Sunday 5 October 2008

DR. SHAHAROM HUSAIN TELAH TIADA!


Allahyarham Dr. Shaharom Husain disemadikan di sebelah pusara isteri di Tanah Perkuburan Mahmudiah di Johor Bahru. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham.Amin ya Rabulalamin!

ARKIB : 03/10/2008
Budayawan Dr. Shaharom Husain meninggal dunia

Oleh KAMIL MASLIH

JOHOR BAHRU 2 Okt. - Tokoh guru dan budayawan, Dr. Shaharom Husain, 88, meninggal dunia hari ini akibat sakit tua.

Allahyarham yang juga terkenal sebagai tokoh sastera menerusi novel Keris Laksamana Bentan dan drama Si Bongkok Tanjung Puteri menghembuskan nafas terakhirnya dalam tidur pada pukul 7.45 pagi di rumah anak sulungnya, Dr. Mohamed Hatta di Taman Berlian, Gombak.

Jenazah Allahyarham dibawa ke sini untuk dikebumikan bersebelahan kubur isterinya, Allahyarham Aminah Abdul Rashid di Tanah Perkuburan Islam Mahmoodiah selepas waktu Asar.

Beliau meninggalkan empat orang anak lelaki iaitu Dr. Mohamed Hatta, Dr. Mustapha Kamal, 55, Muhammad Iqbal, 50, dan Mustafa Kamil, 49, serta 23 cucu dan enam cicit.

Menurut Hatta yang juga Naib Presiden Kanan dan Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan CyberJaya, ayah beliau meninggal dunia selepas menunaikan solat Subuh.

"Dalam dua tiga hari sebelum ini ayah memang banyak berzikir serta mengucapkan Allahhuakbar berulang kali," katanya yang memberitahu ayahnya telah dimasukkan ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) minggu lalu kerana pembedahan tulang kaki dan punggung selepas terjatuh.

Kata Dr. Mohamed Hatta, ayahnya merupakan seorang yang amat menekankan pendidikan sepanjang hayatnya.

"Beliau pernah berpesan bahawa kalau kaum Melayu tidak menguasai pendidikan, bangsa Melayu tidak akan maju dan tidak mendapat tempat di dunia.

"Selain itu, beliau juga sering mengingatkan untuk kita mencari ilmu bagi dunia dan akhirat," katanya.

Semasa hayatnya, Allahyarham telah dianugerahkan beberapa penghormatan negeri dan negara seperti Tokoh Guru Johor, Tokoh Guru Kebangsaan, Anugerah Budayawan Johor dan Ijazah Kehormat Sarjana Persuratan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Anak kelahiran Kampung Peserai, Mukim Tiga, Batu Pahat itu juga merupakan penerima pertama Ijazah Kehormat Doktor Persuratan daripada Universiti Perguruan Sultan Idris pada tahun 2000.

Beliau mendapat pendidikan di Maktab Perguruan Sultan Idris dari tahun 1938 hingga 1950 dan pernah mengajar di maktab berkenaan serta Maktab Perguruan Temenggung Ibrahim, Johor Bahru selain menjadi Karyawan Tamu di UKM.

Dalam dunia kesusasteraan, beliau telah bergiat aktif sejak tahun 1940-an dan telah menghasilkan pelbagai novel dan drama yang sering digunakan sebagai teks sastera di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia sejak era 1980-an hingga sekarang.

Antara karya beliau termasuklah Lembing Awang Pulang ke Dayang, Hantu Laut dan Korban Sungai Muar, Tun Fatimah, Bermandi Darah Di Sungai Johor selain menulis memoir biografi Perjuangan Politik Datuk Onn Jaafar serta menulis semula buku Tawarikh Johor. (Utusan Malaysia Online, 3 Oktober 2008)

Komen:
Pergi sudah seorang lagi budayawan nasional yang sumbangan baktinya kepada kebudayaan dan sejarah kebangsaan tidak "terpemenai" nilainya. Kali terakhir bersama Allahyarham ialah pada pertemuan Sembang Tokoh anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka, di rumah anaknya Dr. Hatta Shaharom di di Taman Berlian Gombak. Ketika itu ternyata Allahyarham begitu uzur dan kami hanya sempat berbual sejenak sahaja kerana Allahyarham meminta diri kembali ke kamarnya.

Dalam pertemuan untuk projek Jejak Bahasa, kendalian TV3/DBP kira-kira lima tahun yang lalu, Allahyarham masih aktif dan masih berupaya bercerita tentang kebangkitan nasionalisme dan perjuangan memartabatkan bahasa. Allahyarham ketika itu bersemangat sekali bercerita tentang nostalgia di Maktab Perguruan Sultan Idris di Tanjung Malim.

Entah beberapa kali kami bertemu. Tidak lupa pertemuan di majlis menghadap YTM Raja Zarith Sofiah Ibni Almarhum Sultan Idris di Istana Pelangi pada akhir tahun 1990an untuk mempersembahkan naskhah khasbuku "Sejarah Johor". Buku itu diterbitkan semula oleh Penerbit Fajar Bakti dan ditaja sepenuhnya oleh DYMM Tengku Mahkota Johor.

