dan mendedahkan sifat sempurnanya kepada semua, terutama kepada mereka yang pernah menjadi murid kepadanya. Betapa benarnya Usman ketika mengkahiri puisi “Guru Oh Guru” ini dengan rangkapan:

 Jadilah apapun, pada akhir kehidupanmu, guruku

Budi yang diapungkan di dulang ilmu

Penggilan keramat “cikgu” kekal terpahat

Menjadi kenangan ke akhir hayat.”

 Tafsiaran semangat yang menjiwai puisi Usman ini mengingatkan sumbangan seorang bekas guru yang juga seorang sasterawan, iaitu Haji Ismail Zamzam atau lebih dikenali dengan Zam Ismail. Sifat-sifat yang terlukis dalam puisi itu adalah sesempurna seorang guru bernama Zam. Walaupun sudah tidak lagi menulis di “papan hitam” sekolah namun Zam masih dekat dengan profesion perguruan. Katanya, “Saya guru dan pendidik dan sebagai seorang pendidik, sumbangan saya kepada masyarakat merentas waktu selagi hayat dikandung badan.”

 Amat beruntunglah Zam yang pernah bertugas bekerja sebagai guru. Penyair Usman mengungkapkan sifat dan fungsi guru dengan keindahan budi dan hati melalui bait-bait yang puitis. Tidak seperti kebanyakan profesion lain, guru dihormati dan dihargai, malah diktiraf sepanjang masa, terutama oleh bekas muridnya. Profesion guru mempunyai harinya sendiri, iaitu Hari Guru yang disambut setiap tahun pada 16 Mei, dua minggu sesudah rakyat menyambut Hari Pekerja. Maka untungnya guru, bukan sahaja mereka merayakan Hari Guru tetapi juga Hari Pekerja. Zam menerima anugerah tertinggi pendidikan itu bersama lima tokoh guru atau bekas guru yang lain, iaitu Tan Sri Dr. Murad Mohd Noor (74) yang menerima Anugerah Khas Menteri Pelajaran Untuk Kepemimpinan Pendidikan. Tokoh-tokoh guru yang lain ialah Alice Wee Siew Eng (63), Krihnasamy a/l Thambusamy (62), Wan Safinah Saleh (61) dan Ali Suhaily (60).

 Zam mewakili kaum guru dan bekas guru yang kegiatan kokurikulumnya adalah dalam bidang persuratan. Anugerah ini akan menempatkan Zam yang berlatarkan kesusasteraan sebagai sumber ilham pula kepada para sasterawan yang menjadikan  pendidik sebagai kerjayanya. Dan anugerah Tokoh Guru 2004 yang diterimanya itu adalah puncak daripada siri anugerah tokoh guru yang telah diterimanya sempena Hari Guru.

 Dua tahun dahulu, Zam diiktiraf sebagai Tokoh Guru Johor. Setahun sebelumnya, Zam dipilih sebagai Tokoh Guru Batu Pahat. Sementara pada tahun 1996 Zam menerima anugerah Khidmat Cemerlang Kementerian Pendidikan. Rahsia kejayaannya? “Tidak ada rahsia,” katanya. “Hanya diperlukan sikap positif ketika mendidik pelajar supaya  mereka bukan sahaja berilmu pengetahuan, malah berakhlak tinggi, berwawasan dan berperi kemanusiaan yang secara langsung membentuk  masyarakat bertanggungjawab.”

 Kerjaya terakhir Zam dalam bidang pendidikan ialah sebagai Ketua Sektor Bahagian Teknologi pendidikan, di Kementerian Pendidikan Malaysia (1993-1996). Sebelumnya Zam merupakan Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia di Indonesia, ketika itu dikenali juga sebagai Atace pendidikan, Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia. Pejabatnya terletak di Jalan Budikemuliaan di Jakarta Pusat. Zam bertugs selama tiga tahun (1990-1993). Pengalamannya sebagai guru, pengetua sekolah (terakhir sebagai pengetua Sekolah Menengah Dato’ Abdul Razak (SEDAR), Seremban melengkapkan sahsiah dirinya sebagai pendidik yang tidak pernah kenal erti letih dan bosan.

