Saturday 30 April 2011

BORHAN YAMAN: SEMANGAT JUANG MENEGAK BAHASA YANG TAK KUNJUNG PADAM

Datuk Wira Borhan Yaman ketika di rumahnya di Kelebang, Melaka, 11 Oktober 2007

Guru dahulu memainkan peranan melalui persatuan guru. Setiap negeri ada persatuan guru. Semua persatuan ini disatukan dan dipimpin oleh Allahyarham Dato’ Mohd. Nor Ahmad. Saya ada menyimpan majalah-majalah buku lama dan saya mula menulis sajak pada tahun 1971, terutama artikel-artikel pendidikan. Ketika itu, majalah adalah sebagai wadah guru, sebagai organ suara guru.

Kita adakan Kongres Bahasa Melayu yang pertama di Singapura pada tahun 1952 dan di Seremban pada tahun 1954. Kemudian Kongres Bahasa Melayu ke-3 kembali semula ke Singapura dan Johor Bahru. Istana Besar di Johor Bahru telah melahirkan cadangan menubuhkan DBP (Dewan Bahasa dan Pustaka) seperti yang ada pada hari ini. Dan begitu jugalah hasil perjuangan tadi. DBP lantik Ungku Aziz, seorang pensyarah ekonomi di Universiti Malaya Singapura sebagai pengarahnya. Saya rasa amat besar jasa ungku Aziz, Allahyarham Tun Syed Nasir mdnggantikannya kemudian. Beliau anak Johor yang walaupun tidak berpendidikan universiti, tetapi usaha dan semangatnya mengendalikan DBP perlu disanjung.

Rakyat patut sedar, orang-orang sekarang patut sedar, perjuangan menegakkan kedaulatan negara ini berkait rapat dengan perjuangan bahasa. Saya masih ingat lagi tentang perwakilan UMNO Melaka. Kami dari Melaka tidak ramai, UMNO Melaka kecil sebab orang Melaka miskin. Saya pernah menjadi setiausaha UMNO Melaka. Ketika itu nak cari yuran pun susah. Setiap tahun kita kena bayar tidak kurang daripada RM 2.50. Duit dulu besar jugalah berbanding duit sekarang. Dapatlah sehelai baju dan sehelai seluar.

Ketika itu persidangan-persidangan UMNO dibuat di rumah UMNO di Batu Road. Ada lagi bangunan itu saya tak tahu, sebab dah lama saya tak pergi ke sana. Masih saya ingat kalau nak dirikan rumah UMNO, kita cari derma dan sumbangan daripada ahli-ahli UMNO seluruh tanah air. Setengahnya mengadakan fun fair. Macam-macamlah kita diadakan. Saya ingat lagi bila bangunan UMNO di Batu Road disiapkan dan dirasmikan, iaitu pada 31 Julai 1955, emat atau lima hari selepas kemenangan parti PERIKATAN dalam pilihan raya pertama pada 27 Julai 1955.

Peristiwa itu ada saya catat dalam buku.Judul buku itu Lawyer Tunku Abdul Rahman (?) dalam tulisan jawi oleh Aziz Tahir. Saya ada buku tu. Saya catat berapa harganya. Saya tulis tarikh perhimpunan UMNO. Saya catat begitu cantik tentang peristiwa itu, Jadi sidang ini menegakkan perjuangan, menegakkan perlembagaan, kemerdekaan negara, kedaulatan raja-raja, hak istimewa orang Melayu, Islam sebagai agama rasmi negara, kedaulatan bahasa dan negeri untuk menjadi bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi tanah air yang tunggal di negara. Kita perjuangkan sejak sebelum merdeka. Tidak ramai ahli yang hadir pada masa itu. Tak sampai 200 orang. Saya masih ingat lagi, semangat yang ditunjukkan mereka yang hadir. Memang tidak sama dengan semangat perwakilan UMNO yang 2000 orang yang ada sekarang di PWTC terutama ketika bekas perdana menteri nak mengisytiharkan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar kepada mata pelajaran Sains dan Matematik.

Inilah yang dikatakan, apabila dibawa usul dibawa oleh perdana menteri, saya lihat melalui televisyen hadirin kelihatan kaku, tak berdetik macam tikus jatuh ke beras. Apa gunanya ramai audiens kalau jiwa-jiwa politiknya kosong? Inilah yang dikatakan dalam al=Quran sebagai buih-buih di laut yang banyak tetapi tidak ada tunjangnya. Tidak ada akarnya yang menjejak di bumi. Memang ramai bertepuk sorak tapi tepuk sorak yang nak meruntuhkan bukan membina. Minta maaf lah saya berkata begitu. Saya sebagai orang lama berasa amat sedih walaupun saya tidak lagi dapat berjuang.
Saya disingkirkan tapi jangan hina bangsa saya, negara saya, bahasasa saya, budaya. Saya dipandang sepi.