Saya menerima berita pemergian Allahyarham ketika dalam perjalanan ke Johor Bahru. Dr. Hatta menelfon memaklumkan berita sedih demikian ketika kami berada di Tol Plaza Tangkak menuju bandar Muar, 3 Oktober sekitar 2.30 petang.Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham. Amin!

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

MALAYSIAN LEADERS GAZEBO

SO THEY SAY...

SO THEY SAY...

"A.F.Yassin dalam cerpenya "Dendam" berjaya menghidupkan ceritanya dalam bahasa yang berjiwa; sesuai dengan pertentangan-pertentangan yang dialami oleh Salim atau oleh Yanti sendiri. "Plotnya bersifat sorot pergi sebagai satu gaya untuk mengembangkan kisah pada satu detik tetapi menghimbau kisah itu kepada kisah lampau dan juga kisah akan datang. Latarnya di Indonesia. Cerpen ini hidup kerana tidak dibiar berkisar di luar persoalan. Olahan cerpen bepusar keseluruhannya pada watak Yanti..." (Dato' Shahnon Ahmad, Mingguan Malaysia, 14 November 1976.)



" The former editor of a publishing house, A.F.Yassin, recently put out Sembang Sastera: Bersama Orang Persuratan (Fajar Bakti, 1998,310 pages), in which he talks to 64 Malay writers and literary activists of varying stature, who muse on their lives and what they have been up to. Chatty. Frank, nostalgic, irreverent, these conversations are light, in response to A.F.Yassin’s equally casual probing. His target is largely a small and shrinking group of people aged around 60 and above, loyal supporters of the Jawi-scripted Utusan Zaman, in which most of these Sembang-Sembang first appeared.



"Now that these Sembang-Sembang have been romanised, and packed in a handsome hardcover book, more readers , especially literary researchers, local and foreign, can be expected to benefit from them. Of course, the information ranges from the revealing to the trivial, but the book is pertinent as it provides insight on what went on in the world of Malay letters.



"…Sembang Satera is invaluable, especially to students of contemporary Malay literature, because it provides a cauldron of tidbits, with which to spice up the perennially long-overdue assignment.” - (Zakaria Ali, "Notes on Local Literature, fortnightly with Zakaria Ali, New Straits Times, 27 January, 1999."



"Yassin merupakan penulis yang berilmu dalam dua bidang dan seterusnya melibatkan diri dalam tiga dimensi. Bidang-bidang keilmuan dan keahliannya ialah komunikasi dan sastera, sementara kegiatannya dalam bidang penulisan kreatif dan deskriptif dan serentak dengan itu, turut kreatif dalam penghasilan dan penerbitan buku sesuai dengan profesion terkininya." (Asri Affandi, Mingguan Malaysia, 27 Disember 1987.)



"A.F.Yassin dalam bukunya Etika dan Wartawan berpendapat, pemberitaan akhbar di negara ini boleh dikatakan hanya berpandu kepada etika sejagat dan norma serta kebiasaan hidup masyarakat majmuk. Ketiadaan kod etika kewartawanan juga seperti yang ditekan oleh A. Samad Said telah menjadikan akhbar mengamalkan dasar swaying with the wind, bukan merupakan agent of change, serta cenderung menyuarakan dasar dan strategi pihak penerbit suratkabar itu sendiri." (Harakah, 31 Mei 1993.)

Tidak tahu kenapa dia meninggalkan lapangan guru dalam tahun 1962 kemudian sanggup pula menjadi seorang Juruteknik di sebuah kilang tekstil di Johor Bahru. Apakah dia memikirkan kurangnya anak Bumiputra berminat dalam lapangan teknikal atau kerana mula nampak bintangnya lebih mengerdip jika dia meninggalkan lapangan guru?

Yang ternyata sewaktu berada di Textile Corporation of Malaya Berhad Johor Bahru, dia telah dapat mengikuti latihan teknikal di Nagoya, Jepun selama enam bulan dalam tahun 1969. Di Jepun dia baru dapat melihat perbezaan zikap dan tingkah laku manusia pekerja Jepun dengan bangsanya sendiri. Setelah menimba pengalaman di Jepun, tercetus pula keinginannya untuk menulis rencana bersirinya di Utusan Malaysia, Utusan Zaman dan Mingguan Malaysia. Semuanya menceritakan pengalamannya di Jepun.

Kemampuan menulis telah meransangnya menapak ke bidang kerja yang lain. Dia menjadi Penyunting Berita Harian dalam tahun 1971. Semasa di New Straits Times Press (M) Bhd., dia banyak pula menghasilkan cerpen. Dia terus melanjutkan penulisan fiksyen apabila dilantik menjadi Penolong Editor dan kemudiannya meningkat sebagai Editor majalah Dewan Masyarakat.

Melihat kemampuannya menulis artikel dan cerpen di tengah-tengah kesibukannya sebagi seorang Editor, jelaslah kepada kita bahawa seorang editor yang sibuk tidak semestinya tidak boleh menulis. Pokoknya dia tidak mengenal erti kelelahan dan kesibukan bila dia diransang untuk menulis. ("Karyawan Bulan Ini", Dewan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, Mac 1983).