 Lulusan Sarjana Pendidikan  Universiti  Iowa Utara, USA ini bergiat aktif dalam bidang persuratan secara berterusan. Ini merupakan salah satu kriteria anugerah kecermelangan dan Zam mewakili bidang persuratan. Proses pengembangan ilmu yang diamalnya secara berterusan dalam bidang ini tidak terbatas kepada penulisan buku-buku yang ada kaitannya dengan alam persekolahan. Zam turut berperanan menerbitkan hasil-hasil persuratan dan penyelidikan sejarah melalui jawatan terkininya sebagai Timbalan Pengarah Yayasan Warisan Johor.

 Kini beliau telah menerajui penerbitan hampir 30 judul buku melalui yayasan ini. Antara judul-judul terakhir yang diterbitkan ialah “Shaharom Hussain Gapura Sastera Johor” susunan Talib Samat yang pelancarannya disempurnakan sempena Seminar Pemikiran Shaharom Hussain di Johor Bahru baru-baru ini,  “Sejarah Adat Istiadat Kesultanan Johor, 1529-1855” dan “Usman Awang Penghubung Sastera Moden Dengan Akar Tradisi.”

 Zam menyahut seruan Kerajaan Johor agar “pulang kampung” untuk memberi sumbangan kepada anak negeri Johor. Menteri Besar, Datuk Abd. Ghani Othman ketika mulai memegang tampuk kuasa kerajaan di Johor satu dekad yang lalu telah menyeru cerdik pandai anak Johor kembali berkhidmat di negeri sendiri. “Alhamdulilah, saya memilih jalan yang betul dan kembali ke pangkuan negeri yang pernah mendidik saya sebagai guru,” kata Zam ketika ditemui dalam Seminar Pemikiran Shaharom Hussain di Johor Bahru, 5 Mei lalu.

 Bidang persuratan adalah wadah Zam dalam dunia pendidikannya. Malah Zam memberi ruang untuk kesusasteraan bertapak di arena pendidikan. Dalam kegiatan ko-kurikulum, misalnya, di mana sahaja Zam ditempatkan dia memberi nafas kepada kesussteraan. Zam bertugas sebagai Guru Kanan bagi Matapelajaran Bahasa Melayu dan Sastera Sekolah Tinggi Kluang pada tahun 1972 hingga tahun 1979. Pengalaman berkarya ditambah pula dengan pengaruh karyanya memungkinkan pelajar lebih mesra berinteraksi dalam bilik darjah. Satu kelebihan kepada pelajar untuk memahami dan menghayati ajaran Zam.

 Pada tahun 1995 pula Zam dilantik sebagai anggota Panel Penasihat Penulisan Buku Teks Bahasa Melayu Kementerian pendidikan. Dua tahun kemudian Zam ditugaskan menulis buku-buku teks sastera dan panduan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu. Barangkali pengalamannya sebagai salah seorang anggota Jawatankuasa Penggubal Kertas Soalan Kesusasteraan Melayu di peringkat SPM pada tahun 1981 sebelumnya menjadi pendorong kepada pihak terbabit untuk melantik Zam menulis buku teks sastera.

 Kegiatan Zam di luar bidang perguruan adalah sepenuhnya dalam bidang kesusasteraan. Malah Zam amat terhutang budi dengan dunia kesusasteraan kerana melalui kegiatannya yang berterusan dalam dunia itulah dia diberi penghormatan untuk terpilih sebagai salah seorang penerima Anugerah Tokoh Guru Nasional 2004. Zam mula bergiat sejak tahun 1966 lagi apabila dia mengasaskan penubuhan Persatuan Penulis Johor (PPJ). Zam menjadikan PPJ platfomnya pula untuk bergiat di peringkat nasional mulai tahun 1972. Menurut catatan, Zam merupakan salah seorang tokoh kesusasteraan negeri Johor yang paling lama memegang jawatan Ketua Satu PPJ, iaitu selama 14 tahun. Zam dipilih Ketua Satu pada tahun 1967 hingga 1969. Kemudian dia dipilih semula pada tahun 1973 hingga tahun 1984. Dua tahun kemudian Zam dilantik sebagai Penasihat tetap PPJ sehingga sekarang. 