Tidak ada lagi erti kejayaan, kebesarannya dan sebagainya terutama kepada parti dan inilah sikap saya. Inilah kenyataannya. Pada hal mereka sedar bahawa perbuatan meremehkan kejayaan perjuangan terdahulu itu menyalahi dasar perjuangan, aturan dan peraturan. Kita meti ingat kita adalah kerajaan berparti. Kerajaan berparti mengusulkan segala benda yang dibawa berbincang ke dalam parti terlebih dulu. Misalnya, macam mana kita ingin menegakkan kemerdekaan negara, kedaulatan beraja. Semua ini dibawa dalam parti dibincangkan berkali-kali, ditapis, disunting dan dihalusi.

Perlembagaan kita pertahankan bersama Parti Perikatan. Apa yang kita putuskan adalah mandat yang kita berikan kepada wakil-wakil UMNO dan Perikatan, walaupun pada masa itu dalam parti Perikatan atau parti UMNO tak ramai yang bijak-bijak. Cuma adalah peguam seperti Tunku Abdul Rahman , Tun Abdul Razak. Datuk Sulaiman pula doktor dan beberapa orang lagilah. Kebanyakan kita adalah wartawan dan guru. Tapi jiwa mereka adalah jiwa harimau, bukan jiwa kambing yang pengecut, yang mengembek di mana saja. Inilah yang amat menyedihkan dan memilukan hati saya kerana perjuangan kita menegakkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi termaktub dalam perlembagaan, disebut dalam perlembagaan, hendaklah dilaksanakan selewat-lewatnya 10 tahun selepas merdeka tidak seperti yang diharapkan hari ini.

Saya ingat lagi pada tahun 1957, apabila Tun Syed Nasir mengambil alih, Dewan Bahasa diletakkan di bawah Kementerian Pelajaran. Waktu itu Tun Abdul Razak adalah Menteri Pelajaran. Ada kempen Minggu bahasa kebangsaan dan saya ikut terlibat. Pada masa itu saya baru balik dari Institut Bahasa dan mengajar di sekolah jenis kebangsaan. Kami mengadakan peraduan syarahan dan peraduan bahas dalam bahasa kebangsaan buat pertama kalinya. Kononnya apabila saya balik dari Institut Bahasa maka saya ini menjadi ahli bahasalah. Maka saya pun banyak ditawarkan menjadi pengadil peringkat negeri, pensyarah dan sebagainya.Saya ingat beberapa orang hari ini telah menjadi pegawai pelajaran di Melaka. Mereka pernah bertanding masa tu ketika saya menjadi alah seorang pengadilnya.

Saya berasa senang kerana nak menggalakkan rakyat boleh bertutur dan menulis dalam bahasa kebangsaan dengan baik, bukan sahaja dalam percakapan sehari-hari tetapi juga di sekolah-sekolah, di pejabat-pejabat kerajaan dan sebagainya. Pada tahun 1961 diadakan pula kempen Bulan Bahasa Kebangsaan Setiap tahun buat, ada pertandingan sehingga ke ke peringkat kebangsaan. Kemudian Dewan Bahasa mula menerbitkan buku. (Petikan hasil temu bual dengan tokoh budaya dan politik Datuk Wira Borhan Yaman di kediamannya di Kelebang, Melaka, 11 Oktober 2007

Thursday 21 April 2011

PANTUN ITU HADISNYA ORANG MELAYU, KATA AZIZ & BORHAN

 Tan Sri Aziz Tapa (atas) dan Dato' Wira Borhan Yaman: Kedua-duanya jaguh pantun asal Melaka.


Melaka bangga dengan dua anak watannya, Tan Sri Abdul Aziz Tapa, ahli UMNO veteran, dan Dato’ Wira Borhan Yamin,yang petah berpantun. Kedua-dua Aziz dan Borhan bagaikan saudara kembar dalam pantun-memantun. Kedua-duanya bekas guru tetapi punya semangat juang yang gigih, terutama dalam memeliharan budaya tradisi a.k.a pantun. Kedua-duanya masih bersemangat membincangkan pantun di mana jua dan dalam kesempatan bagaimana sekalipun. Kedua-duanya masih mampu mengingat pantun-pantun lama yang berkait dengan budi pekerti, perjuangan dan kasih saying. Malah sambil berbual mereka menyelitkan pantun-pantun usik-mengusik suami isteri.

