Pak Tenas (sedang menuang air) ketika menghadiri jamuan makan malam di restoran Muara, Melaka sempena Seminar Penggawa dan Penghulu dan Adat Melayu di Melaka, 19 September 2005. Seminar ini diadakan sebagai salah satu acara dalam Bulan Bahasa dan Sastera Negara 2005, anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.
CATATAN
A.F.YASSIN
Menyelami
Resah Rasa Orang Riau
Bulan bulan lalu, persisnya 20 November 2000,
saya sempat bersembang dengan Tengku Nasaruddin Effendy atau senang dengan
sebuatan Pak Tenas di rumahnya di Pekan Baru, Riau. Pak Tenas berpakaian baju
Melayu dan berkain palikat. Cara berpakaiannya tidak ada bezanya dengan cara
berpakaian orang Melayu di Semenanjung.
"Ya, saya kan orang Melayu," katanya. Pun Pak Tenas ini adalah
salah seorang waris keturunan kerabat Diraja Kerajaan Kampar Tua (Pelalawan).
Masih ingat bagaimana Sultan Mahmud Syah, sultan Melaka terakhir bersama
permaisuri baginda Tuan Fatimah melarikan diri dari Portugis ke Kampar lalu
menjadi raja di sana?
Pak Tenas orang Melayu. Cakapnya pun lebih
banyak dialek Johornya berbanding dialek "orang seberang", walaupun
Pak Tenas disitilahkan sebagai orang
seberang. Orang Sumatera. Berada di sisinya bersama anggota rombongan Jejak
Bahasa yang melakukan penggambaran di kediamannya itu bagaikan kita berada di
kalangan anggota kerabat sahaja. Saling tak tumpah.
Bagaimanapun ada sesuatu yang sedikit
mengharukan dalam sembang-sembang pagi itu. Sebabnya baru semalamnya suratkabar
"Riau Pos" menyiarkan liputan khas tentang apa yang dianggap sebagai
"ada fenomena menarik terjadi pada masyarakat Riau." Fenomena itu
barupa wujudnya keinginan "yang
menggebu-gebu dari masyarakat Kepulauan Riau untuk memisahkan diri daripada
Provinsi (Negeri) Riau dengan membentuk provinsi sendiri." Bagaimanapun
sehingga hari ini niat Kepulauan Riau itu belum mendapat restu dari Gabenor dan
Dewan Undangan Negeri (DPRD) Riau. Akibatnya, tulis Riau Pos lagi,
"seolah-olah terjadi perpecahan antara masyarakat Kepulauan Riau dengan
masyarakat yang ada di daerah Riau
Daratan?
Benarkah? Saya minta pandangan Pak Tenas
setelah membaca liputan khas Riau Pos itu. Jawapan Pak Tenas persis seperti apa
yang dilaporkan Riau Pos. Pak Tenas akur bahawa persatuan Riau tidak lagi
ditemukan. Hal ini disebabkan pergeseran pandangan antara orang politik dengan
orang politik sendiri dan orang budaya dengan orang politik. Kata Pak Tenas,
"Persebatian Riau yang seharusnya tetap terjaga, kini sudah tidak ada
lagi. Riau sudah terkotak-kotak dalam satu komuniti politik yang berbeza-beza
yang memunculkan kepentingan peribadi atau golongan sahaja, bukan kepentingan
bersama."
Pak Tenas menghimbau zaman silam sejarah
Riau. Menurutnya, dahulu puak Melayu Riau ini memiliki latar perjuangan sejarah
yang kukuh. Katanya, "Persatuan Melayu itu dulunya kukuh. Jangankan yang
ada di Riau sahaja, puak Melayu yang tergabung dalam semenanjung ini termasuk
Singapura, Johor dan Riau pernah punya satu visi. Namun berpisahnya mereka
bukan disebabkan keinginan sendiri, melainkan kerana penjajahan Inggeris dan
Belanda dan terpisahnya selat."
"Mahu dibawa ke mana Riau ini
sebenarnya? Pertanyaan ini sering dikemukakan oleh ramai orang politik dan
budaya di Pekan Baru. Tidak terkecuali Pak Tenas. Katanya, "Perlu ada
kesepakatan bersama, ataupun rekonsiliasi. Mahu kita jadikan apa negeri kita
ini?"