 Dalam pemilihan jawatankuasa Gabungan Persatuan Penulis Nasional bulan lalu, Zam terpilih sebagai seorang daripada lima anggota biasanya, mengalahkan dua calon kawakan dari Selangor seperti Dato’ Ahmad Kamal Abdullah (Kemala) dan Dato’ Samad Maharuddin dari Kemudi. Di peringkat antarabangasa Zam terlibat aktif dalam kegiatan sastera budaya dalam lingkungan Sijori (Singapura-Johor-Riau). Zam dipilih sebagai salah seorang anggota Jawatankuasa Majlis Kerjasama Persuratan (MAKEP) Rantau Selatan, Singapura, Johor dan Riau (2002).

Yang mengharumkan namanya ialah kegiatan memfokuskan karya puisinya dalam majlis-majlis rasmi anjuran institusi kerajaan baik di peringkat negeri mahupun di  peringkat kebangsaan.  Misalnya, sempena perayaan Hari Ulang Tahun ke-100 Batu Pahat beberapa tahun yang lalu, Zam diminta mencipta puisi khas yang dibacakan dalam perayaan. Sebuah puisinya dibacakan dalam majlis sempena perayaan Hari Kebangsaan peringkat nasional di Dataran Merdeka pada tahun 2000. Puisi berjudul “Bersatu Ke Alaf Baru” bergema ketika berlangsungnya lintas udara jet pejuang TUDM di hadapan dhif-dhif kehormat dan orang ramai yang diketuai Duli Yang Dipertuan Agong.

 Puisi yang dicipta pada 15 Julai 1999 itu membabitkan tujuh rangkap. Dalam hening pagi di hari bertuah, bergema kata-kata keramat dari bait-bait syahdu antaranya dua rangkap yang paling mengharukan:



“...Siapalah kita

kalau bukan warga sebuah negara merdeka

Siapalah kita

di arena antarabangsa

bersedia mendengar suara

kalau bukan  warga sebuah negara

berdaulat dan merdeka.



... tiada kematian paling nikmat

selain mengasihi tanah leluhur

dan tanah kelahiran ini

di sini di bumi keramat ini

cinta kita terus seubur bersemadi.”

 Di Pulau Pinang sebelumnya, Zam diberi penghormatan untuk membaca puisinya  dalam majlis pelancaran Tahun Membaca. Pada tahun 1989, Zam terpilih untuk mewakili negara dalam Festival Baca Puisi Dunia di Yugoslavia. Tidak ada yang lebih mengharukan Zam sebagai Tokoh Guru Nasional selain melihat seorang bekas anak muridnya mencium tangannya ketika Zam menerima cenderahti daripadanya. Anak muridnya itu, Datin Halimah Saddique  kini merupakan seorang exco kanan Kerajaan Negeri Johor. Zam baru sahaja selesai membentangkan kertas kerja tentang Gapura Sastera Di Atas Bukit dalam seminar sehari pemikiran Sahaharom Hussain.

Demikianlah, kesusasteraan, khususnya puisi, menjulang nama Zam bukan setakat sebagai sasterawan tetapi juga sebagai pendidik. Pe ngiktirafan tertinggi dalam bidang pendidikan tidak akan berjaya dirangkulnya tanpa kesusasteraan menjadi latar kegiatannya. Zam memperkasa kesusasteraan dalam profesion gurunya, sebagaimana halnya dia meningkatkan kerjaya perguruannya melalui penglibatannya dalam bidang kesusasteraan. Dan tidak ada cara yang paling efektif untuk mengenang jasanya selain pengiktirafan tertinggi sebagai Tokoh Guru Nasional 2004 yang anugerahnya disampaikan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi di Stadium Melawati, Shah Alam, pada 15 Mei 2004 lalu. .






Wednesday 25 April 2012

SEKADAR MENGINGATKAN KONGRES BAHASA TELAH TUJUH KALI DIADAKAN: APA KESANNYA?


Yahaya Ismail gigih perjuangkan bahasa pada tahun-tahun 1960an. Yahaya bersama ramai teman satu angkatan di DBP seperti Salleh Yusof, Maarof Saad, Abdullah Abbas dan Fadzil Agussalim  mengarak "Keranda 152" sebagai lambang terhakisnya bahasa Melayu dan yang menyebabkan Pengarah DBP ketika itu Tuan Syed Nasir Ismail menangis mengingatkan nasib bahasanya.  