Aiz juga seorang pelukis, pernah menjadi guru lukisan kepada Borhan. Kedua-duanya lulusan Maktab Pergurun Sultan Idris Tanjung Malim. Antara lukisan yang membawa namanya ialah “Suatu petang Di pelabuhan yang tersimpan di Balai Senilukis Negara. Bagusnya apabila berbicara pantun dengan kedua-dua tokoh ini mereka memberi penekanan yang sama penting antara pembayang dan maksud dalam satu-satu pantun.

Kata aziz lazimnya pembayang dalam pantun dicipta daripada suasana persekitaran, alam dan kehidupan. Banyak pantun dicipta melalui pengalaman bersama alam yang melingkunginya. Misalnya, pantun kasih “Kalau padi katakan padi, tidak saya terrtampi-tampi; kalau sudi katakan sudi tidak saya ternanti-nanti.” Pembayang kepada pantun itu ialah padi. Dan orang Melayu dekat dengan padi yang menghasilkan beras, makanan utamanya. Menampi padi itu lazim bertujuan untuk mengasingkan hampanya sebelum ditumbuk menjadi beras. Padi dan tampi adalah sesuai dengan rima dan ritme akhirannya.

Borhan pula yang kental semangat juang terutama dalam bidang bahasa dan budaya, turut merasakan keindahan dan kekentalan semangat kesetiakawanan dan kasihkan bangsa. Borhan mengeja “Alif”, “Ba” dan “Ta”. Katanya, “Alif” ialah agama, “Ba” bangsa dan “Ta” tanah air. Beliau berpantun, “Kalau roboh kota Melaka, papan di Jawa saya dirikan, Kalau sungguh bagai dikata, nyawa dan badan saya berikan (serahkan?).” Pembayang pantun ini adalah simbol perjuangan. Menurutnya, pantun itu “hadis”nya orang Melayu.

Siapa tak kenal Borhan yang satu ketika merupakan Ketua Pemuda UMNO Negeri Melaka yang berjuang bersama-sama A. Ghaffar Baba (sekarang Tun) dan Aziz Tapa sendiri (tiga serangkai yang menjadi pengasas kepada kemajuan UMNO dan kerajaan Melaka hari ini.

Borhan mengungkapkan rasa cintanya kepada agama, bangsa dan tanah air dengan “redha berkorban segala” sesuai dengan pribahasa yang disukainya, “Bahasa menunjukkan bangsa”. Baginya cinta tanah air adalah sebahagian daripada iman. Dan semangat ini banyak terjelma dalam pantun-pantun dan perbilangan orang Melayu.

Aziz pula bangga dengan Melaka. Bukan sahaja kerana pantunnya tapi dianggap negeri Islam pertama terkenal di dunia. Katanya semuanya bermula di Melaka. Betapa tidak, Melaka telah terkenal di seluiruh dunia pada tahun kegemilangan empayarnya pertengahan abad ke-15, terutama sewaktu Sultan Mansur Shah memerintah. Banyak pedagangan dan santeri singgah di pelabuhan Melaka. Katanya, “Jangan lupa sistem pemerintahan Melayu bermula di Melaka. Dulu kita ada sultan, bendahara, temenggung, penghulu Bendahari dan Laksamana. Hari ini kita ada sultan (Yang Dipertuan Agung, Perdana Menteri, Menteri Dalam Negeri, Menteri Kewangan dan Menteri Pertahanan yang di bawah kuasanya ada Laksamana.”

Wednesday 13 April 2011

PAKAR BAHASA BANTAH PELAKSANAAN SEMULA PPSMI

Penyandang Kursi Pengajian Melayu Kerajaan Malaysia di China, Prof. Dr. Awang Sariyan'

Kulit buku Mengapa Kami Bantah

Kulit Buku Keranda 152

Sebaik sahaja keluar berita bahawa PPSMI akan diteruskan seperti biasa oleh Kementerian Pelajaran, pakar bahasa Prof. Dr. Awang Sariyan, Penyandang Kursi Pengajian Melayu Malaysia-Beijing membuat bantahan melalui laporannya seperti yang disiarkan di bawah ini (Petikan BERNAMA yang disiarkan Utusan Malaysia, 12 April 2011):

Pakar Bahasa Bantah Desakan Laksanakan Semula PPSMI
BESUT, 11 April (Bernama) -- Pakar dan pendidik bahasa Melayu membantah sebarang usaha untuk melaksanakan semula Pengajaran Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Penyandang Kursi Pengajian Melayu Malaysia-China Beijing, Profesor Dr Awang Sariyan berkata kerajaan khususnya Kementerian Pelajaran tidak sewajarnya berganjak daripada keputusan yang telah diambil pada tahun 2009 untuk memansuhkan PPSMI.