Persoalannya ialah bagaimana mulanya timbul
perpecahan antara sesama elit politik dan budaya ini? Ada yang menyebut semuanya bermula dari
meruncingnya hubungan antara Tanjung Pinang (Kepulauan Riau) dengan Pekan Baru
(Riau Daratan). Umum menganggap hubungan dan konflik ini sebenarnya adalah
antara daratan dan kepulauan. Malah dikatakan ada tanda wujudnya ketegangan
antara Gabenor Riau, Saleh Djasit dengan
Bupati Kepulauan Riau yang baru terpilih, Huzrin Hood. Hal ini ada kaitannya
dengan usaha masyarakat Kepulauan Riau membentuk apa yang disebut Badan
Persiapan pembentukan Propinsi Kepulauan Riau. Badan ini diketuai oleh Huzrin
sendiri.
Gabenor Riau mahu dialog diadakan sebelum
badan pemisah ini mahu meneruskan rancangan untuk ke Jakarta menemui Dewan
Perwakilan Rakyat bagi mendapatkan restu. Namun Gabenor sedikit kesal kerana
badan itu sudah mendahului "hasil dialog". Pemergian Huzrin dan
kawan-kawan seperti membelakangi autoritinya sebaga seorang gabenor. Mengapa
terjadi demikian sehingga Huzrin tergesa-gesa ke Jakarta mengadu hal. Dr
Alfitra Salam, seorang pemerhati politik Lembaga Ilmu Pengetahuan Indonesia
(LIPI) yang mendapatkan ijazah kedoktorangnya di Universiti Kebangsaan Malaysia
(UKM) beberapa tahun dahulu membayangkan bahawa tindakan tergesa-gesa Huzrin
itu ada kaitananya dengan rasa kecewa terhadap pemerintah daerah dan pusat yang
selama ini "secara politik memang kurang mendapat perhatian." Malah
Presiden Gus Dur sendiri pernah mengulas bahawa "Riau tidak ada
apa-apanya."
Kata Alfitrah, "Ini juga menunjukkan
sikap kekecewaan masyarakat marginal
yang selama ini terpinggirkan dan semakin terpinggir. Autonomi merupakan
peluang untuk meningkatkan harkat dan harga diri yang selama ini diinjak-injak."
Pandangan Alfitrah ini tiada bezanya dengan pandangan Dr. Yusmar Yusuff, Ketua
Pusat Bahasa dan Kebudayaan Melayu Universiti Riau yang saya temui sebelumnya.
Cuma katanya, "untuk permulaan kita akan berjuang secara intelektuil,
bukan secara politik." Yusmar cukup terkesan dengan ulasan Gus Dur bahawa
"Riau tidak ada apa-apanya", padahal menurutnya Riau kaya sumber
enerji seperti minyak dan kelapa sawitnya. Bagaimanapun, sikap kecewa Yusmar
adalah berpunca dari Jakarta yang menganggap Riau tidak ada apa-apanya.
Alfitrah kecewa dengan sikap Huzrin yang
tergesa-gesa mengadu hal ke Jakarta. Katanya, "Seandainya Huzrin agak
sabar sedikit dan mengikuti aturan-aturan yang telah ada, saya yakin dia bisa
memimpin kepulauan Riau tanpa ada polemik seperti sekarang ini. Tapi
kenyataannya Huzrin telah memilih jalan yang salah."
Namun diakui Bupati Huzrin merupakan tokoh
dari kelupulauan Riau yang memilik karisme. Alfitrah melihat Huzrin sebagai
aset bangsa Melayu di kepulauan itu. Cuma dia tidak sabar. Dan sikapnya
dimanfaatkan oleh golongan politik yang menentang rancangannya untuk
"membebaskan kepulauan Riau dari Riau Daratan."
Bukan tidak mungkin sikap tak sabar Huzrin
ini disebabkan oleh keputusan Dewan Undangan Negeri (DPRD) Riau yang menolak
pembentukan propinsi (negeri) Kepulauan Riau, terpisah dari Propinsi Riau yang
ada sekarang. Ertinya harapan masyarakat Kepulauan Riau untuk menjadi sebuah
propinsi baru setaraf dengan Sumatera Barat atau Jawa Barat mahupun Sumatera
Utara belum kesampaian. Kepulauan itu buat sementara akan tetap menjadi sebuah
daerah dalam Propinsi Riau, seperti halnya daerah Sepang dalam negeri Selangor,
misalnya.