 
KONGRES BAHASA KE-7: DI MANA SILAPNYA?

Oleh A.F.Yassin

 Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ke-7, mulanya mahu diadakan secara besar-besaran, sempena perayaan Jubli Emas Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Sebabnya, dikatakan DBP terhutang budi kepada Kongres kerana melahirkannya 50 tahun yang lampaumelalui Kongres ketiga di Johor Bahru., Pada penuhuhannya DBP Ungku Aziz, ketika itu pensyarah di Universiti Malaya, Singapura,  dilantik sebagai Pengarah DBP pertama dengan pejabatnya berpusat di Bukit Timbalan di Johor Bahru. Dalam kegiatan kongres kali ini DBP meminta kerjasasama Gabungan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) sebagai penyelenggara bersama dengan DBP menyediakan dana dan Gapena menyediakan peserta dan kertas kerja.

 Untuk menjadikan kongres ini lebih relevan, DBP dan Gapena mencadangkan  supaya kongres ketujuh ini diadakan di Johor Bahru, mengambil sempena kelahiran DBP oleh Kongres ke-3, 50 tahun yang lalu. Kongres ketika itu antara lain merumuskan penubuhan DBP. Gapena yang begitu teruja untuk menyelenggarakan secara bersama Kongres Ke-7 ini telah menjelajah ke seluruh negara menggembling kerjasama badan-badan persuratan dan badan-badan bukan kerajaan. Tan Sri Ismail Hussein, Ketua 1 Gapena dan kerabat kerjanya ligat meredah daerah dari Perlis hingga ke Sabah mencanangkan penyelenggaraan Kongres. Ismail yakin berkas kerjasma para pejuang dan peminat bahasa dan persuratan ini kongres akan dapat mencapai matlamatnya, iaitu mengembalikan status bahasa dan sastera di tempanya yang wajar.

 DBP dalam pada itu telah mengeluarkan pernyataan dan komitmen bahawa untuk mendapatkan kerjasama Kerajaan Negeri Johor bagi mengadakan kongres di negeri yang melahirkan DBP. Melalui pernyataan itu kongres dijadualkan pad 15-17 September 2006. Penytaan itu juga menyebut tentang status bahasa Melayu yang “sedikit demi sedikit mengalami perubahan yang kurang menggembirakan. Ini adalah antara realiti yang patut dihadapi oleh kongres dengan semangat yang terbuka dan sikap yang positif tanpa terperangkap oleh sikap yang terlalu dogmatik. Satu strategi baru yang pragmatik dan memandang ke hadapan mestilah difikirkan bersama. Kedaulatan dan martabat bahasa Melayu mestilah dipertahankan dengan sikap yang lebih terbuka, setia kepada matlamat, walaupun strategi boleh berubah, sesuai dengan kebijaksanaan ajaran orang tua-tua: “Tidak salah beralih tegak asal di tanah yang sebidang, tidak salah beralih duduk asal di tikar yang sehelai.”

 Bagaimanapun akhirnya cadangan untuk mengadakan kongres di Johor pada tarikh yang ditetapkan tidak kesampaian kerana ia akhirnya diadakan di Balai Budaya  Tun Syed Nasir (dulunya Balai Budaya,) di DBP Kuala Lumpur. Tarikhnya ditunda dari bulan September ke bulan November. Kongres tidak lagi dirasmikan oleh seorang menteri kanan tetapi cukup sekadar dirasmikan seorang alhi Parlimen dari Gua Musang, iaitu Tangku Razaleigh Hamzah. Itu pun sebagai kapasiti Tengku Razaleigh sebagai Pengerusi Sekretariat Kongres Kepentingan Bangsa dan ditutup oleh Ketua I Gapena, Ismail Hussein. Kongres pula diadakan pada 6-8 November, dua bulan terlewat dari jadual asal.

Walaupun terlewat dan berubah tempat namun sambutan terhadap Kongres dikatakan membanggakan juga. Menurut catatan jumlah peserta mencecah 500 orang, hampir sama dengan jumlah yang menghadiri Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu ke-3 di Johor Bahru dahulu. Semangat juga hampir sama. Kalau dahulu pejuang mahu memartabatkan bahasa Melayu. Pada kongres kali ini semangat itu ingin mengembalikan martabat bahasa itu yang seperti dikatakan banyak peserta “telah banyak tercalar.”