"Keputusan itu bertepatan dengan hasrat mengembalikan martabat dan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama sistem pendidikan negara seperti yang telah diasaskan oleh Jawatankuasa Razak 1956 dan kemudian menjadi undang-undang negara dalam Akta Pelajaran 1961 dan seterusnya dalam pindaan Akta Pendidikan 1996.

"Langkah kembali kepada sistem dua aliran (bahasa Melayu dan bahasa Inggeris) meskipun dalam subjek-subjek bidang Sains dan Matematik, hanya meruncingkan keadaan dan kedudukan Dasar Bahasa Kebangsaan yang menjadi salah satu asas kenegaraan dan pembinaan negara," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata peningkatan penguasaan bahasa Inggeris sebagaimana yang telah berkali-kali ditegaskan oleh ahli bahasa dan ahli pendidikan yang mendukung perjuangan bahasa kebangsaan tidak akan dapat diatasi dengan pelaksanaan PPSMI.

"Usaha itu hanya boleh dilakukan melalui peningkatan dalam pengajaran bahasa Inggeris itu sendiri dan bukan melalui PPSMI," tegasnya.

Katanya Kementerian Pelajaran sendiri telah mengumumkan program Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) dan rancangan itu perlu dilaksanakan dengan berkesan tanpa mengganggu perancangan memartabatkan bahasa Melayu.

Presiden Persatuan Pendidik Bahasa Melayu Malaysia (PPBMM), Profesor Madya Dr Hashim Othman pula berkata tidak perlu PPSMI diadakan semula semata-mata berdasarkan desakan sesetengah pihak.

Katanya PPBMM menyokong bahasa Inggeris diajar kepada pelajar sekolah dan pernah mendesak agar mata pelajaran itu diwajibkan lulus dalam peperiksaan awam di negara ini.

Bagaimanapun katanya, usaha meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar tidak patut dilakukan dengan mengorbankan kedudukan bahasa Melayu dengan perlaksanaan PPSMI.

Menurutnya, PPBMM secara tegas membantah sebarang usaha bagi mengembalikan PPSMI tanpa kompromi.

"Kita harap kerajaan memikirkan secara mendalam sebelum melayani desakan golongan tertentu untuk mengembalikan semula PPSMI kerana ia boleh membawa banyak implikasi buruk kepada usaha memartabatkan bahasa Melayu," katanya.

Komen:
Nampak gayanya demonstrasi anti-PPSMI tahun lalu itu tidak memberi apa-apa makna kepada pemimpin kerajaan, terutama kepada pemimpin UMNO. Pejuang bahasa nampaknya kecewa lagi dan begitu hebatnya kerajaan akan membuat u-turn dalam bidang pendidikan.

Hebat sangatkah bahasa Inggeris untuk diajar dalam mata pelajaran Sains dan Matematik? Atau pemimpin-pemimpin kita terlalu taksub dengan bahasa itu. Tetapi kalau difikir-fikir betul juga mengapa mereka taksub. Sebabnya ramai dalam kalangan pemimpin kerajaan, terutama dalam kalangan Melayu elit terdidik di Barat, khususnya di UK.

Sudah barang tentu mereka lebih terbiasa bertutur dalam bahasa Inggeris. Tetapi yang peliknya ada pemimpin yang tidak dididik di negara bekas penjajah itu masih tetap taksub dengan bahasa itu, walaupun kadang-kadang bahasa Inggeris mereka tidaklah sehebat mana. Masih banyak yang "broken"-nya daripada yang benar.

Kasihan bahasa ibundaku. Apa nak jadi dengan bahasa yang satu waktu dahulu merupakan bahasa lingua franca (pertuturan) pada zaman kegemilangan kesultanan Melayu Melaka Abad Ke-15? Orang Dewan Bahasa dan Pustaka apa cerita?

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

MALAYSIAN LEADERS GAZEBO

SO THEY SAY...

SO THEY SAY...