Ini membuatkan Huzrin hilang sabar kerana
telah begitu banyak dialog diadakan antara orang kepulauan dengan orang daratan
Riau tapi belum mendatangkan hasil yang positif kepada orang kepulauan. Huzrin
barangkali berfikir kalau Banten dan Pulau Bangka telah diizinkan untuk
membentuk propinsi sendiri mengapa permintaan Kepulauan Riau untuk menjadi
propionsi masih juga dihalang-halang?
Dalam hal ini pula Alfitrah mencadangkan
empat perkara dasar yang perlu dirujuk sebagai jalan penyelesaian kepada krisis
ini. Pertama, peraturan mengenai proses pembentukan propinsi dan sebagainya
perlu ditegakkan. Kedua, Gabenor Riau harus tegas mengamanahkan kepada Bupati
sebagai pentabdir sementara
"caretaker" kepulauan Riau secepatnya. Ketiga, Tokoh-tokoh dari
Kepulauan Riau dan di peringkat propinsi
perlu menahan diri dan melakukan usaha yang lebih beretika, misalnya
mengadakan dialog yang lebih intim dan berdasarkan kekeluargaan. Keempat,
propinsi Riau perlu menyatakan secara tegas bahwa masa depan Kepulauan Riau
untuk menjadi sebuah propinsi tersendiri dan bebas dari Propinsi Riau yang
sekarang ini masih terbuka luas. Kata
Alfitrah, "Ada baiknya DPRD Propinsi Riau meninjau kembali keputusannya
menolak pembentukan propinsi Kepulauan Riau. Mesti ada saling memberi dan
menerima."
Riau hari ini mempunyai 15 kabupaten (daerah)
termasuk lapan yang baru. Empat daripadanya adalah kabupaten induk. "Ini
satu tugas berat untuk membenahinya," tutur Pak Tenas. "Ia memerlukan
sikap berbaik-baik atau rekonsiliasi. Kita selesaikan satu, satu." Pak Tenas mahu proses berbaik-baik ini
dimulakan dari peringkat bawahan. Ia bukan milik orang politik atasa sahaja.
Pak Tenas berharap ia bermula di peringkat kabupaten melalui Dewan Undangan
Negerinya ataupun lembaga adatnya. "Carilah kesepakatan bersama. Bukan
orang elit politik sahaja tapi akan menyeluruh kepada semua masyarakat,"
katanya.
Pak tenas yakin perjuangan memperbaiki nasib
Riau bukanlah milik "segolongan orang sahaja". Semua golongan dan
lapisan masyarakat Riau, baik rakyat biasa, mahasiswa, golongan intelek patut
direngkuh untuk menghasilkan kesepakatan bersama ini. Katanya, "Kita
selama ini hanya terpukau dengan apa yang ada di Pekan Baru, sehingga
tokoh-tokoh berpotensi di daerah-daerah dilupakan dan mereka
tersingkir." Pak Tenas melihat
proses mencar kesepatan bersama itu boleh dimulakan dengan pertemuan tidak
formal dengan menggunakan pendekatan kebudayaan dan wadah silaturrahim. Kata
Pak Tenas, "Kalau bisa ini yang harus sering kita lakukan. Mencari
kesepakatan bersama ini harus dimulai dengan hal-hal yang sifatnya
informal."
Apapun jua ada yang serius mengakui bahawa
kekalutan ini berpunca dari krisis ketokohan. Di Riau diperkirakan tidak ada
tokoh yang suaranya mahu didengar oleh Jakarta. Setidk-tidaknya inilah anggapan
Alfitrah. "Dulu kita ada Tabrani tapi dia telah melakukan pengkhianatan
terhadap perjuangan masyarakat Riau. Ada baiknya dia kembali ke pangkal
jalan." Bagaimana dengan Huzni,
Bupati dari tanjung Pinang itu? Kata Alfitrah, "Huzrin akan mendapat
dukungan seluruh masyarakat Riau andaikata dia berada pada blok Riau Merdeka. Andaikata dia ambil
alih kedudukan Tabrani saya kira dosa-dosanya akan dimaafkan." Satu pandangan yang sedikit radikal
berbanding pandangan Pak Tenas, tokoh budaya dari Pekan Baru itu. (Dipetik daripada Utusan Zaman, 31 Disember 2000.)
A.F.Yassin
19. 12. 2000.