Bezanya pula mungkin ibarat langit dan bumi. Kalau Resolusi Kongres Bahasa ke-3 di Johor Baharu antara lain bersemangat menubuhkan Balai Pustaka yang kemudian bertukar nama kepada Dewan Bahasa dan Pustaka tetapi resolusi Kongres ke-7 ini tidak pasti nasibnya. Belum jelas di mana kedudukan resolusi lima (5) perkara yang menyentuh isu kebudayaan, bahasa, sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka serta bangsa Malaysia itu. Masih ada dalam “laci” DBP atau ada cadangan hendak menyerahkannya kepada kerajaan untuk tindakan lanjut.

Siasah dalam edisi 17-30 November 2006, melaporkan “Kongres ini semacam tidak mendapat dorongan daripada kepimpinan UMNO, parti kebangsaan  yang mengaku menjadi pejuang bangsa. Bukan itu saja, agensi kerajaan juga seperti malu-malu atau takut untuk melibatkan diri di dalam kongres berkenaan. Keadaan ini berlaku  kerana agensi bekenaan yang ditunjangi orang politik bimbang penyertaan  mereka akan menjejaskan masa depan politik mereka. Hal ini secara tidak langsung disuarakan oleh Datuk Dr. Abd. Latif Bakar, selaku pengarah Kongres. Beliau melahirkan rasa kesalnya dengan karenah dan birokrasi sesetangah kementerian yang berdlak dalik dalam menjayakan kongres ini.”

Menurut laporan itu lagi Latiff namun berterima kasih kepada Kementerian Pelajaran kerana membenarkan DBP dijadikan arena kongres. Ini kata Latif seperti yang dilaporkan, kerana bagi mereka yang mengetahui latar belakang penyelenggaraan kongres akan geleng kepala. Latif benr-benar tidak tahu akan latar belakang mengadakan kongres atau pura-pura tidak tahu. Ini kerana  rancangan untuk mengadakan Kongres Bahasa ini telah lama dibuat, iaitu sejak awal tahun lagi.  Ia adalah sebahagian daripada kegiatan perayaan Jubli Emas DBP. Satu Jawatankuasa Khas telah ditubuhkan untuk mempastikan kejayaan kongres. Serang pegawai kanan bahasa DBP ditugaskan untuk menyelaraskan program kongres. Khabarnya pegawai kanan bahasa ini dengan kerjasama Ismail telah berkeliling “negeri” untuk mencanangkannya.. Pertemuan dengan Menteri Besar Johor turut diadakan dan menghasilkan rumusan bahawa kongres diadakan di Johor Bahru, sempena penubuhan DBP di bandaraya itu 50 tahun lalu.

Di mana silapnya rancangan tidak ikut jadual. Ada sesetengah pihak, terutamanya dalam kalangan orang DBP, mengaitkannya dengan tokoh-tokoh tertentu dalam politik. Kegagalan mengikut jadual dikaitkan dengan  “percanggahan kepentingan politik” di samping karenah birokrasi di DBP. .Tidak jelas siapa tokoh-tokoh politik yang dimaksudkan, atau dalam bentuk apa karenah birokrasi yang wujud di DBP. Salah satu sumber dari DBP yang boleh dipercayai berkata dua tokoh politik sentral yang dikaitkan dengan penyelenggaraan kongres ini ialah Menteri Pendidikan, Dato’ Seri Hishamuddin Tun Hussein dan Menteri besar Johor, Dato’ Abd. Ghani Othman.

Hal ini dapat difahamkan apabila Ketua Pengarah DBP, Datuk Dr. Firdaus Hj Abdullah sebelum telah diminta oleh Menteri Besar Johor, khabarnya melalui Gapena untuk mengeluarkan satu pernyataan atau komtmen bahawa Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu ke-7 adakan diadakan di Pusat Konvensyen Persada Negeri Johor, bersebelahan Bangunan Kerajaan Bukit Timbalan yang menjadi lokasi pertama pejabat DBP. Menurut ceritanya, pusat konvensyen yang hampir siap itu akan dibuka secara rasmi dengan berlangsungnya kongres berkenaan d an dianggap satu satu penghormatan tertinggi kepada DBP, khususnya bahasa Melayu.