"A.F.Yassin dalam cerpenya "Dendam" berjaya menghidupkan ceritanya dalam bahasa yang berjiwa; sesuai dengan pertentangan-pertentangan yang dialami oleh Salim atau oleh Yanti sendiri. "Plotnya bersifat sorot pergi sebagai satu gaya untuk mengembangkan kisah pada satu detik tetapi menghimbau kisah itu kepada kisah lampau dan juga kisah akan datang. Latarnya di Indonesia. Cerpen ini hidup kerana tidak dibiar berkisar di luar persoalan. Olahan cerpen bepusar keseluruhannya pada watak Yanti..." (Dato' Shahnon Ahmad, Mingguan Malaysia, 14 November 1976.)



" The former editor of a publishing house, A.F.Yassin, recently put out Sembang Sastera: Bersama Orang Persuratan (Fajar Bakti, 1998,310 pages), in which he talks to 64 Malay writers and literary activists of varying stature, who muse on their lives and what they have been up to. Chatty. Frank, nostalgic, irreverent, these conversations are light, in response to A.F.Yassin’s equally casual probing. His target is largely a small and shrinking group of people aged around 60 and above, loyal supporters of the Jawi-scripted Utusan Zaman, in which most of these Sembang-Sembang first appeared.



"Now that these Sembang-Sembang have been romanised, and packed in a handsome hardcover book, more readers , especially literary researchers, local and foreign, can be expected to benefit from them. Of course, the information ranges from the revealing to the trivial, but the book is pertinent as it provides insight on what went on in the world of Malay letters.



"…Sembang Satera is invaluable, especially to students of contemporary Malay literature, because it provides a cauldron of tidbits, with which to spice up the perennially long-overdue assignment.” - (Zakaria Ali, "Notes on Local Literature, fortnightly with Zakaria Ali, New Straits Times, 27 January, 1999."



"Yassin merupakan penulis yang berilmu dalam dua bidang dan seterusnya melibatkan diri dalam tiga dimensi. Bidang-bidang keilmuan dan keahliannya ialah komunikasi dan sastera, sementara kegiatannya dalam bidang penulisan kreatif dan deskriptif dan serentak dengan itu, turut kreatif dalam penghasilan dan penerbitan buku sesuai dengan profesion terkininya." (Asri Affandi, Mingguan Malaysia, 27 Disember 1987.)



"A.F.Yassin dalam bukunya Etika dan Wartawan berpendapat, pemberitaan akhbar di negara ini boleh dikatakan hanya berpandu kepada etika sejagat dan norma serta kebiasaan hidup masyarakat majmuk. Ketiadaan kod etika kewartawanan juga seperti yang ditekan oleh A. Samad Said telah menjadikan akhbar mengamalkan dasar swaying with the wind, bukan merupakan agent of change, serta cenderung menyuarakan dasar dan strategi pihak penerbit suratkabar itu sendiri." (Harakah, 31 Mei 1993.)

Tidak tahu kenapa dia meninggalkan lapangan guru dalam tahun 1962 kemudian sanggup pula menjadi seorang Juruteknik di sebuah kilang tekstil di Johor Bahru. Apakah dia memikirkan kurangnya anak Bumiputra berminat dalam lapangan teknikal atau kerana mula nampak bintangnya lebih mengerdip jika dia meninggalkan lapangan guru?

Yang ternyata sewaktu berada di Textile Corporation of Malaya Berhad Johor Bahru, dia telah dapat mengikuti latihan teknikal di Nagoya, Jepun selama enam bulan dalam tahun 1969. Di Jepun dia baru dapat melihat perbezaan zikap dan tingkah laku manusia pekerja Jepun dengan bangsanya sendiri. Setelah menimba pengalaman di Jepun, tercetus pula keinginannya untuk menulis rencana bersirinya di Utusan Malaysia, Utusan Zaman dan Mingguan Malaysia. Semuanya menceritakan pengalamannya di Jepun.

Kemampuan menulis telah meransangnya menapak ke bidang kerja yang lain. Dia menjadi Penyunting Berita Harian dalam tahun 1971. Semasa di New Straits Times Press (M) Bhd., dia banyak pula menghasilkan cerpen. Dia terus melanjutkan penulisan fiksyen apabila dilantik menjadi Penolong Editor dan kemudiannya meningkat sebagai Editor majalah Dewan Masyarakat.

Melihat kemampuannya menulis artikel dan cerpen di tengah-tengah kesibukannya sebagi seorang Editor, jelaslah kepada kita bahawa seorang editor yang sibuk tidak semestinya tidak boleh menulis. Pokoknya dia tidak mengenal erti kelelahan dan kesibukan bila dia diransang untuk menulis. ("Karyawan Bulan Ini", Dewan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, Mac 1983).