Menurut sumber itu, Johor bersedia memberikan komitmen penuh, terutama yang menyangkut pembiayaan dan kemudahan peserta sepanjang tiga hari kongres. Bagaimanapun, akhirnya komitmen Johor tidak kesampaian kerana DBP telah terpaksa “tunduk” kepada keputusan kementerian yang bertanggungjwab terhadap DBP untuk mengadakan kongres di Kuala Lumpur sahaja. Ada cakap-cakap yang menuduh seorang dua individu di kementerian yang  kurang senang dengan komitmen Johor dan kongres patut dan perlu diadakan di Kuala Lumpur, tempat perayaan sentral kegiatan Jubli Emas DBP. Dengan demikian segala usaha promosi DBP dan Gapena dan penglibatan Johor menjadi sia-sia, malah “membazir”. Ini agak bertentangan dengan konsep berhemat yang mahu diamalkan Firdaus.

Karenah birokrasi yang begitu menebal di DBP tidak terkecuali menjejaskan persiapan kongres. Sebagai sebuah agensi separuh kerajaan dan mempunyai kuasa autonomi, DBP amat jarang atau hampir tidak langsung memanfaatkan fungsinya sebagai institusi yang mempunyai kuasa autonomi. Malah terdengar khabar bahwa salah seorang pegawai kanan kini mendadbik dada mendakwa beliau kini mempunyai tiga orang bos, iaitu Menteri Pelajaran sendiri, Pengerusi kepada Lembaga Pengelola DBP dan Ketua Pengarahnya. Maka dikatakan ada yang sedang memantau pergerakannya, bukan oleh Pengerusi atau Ketua Pengarah tetapi oleh seorang yang lain yang gusar dengan gerak langkah yang dilaksanakan pegawai ini.

sekarang ini, bukan menjadi rahsia lagi,  apa sahaja keputusan yang mahu dilaksanakan di DBP hendaklah merujuk kepada peruntukan dan peraturan yang termaktub dalam Jabetan Perkhidmatan Awam (JPA). Kalau dahulu keputusan cukup sekadar medapat lampu hijau Lembaga Pengelola yang berfungsi melaksanakan tugas pemantauan pelaksanaan tugas eksekutifnya. Lebih memburukkan lagi keadaan, kini DBP tidak lagi bertanggungjawab langsung (direct) kepada Menteri Pelajaran, tetapi sekadar kepada Tmbalan Menterinya, iaitu Datuk Noh Omar. Fungsi Lembaga Pengelola di bawah pengeurusinya Datuk Johan Jaafar telah menjadi rubber stamp semata-mata. . Maka keliahatanya DBP kini bertaraf sebuah jabatan di bawah timbalan menteri bukan lagi  seorang menteri penuh.

Kemudian, pegawai kanan bahasa yang bertanggungjawab mempastikan kejayaan kongres ini dikatakan kurang senang dengan peranan Gapena dalam kongres. Pegawai ini dikatakan berkata “Kalau DBP yang keluar duit mengapa mesti kita serahkan kepada Gapena menguruskan kongres. Sepatutnya kita DBP yang menyelenggarakan sepenuhnya. Seolah-olah ada orang dari Gapena yang hendak ambil kesempatan.” Sentimen begini sepatutnya tidak wujud, terutama dlam kalangan orang DBP, kerana agensi-agensi sukarela dalam bidang bahasa dan perseuratan, terutama Gapena yang mahu puluhan kerabatnya di seluruh Malaysia yang terdiri daripada pejuang dan peminat persuratan adalah rakan kongsi sejati DBP.

Ada seorang sahabat di DBP yang keliru dengan sentimen pegawai kanan bahasa ini. Katanya, “Jika DBP (baca: kerajaan) mahu mengharapkan satu bentuk sinergi dari tokoh-tokoh dan pejuang dan peminat bahasa sentimen memperlekehkan semangat begini perlu dielakkan. Nampaknya sesetengah orang DBP ini tidak peka dengan konsep sinergi dan gerakan massa dalam kegiatan bahasa dan sastera tanah air. Soal bahasa dan persuratan bukan boleh diukur dengan wang dan ringgit.”

Ketika kongres berlangsung, banyak kertas kerja tentang bahasa, satera malah tentang DBP sendiri dibentangkan. Antara pembentang yang masih bertenaga ialah Datuk Dr. Hassan Ahmad, mantan ketua pengarah DBP dan Prof. Dr. Awang Sariyan, mantan Pengarah Jabatan Bahasa DBP. Mereka berdua ini masih “bergigi dan bertaring” dalam bidang bahasa, walaupun dianggap sebagai harimau kertas sahaja. Selain mereka tidak ada tokoh besar dan ternama diketengahkan. Mungkin tokoh-tokoh seperti itu tidak wujud lagi atau telah “malas” berbuat demikan. Maklumlah, siapa peduli dengan isu bahasa dan sastera hari ini. Atau tokoh-tokoh yang namanya menjulang dalam bidang-bidang ini sudah menjadi endangered species. Dan tokoh seperti Datuk A. Samad Said yang perjuangannya dalam bidang ini begitu lama, terutama dalam bidang sastera kini hanya sekadar bertarap “pendeklamator” sahaja. Kehadirannya hanya membaca puisi.

Ada yang bertanya:Bagaimana persoalan bahasa dan sastera selepas kongres ke-7 ini? Dan bagaimana pula dengan resolusi yang dikeluarkan selepas Kongres? Tidak ada jawapan jelas. Para peserta yang hadir dan kemudian pulang mungkin sedang meraba-raba akan apa yang bakal terjadi dengan resolusi kongres. Bagi mereka resolusi kongres akan mengalami nasib yang sama dengan resolusi-resolusi kongres sebelumnya. Seorang peserta kongres membandingkan suasana kongres ke-6 yang diadakan di Tanjung Malim sebelum ini. Katanya, “Kali ini kongres diadakan di Balai Budaya Tun Syed Nasur. Jauh lebih baik berbandingkan yang diadakan di sebuah dewan kecil di Tanung Malim. Tapi saya rasa nilai kesungguhan dan komitmen di Tanjung Malin adalah lebih baik. Semangat Tanjung Malim lebih digeruni kerana kongres diadakan hampir tanpa restu sesiapa-siapa.”

Kesan persidangan? Kata  seorang sahabat, Salleh Yusof, namanya, “Kurang.” Salleh. mantan pegawai UKM dan mantan kakiangan DBP, sezaman dengan Usman Awang dan Keris Mas. Salleh ini terkenal dengan semangat kentalnya terhadap bahasa dan masih tidak luntur-luntur sehingga hari ini. Salleh pernah terlibat dalam protes bahasa tahun 1967 yang melahirkan peristiwa “Keranda 152” yang menjunng secara literal keranda  di DBP ketika itu. Pejuang bahasa masih belum lupa peranan yang dimainkan Salleh bersama beberapa yang lain seperti Yahya Ismail, Abdullah Abbas, Fadzil Agussalim dan Maarof Saad tentang bahasa Melayu dikatakan sedang terhakis sehingga membuat Tuan Syed Nasir menangis mengenangkan nasib bahasanya.

Salleh berkata, “Kalau bahasa Melayu hendak dimartabatkan, ikut saja cara Indonesia. Jangan banyak retorik. Buat. Lihat jiran kita itu. Presidennya berucap dalam bahasa Indonesia di Pertubuhan bangsa Bersau. Tapi orang kita tak sanggup buat begitu. Kita di Malaysia, semuanya berlumba-lumBa nak cakap bahasa Inggeris. Nahu lintang pukang tak mengapa asal bunyinya Inggeris. Orang pun hormat kita. Inilah mentaliti kita. Kan kau tak tahu?.” .


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

MALAYSIAN LEADERS GAZEBO

SO THEY SAY...

SO THEY SAY...

"A.F.Yassin dalam cerpenya "Dendam" berjaya menghidupkan ceritanya dalam bahasa yang berjiwa; sesuai dengan pertentangan-pertentangan yang dialami oleh Salim atau oleh Yanti sendiri. "Plotnya bersifat sorot pergi sebagai satu gaya untuk mengembangkan kisah pada satu detik tetapi menghimbau kisah itu kepada kisah lampau dan juga kisah akan datang. Latarnya di Indonesia. Cerpen ini hidup kerana tidak dibiar berkisar di luar persoalan. Olahan cerpen bepusar keseluruhannya pada watak Yanti..." (Dato' Shahnon Ahmad, Mingguan Malaysia, 14 November 1976.)



" The former editor of a publishing house, A.F.Yassin, recently put out Sembang Sastera: Bersama Orang Persuratan (Fajar Bakti, 1998,310 pages), in which he talks to 64 Malay writers and literary activists of varying stature, who muse on their lives and what they have been up to. Chatty. Frank, nostalgic, irreverent, these conversations are light, in response to A.F.Yassin’s equally casual probing. His target is largely a small and shrinking group of people aged around 60 and above, loyal supporters of the Jawi-scripted Utusan Zaman, in which most of these Sembang-Sembang first appeared.



"Now that these Sembang-Sembang have been romanised, and packed in a handsome hardcover book, more readers , especially literary researchers, local and foreign, can be expected to benefit from them. Of course, the information ranges from the revealing to the trivial, but the book is pertinent as it provides insight on what went on in the world of Malay letters.



"…Sembang Satera is invaluable, especially to students of contemporary Malay literature, because it provides a cauldron of tidbits, with which to spice up the perennially long-overdue assignment.” - (Zakaria Ali, "Notes on Local Literature, fortnightly with Zakaria Ali, New Straits Times, 27 January, 1999."



"Yassin merupakan penulis yang berilmu dalam dua bidang dan seterusnya melibatkan diri dalam tiga dimensi. Bidang-bidang keilmuan dan keahliannya ialah komunikasi dan sastera, sementara kegiatannya dalam bidang penulisan kreatif dan deskriptif dan serentak dengan itu, turut kreatif dalam penghasilan dan penerbitan buku sesuai dengan profesion terkininya." (Asri Affandi, Mingguan Malaysia, 27 Disember 1987.)



"A.F.Yassin dalam bukunya Etika dan Wartawan berpendapat, pemberitaan akhbar di negara ini boleh dikatakan hanya berpandu kepada etika sejagat dan norma serta kebiasaan hidup masyarakat majmuk. Ketiadaan kod etika kewartawanan juga seperti yang ditekan oleh A. Samad Said telah menjadikan akhbar mengamalkan dasar swaying with the wind, bukan merupakan agent of change, serta cenderung menyuarakan dasar dan strategi pihak penerbit suratkabar itu sendiri." (Harakah, 31 Mei 1993.)

Tidak tahu kenapa dia meninggalkan lapangan guru dalam tahun 1962 kemudian sanggup pula menjadi seorang Juruteknik di sebuah kilang tekstil di Johor Bahru. Apakah dia memikirkan kurangnya anak Bumiputra berminat dalam lapangan teknikal atau kerana mula nampak bintangnya lebih mengerdip jika dia meninggalkan lapangan guru?

Yang ternyata sewaktu berada di Textile Corporation of Malaya Berhad Johor Bahru, dia telah dapat mengikuti latihan teknikal di Nagoya, Jepun selama enam bulan dalam tahun 1969. Di Jepun dia baru dapat melihat perbezaan zikap dan tingkah laku manusia pekerja Jepun dengan bangsanya sendiri. Setelah menimba pengalaman di Jepun, tercetus pula keinginannya untuk menulis rencana bersirinya di Utusan Malaysia, Utusan Zaman dan Mingguan Malaysia. Semuanya menceritakan pengalamannya di Jepun.

Kemampuan menulis telah meransangnya menapak ke bidang kerja yang lain. Dia menjadi Penyunting Berita Harian dalam tahun 1971. Semasa di New Straits Times Press (M) Bhd., dia banyak pula menghasilkan cerpen. Dia terus melanjutkan penulisan fiksyen apabila dilantik menjadi Penolong Editor dan kemudiannya meningkat sebagai Editor majalah Dewan Masyarakat.

Melihat kemampuannya menulis artikel dan cerpen di tengah-tengah kesibukannya sebagi seorang Editor, jelaslah kepada kita bahawa seorang editor yang sibuk tidak semestinya tidak boleh menulis. Pokoknya dia tidak mengenal erti kelelahan dan kesibukan bila dia diransang untuk menulis. ("Karyawan Bulan Ini", Dewan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, Mac 1983).